Tukang masak robot, Xiaomi Smart Cooking Robot baru sahaja diperkenalkan di Malaysia pada bulan Mac lalu. Ia merupakan pesaing Thermomix tapi dijual pada harga yang lebih rendah. Saya berpeluang menggunakan Xiaomi Smart Cooking Robot baru-baru ini untuk sediakan lauk. Jadi, sejauh mana ia bantu ringankan tugas saya untuk memasak dan apa yang menariknya pada robot ini?
Buka kotak
Berikut merupakan item yang disediakan di dalam kotak Xiaomi Smart Cooking Robot:
- Robot masak – Pada sebelah kiri ada tempat letak periuk, sebelah kanan pula ada skrin sentuh seluas 8”. Pada skrin ini anda boleh tengok resipi, langkah memasak dan ada juga fungsi untuk basuh periuk guna robot. Depan skrin ada satu tombol, anda boleh pusingkan tombol untuk scroll skrin. Boleh juga letak bahan atas tombol untuk timbang berat bahan. Bahagian belakang robot masak ada wayar plug 3 pin. Bawahnya pula ada pelekat yang boleh lekatkan robot ni pada permukaan, jadi ia tidak bergerak semasa masak.
- Periuk utama – Di dalamnya ada bilah tajam yang boleh di buka dan diganti dengan pemutar lain
- Pengukus
- Rak pengukus
- Dulang tangkapan cecair (Liquid catch tray)
- Cawan penyukat
- Bakul jaring / penapis
- Pemukul (Whisk)
- Sudu penyukat – Ada 4 sukatan iaitu 1.25ml, 2.5ml, 5ml dan 10ml
- Pengikis (Scraper)
- Penutup bilah pengisar
Ciri Xiaomi Smart Cooking Robot
Sebelum guna Xiaomi Smart Cooking Robot, saya perlu pautkannya dulu dengan aplikasi Xiaomi Home (Apple Appstore, Google Playstore). Tapi aplikasi tersebut hanya sediakan resepi sahaja, tiada apa-apa fungsi penting pada robot termasuklah hidup atau matikannya.
Xiaomi Smart Cooking Robot ada lapan fungsi memasak iaitu tumis, rebus, kukus, menguli, kisar, membuat jus, mencincang dan membasuh. Ada lebih 200 resipi chef terbina dalam robot. Jadi saya boleh rujuk skrin untuk masak.
Pengalaman guna Xiaomi Smart Cooking Robot
1. Antara muka skrin robot
Pada skrin robot teradapat 3 tab utama disediakan iaitu resepi, mod dan profil. Antara mukanya ringkas dan senang digunakan. Cuma, masalah yang saya hadapi ialah adakalanya skrin lag dan saya perlu sentuh skrin banyak kali supaya ia bergerak.
2. Masak lauk
Menu pertama yang saya masak menggunakan Xiaomi Smart Cooking Robot ialah ayam goreng kunyit. Mula-mula saya cari resepi di skrin pada robot, kemudian saya sediakan bahan dan sukatan seperti yang dinyatakan. Saya juga boleh ikut langkah di skrin sambil masak. Arah putaran bilah, masa dan suhu semua sudah ditetapkan.
Untuk timbang sukatan bahan, saya boleh lakukannya pada robot. Saya cuma perlu letak bekas sukatan atas tombol di hadapan skrin, kemudian saya masukkan bahan dalam bekas sukatan. Berat bahan akan dinyatakan pada skrin.
Namun, saya dapati memasak guna Xiaomi Smart Cooking Robot memerlukan masa yang lama. Contoh, masa menumis bawang yang ditetapkan ialah 5 minit. Secara total, saya perlukan kira-kira 12 minit untuk siapkan masakan ayam kunyit guna Xiaomi Smart Cooking Robot! Kalau guna dapur gas, saya boleh siapkan ayam goreng kunyit kurang dari 10 minit.
Walaupun lama menunggu, hasil masakannya masih baik. Ayam tidak hancur, kacang panjang tidak penyek, malah rasa juga sedap! Tapi, semasa masak saya tidak ikut semua sukatan dalam resepi. Contohnya saya kurangkan satu sudu garam menjadi secubit. Di sini saya dapati yang pengguna boleh ubah sukatan ikut citarasa masing-masing.
3. Kisar bahan masakan
Seterusnya, saya cuba pula hasilkan kentang putar menggunakan robot ni. Sekaligus saya nak lihat sejauh mana kekuatannya untuk mengisar. Sebelum kisar, saya kukus kentang terlebih dahulu supaya saya boleh terus makan. Pada skrin di robot, saya pilih pilihan kisar juicing untuk hancurkan kentang. Masa yang ditetapkan ialah 30 saat. Hasilnya, kentang sangat hancur macam jus smoothies!
