Apple hari ini melancarkan generasi kedua untuk telefon pintar serba baru mereka yang pertama kali dilancarkan tahun lepas. Kali ini, ia kembali kepada rentak dua model telefon pintar, salah satunya dengan skrin lebih besar serta nama yang baru. Memperkenalkan, iPhone Xs dan iPhone Xs Max.
Rupa bentuk iPhone Xs kelihatan sama sahaja denga iPhone X. Terutama sekali takuk besar di dahi skrin, dan susunan kamera belakang seperti lampu trafik. Saiz skrin dan ukuran badan juga sama. Sekilas pandang, memang sukar dibezakan.
Skrin iPhone Xs berukuran 5.8-inci, menggunakan paparan OLED Super Retina HD dengan resolusi 2436×1125 piksel.
Kamera juga katanya tidak berbeza. Untuk kamera belakang, ia menggunakan lensa lebar 12MP F1.8 bersama lensa telefoto 12MP F2.4 yang bertindak ibarat 2x zum optikal. Kedua-dua lensa ini memiliki penstabil imej optikal (OIS).
Perkara baru untuk kamera ini adalah Portrait Mode dikuasakan advanced bokeh dan Depth Control. Ini membolehkan tahap efek bokeh pada gambar diubah selepas gambar diambil, dengan apertur dari serendah F1.4.
Kamera hadapan pula dipasang lensa 7MP F2.2 dan dipanggil TrueDepth Camera. Ini kerana ia memiliki keupayaan mengesan kedalaman untuk pengecaman wajah Face ID yang lebih tepat dan jitu. Ia turut dilengkapi teknologi Portrait Mode bersama advanced bokeh dan Depth Control.
Naiktaraf terbesar untuk iPhone Xs adalah pada cip pemproses. Apple memperkenalkan CPU A12 Bionic yang lebih berkuasa dari CPU A11 pada iPhone X. Ia merupakan cip 6-teras dengan 2-teras berkuasa tinggi dan 4-teras jimat tenaga. Kuasanya ditambah lagi dengan Enjin Neural baru untuk menggerakkan pembelajaran mesin masa nyata dengan lebih pantas.
Lain-lain masih dikekalkan sama di iPhone Xs seperti pengecasan wayarles, pengecaman wajah Face ID tanpa pengimbas capjari, tetapi tahap kekalisan air dan debu dipertingkat ke IP68, membolehkan ia masuk ke dalam air sehingga 2 meter selama 30 minit.
Tetapi satu perkara baru yang paling menarik minat kami adalah sokongan dua sim. Ini adalah yang pertama kali ada di iPhone. Tetapi sayang, ia datang dalam bentuk 1 kad sim nano dan satu lagi eSIM. Di Malaysia, masih belum ada syarikat telekomunikasi yang menyediakan perkhidmatan eSIM ini, kecuali Maxis. Bagaimanapun, Apple melaporkan hanya di China mereka akan menjual iPhone XS dengan sokongan dua kad sim fizikal.
iPhone Xs akan ditawarkan dalam 3 warna, berbanding hanya 2 warna pada iPhone X. Selain Silver dan Space Grey, Apple kini menambah warna Gold untuk memudahkan orang mengenali iPhone Xs baru. Storan juga memiliki pilihan lebih besar, iaitu 64GB, 256GB dan 512GB. Setanding dengan Galaxy Note9 yang turut ditawarkan dengan 512GB storan.
Jika anda ingin iPhone yang lebih baru dengan skrin lebih besar dan daya tahan bateri lebih lama, pilihannya ialah iPhone Xs Max. Ia memiliki semua ciri-ciri yang sama seperti iPhone Xs, tetapi dengan skrin lebih besar berukuran 6.5-inci dan bateri yang bertahan 1 jam lebih lama dari iPhone Xs.
Skrin OLED Super Retina HD di iPhone XS Max memiliki resolusi lebih tinggi, 2688×1242 bagi mengekalkan 458 PPI yang sama dengan iPhone Xs. iPhone Xs Max memiliki saiz badan yang sama dengan iPhone 8 Plus tetapi ruang skrin yang jauh lebih besar, 6.5-inci berbanding 5.5-inci di iPhone 8 Plus.
iPhone Xs dan iPhone Xs Max akan mula dijual pada 21 September 2018 di beberapa negara terpilih. Seperti biasa, Malaysia tidak termasuk dalam gelombang pertama. Negara paling hampir untuk mendapatkan iPhone Xs pada 21 September ialah di Singapura.
Harga jualan iPhone Xs sama seperti iPhone X sewaktu dilancarkan tahun lepas, bermula dari USD999. Maka kita boleh menjangkakan harganya akan sama juga di Malaysia, bermula dari RM5,149. Bagi iPhone XS Max pula, harganya USD100 lebih mahal iaitu bermula dari USD1,099. Di Malaysia, kami jangka harga iPhone XS Max bermula dari RM5,899.
Bila pula ia akan mula dijual di Malaysia? iPhone X tahun lepas mengambil masa lebih sedikit dari sebulan untuk tiba di Malaysia selepas majlis pelancaran. Harapnya begitulah tetapi mungkin ia boleh tiba lebih awal. Adakah anda sanggup menunggu sebulan atau mahu bermati-matian mendapatkan set import dan menjadi yang pertama memilikinya di Malaysia?
Bersama pengumuman hari ini, Apple mengumumkan akan berhenti menjual iPhone 6 dan 6s. iPhone 7 dan iPhone 8 akan diteruskan jualan sebagai pilihan yang lebih murah.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web Apple iPhone Xs.