Semakin banyak kenderaan elektrik (EV) dilancar di Malaysia, pastinya lebih baik untuk rakyat kerana ada banyak pilihan. Terbaru, TC Euro Cars (TCEC), pemegang francais tunggal kenderaan Renault di Malaysia telah melancarkan Renault Zoe untuk pasaran tempatan.
Harga Renault Zoe
Seperti yang telah dimaklumkan sejak tahun lepas, Renault Zoe di Malaysia didatangkan dalam dua varian. Harga rasminya (di atas jalan, tidak termasuk insuran) adalah seperti berikut:
- Renault Zoe R110 – RM165,000
- Renault Zoe R135 – RM179,000
Renault Zoe R110 baharu ini disediakan dalam dua warna, solid hitam dan putih. Manakala Zoe R135 boleh didapati dalam pilihan warna hitam, biru, merah dan ungu.
Setiap pembelian Renault Zoe datang bersama kabel 22 kW Type 2, tidak termasuk pengecas boleh alih. TCTE juga menyediakan pilihan untuk pembeli Renault ZOE memasang pengecas di rumah atau pejabat, iaitu pemasangan asas pengecas wallbox VESTAL 7 kW pada harga RM6,250 atau wallbox VESTEL 22 kW dengan harga RM6,950. Ia termasuk kabel sepanjang 15 meter.
Terdapat enam pusat servis Renault sah di seluruh negara yang menyediakan khidmat selenggara Renault Zoe oleh juruteknik bertauliah. Kedua-dua varian diberi jaminan tiga tahun atau 100,000 km untuk kenderaan dan rangkaian kuasa elektrik. Bateri EV pula dilindungi jaminan selama lapan tahun atau 160,000 km dengan kapasiti minimum 70 peratus.
Orang ramai boleh melihat sendiri Renault Zoe di bilik pameran Renault di Petaling Jaya dan Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Renault Zoe juga boleh ditempah secara atas talian, di E-Store Renault.
Dengan harga ini, Renault Zoe memberi saingan sengit kepada EV yang telah dilancar sebelum ini seperti BYD Atto 3 dan Ora Good Cat.
Melanggan Renault Zoe
Selain membeli terus, TCEC turut menawarkan pelan langganan untuk Renault Zoe. Dengannya, pelanggan boleh menggunakan Renault Zoe untuk masa yang ditetapkan dengan membayar secara bulanan. Bayaran bulanan ini termasuk insurans, kos servis biasa dan kabel Type 2 AC.
Harga langganan Renault Zoe adalah seperti berikut:
Zoe R110
- 3 Tahun – RM2,799 sebulan
- 2 Tahun – RM3,299 sebulan
- 1 Tahun – RM3,799 sebulan
Zoe R135
- 3 Tahun – RM2,999 sebulan
- 2 Tahun – RM3,499 sebulan
- 1 Tahun – RM3,999 sebulan
Proses kelulusan Renault Subscription biasanya mengambil masa selama tiga hari bekerja, sekiranya semua dokumen dan syarat dipenuhi.
Ketua Pegawai Eksekutif TC Euro Cars, Wong Hoe Mun, menjelaskan, “Langganan ialah satu cara terbaik untuk orang ramai merasai pengalaman dan gaya hidup EV dengan Renault Zoe baharu tanpa perlu membuat pembelian. Ia bukan sahaja lebih mampu milik dan mudah diakses, malah pelanggan tidak perlu bimbang tentang apa-apa yang berkaitan dengan aspek pemilikan. Ini termasuklah harga kenderaan, bayaran muka, tempoh pinjaman, kadar faedah, jaminan, servis, penyelenggaraan, insurans dan susut nilai”.
Bateri dan pengecas
Nombor pada model Renault Zoe merujuk kepada kuasa yang dihasilkan enjin. Zoe R110 dilengkapi motor berkuasa 80 kW yang menghasilkan kuasa 110 PS dan tork 225 Nm. Ia boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 11.4 saat, dengan kelajuan maksimum 135 km/j.