Dibandingkan dengan pengisar biasa, kentang boleh dihancurkan tapi saya perlu tambah sedikit air. Ini mungkin sebab bilahnya tidak tajam dan ruang dalam pengisar sempit. Bagi saya, Xiaomi Smart Cooking Robot memang berguna untuk mengisar, tapi saya rasa lebih berbaloi untuk kisar jumlah besar sekaligus sebab ruang pengisar adalah besar.
4. Cuci
Dalam robot ni ada pilihan pra-pembersihan. Selepas selesai masak, saya cuba gunakan fungsi cucian ini pula dengan memilih pilihan deep cleaning. Saya perlu masukkan 1 liter air dan sedikit sabun pinggan.
Robot ambil masa 8 minit untuk bersihkan. Hasilnya, periuk memang licin dan tiada sisa kentang yang saya kisar tadi melekat pada periuk. Bila dibilas, ia memang nampak bersinar. Tapi saya perlu gosok sikit di bahagian atas periuk sebab air basuhan tidak bersihkan sehingga bahagian permukaan.
Perbandingan dengan Thermomix
Dibandingkan dengan Xiaomi Smart Cooking Robot, pesaingnya iaitu Thermomix TM6 ada kuasa putaran hanya sehingga 10,700RPM sahaja. Namun, fungsi pada Thermomix ada banyak, antara fungsi yang tiada pada robot Xiaomi ialah Kettle, Sous Vide, Fermentation dan Egg Boiler Mode. Kemudian Thermomix ada sediakan lebih 80,000 resepi pada robotnya.
Dari segi harga pula, Thermomix TM6 dijual pada harga RM7,488. Jauh mahal berbanding Xiaomi Smart Cooking Robot yang dijual pada harga RM4,599.
Pada pendapat saya, bagi yang perlukan robot masak, Xiaomi Smart Cooking Robot sudah memadai, sebab ia ada banyak fungsi masak dan boleh masak dengan baik. Periuknya juga besar, boleh sediakan sup sehingga 2.2L. Anda juga boleh sediakan hidangan kukus dan 1 sup sekali gus.
Rumusan
Perkara yang saya suka pada Xiaomi Smart Cooking Robot ialah pertama, hasil kisarannya sangat baik. Kalau anda perlu kisar cili atau bawang untuk simpanan menumis, robot ini memang sangat sesuai digunakan.
Kedua, saya suka cara ia ajar pengguna masak. Pada pengguna yang tak mahir masak, anda boleh rujuk skrin di sebelah periuk untuk ikut arahan yang dinyatakan. Ia tunjuk satu per satu langkah untuk hasilkan masakan. Bagi yang nak ikut sepenuhnya sukatan masakan, anda boleh guna penimbang yang disediakan pada robot.
Ketiga, saya kagum dengan ciri pra basuhan yang disediakan. Ia menjimatkan masa saya dari merendam dan menggosok periuk untuk buang kotoran.
Tapi, saya rasa geram semasa gunakan robot ini sebab kadang-kadang skrinnya tidak mengesan sentuhan jari saya dengan baik. Jadi saya perlu sentuh skrin berulang kali untuk ia bergerak. Ini perkara yang mudah untuk Xiaomi baiki. Antaramuka yang lancar akan memberikan pengalaman lebih menarik untuk ia terus digunakan.
Sejujurnya, rasanya saya tak nak guna Xiaomi Smart Cooking Robot untuk masak lauk sebab saya sudah biasa masak gunakan dapur gas. Saya boleh siapkan lauk lebih cepat guna dapur gas berbanding robot masak. Tapi saya puji robot ini untuk fungsi kisarnya.
Pendapat saya, individu yang tidak mahir masak sesuai dapatkan robot ini sebab ia boleh tunjukkan anda langkah masak satu per satu sehingga siap. Ia juga sesuai untuk individu yang sibuk dan tiada masa untuk perhatikan masakan. Dengan robot, anda boleh letak sahaja bahan masakan, kemudian ia akan bantu anda masak. Sementara tunggu makanan selesai, bolehlah anda buat perkara lain.
Selain itu, anda boleh gunakan robot ini jika tidak biasa masak untuk sukatan yang besar, contohnya lauk untuk 6 orang. Anda tak perlu letih mengacau, mengawal api masakan, risau ia hangus atau tak cukup masak, sebab robot akan uruskan semua untuk anda.
Jika berminat, anda boleh dapatkan Xiaomi Smart Cooking Robot di Lazada atau Shopee. Anda juga boleh tonton video saya reviu Xiaomi Smart Cooking Robot di bawah.