Manakala Zoe R135 dibekalkan motor 100kW yang menjana kuasa 135 PS dan tork 245 Nm. Ia boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.5 saat dengan kelajuan maksimum 140 km/j.
Untuk mengecas, Renault Zoe menyokong pengecasan pantas DC sehingga 50 kW dengan sambungan CCS2. Ia membolehkan pengecasan dari 10-80% dalam masa 70 minit. Manakala pengecasan AC Type 2 menyokong sehingga 22 kW, dengan pengecasan 0-100% dalam masa yang tiga jam sahaja. Ini adalah pengecas AC terpantas ada untuk EV di bawah RM200k.
Renault Zoe dipasang dengan bateri Z.E. 50 berkapasiti 52kWh. Inin memberikannya jarak pemanduan WLTP sehingga 395km untuk Zoe R110, dan sehingga 386km untuk Zoe R135.
Di samping itu, Renault Zoe juga dilengkapi pemanduan Mode B iaitu kecekapan brek regeneratif, yang mampu menukar tenaga kinetik kepada tenaga elektrik sebanyak mungkin untuk meningkatkan jarak perjalanan. Mode B juga menjadi pemanduan lebih mudah, terutama di bandar atau dalam kesesakan jalan raya.
Ruang dalaman
Bahagian pemandu dilengkapi panel instrumen digital bersaiz 10 inci, memaparkan sistem bantuan pemanduan utama dan semua tetapan pemanduan elektrik seperti eco-meter dan panduan nagivasi.
Sistem infohibur dikuasakan Renault Easy Link dengan paparan skrin sentuh 9.3-inci, yang menyokong Android Auto dan Apple CarPlay. Ia juga boleh berhubng menerusi Bluetooth, dua port USB dan port audio auxiliary. Sistem audio pula dihasilkan oleh enam unit pembesar suara.
Zoe R110 hadir dengan upholsteri fabrik kitar semula berwarna hitam. Sementara Zoe R135 menerima tempat duduk berwarna hitam dengan kombinasi kulit dan fabrik.
Sistem luaran
Kedua-dua varian hadir dengan cermin yang boleh ditala secara elektrik (boleh dilipat untuk Zoe R135), sensor parkir belakang, e-shifter elektronik, brek parkir automatik, lampu kabin LED sepenuhnya, kawalan suhu automatik dan panel kawalan baharu yang lebih ergonomik. Zoe R135 ditambah dengan cermin pandang belakang elektrokromik, kamera undur dan sensor parkir hadapan.
Renault Zoe juga dipasang dengan lampu LED sepenuhnya yang merangkumi lampu utama Pure Vision, lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk C, lampu kabus, lampu isyarat membelok belakang dinamik dan amaran isyarat membelok pada cermin sisi.
Kereta ini dipasang dengan rim aloi lima jejari bersaiz 16 inci, brek cakera di depan dan belakang bersama tayar bersaiz 195/55. Ruang but pula memiliki kapasiti 338 liter.
Pemanduan canggih dan maju
Untuk ciri keselamatan, Renault Zoe dilengkapi dengan empat beg udara (dua di depan dan dua di bahagian sisi). Selain itu, ia hadir dengan ciri amaran penukaran lorong (lane departure warning, LDW), kawalan kestabilan elektronik (electronic stability control, ESC), anti-slip regulation (ASR), ABS, bantuan brek kecemasan (emergency brake assist, EBA) dan bantuan mendaki (hill start assist, HSA).
Zoe R135 pula ditambah dengan ciri lampu tinggi adaptif (adaptive high beam, AHB), amaran titik buta (blind spot warning) dan bantuan parkir bebas tangan (hands-free park assist).
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Renault Zoe baharu, layari laman web www.renault.com.my atau hubungi talian 1800-18-8663 (Isnin-Ahad, 8am-8pm, tidak termasuk cuti umum).