CEO Apple, Tim Cook baru-baru ini mengumumkan rekaan tali jam baru Apple Watch, dipanggil Edisi Pride. Ia merupakan satu lagi usaha Apple untuk menyokong usaha pelbagai pihak dan komuniti LGBTQ+ di seluruh dunia.
Pelancaran ini juga dilihat selari dengan kemaskini iOS 16.5 dan watchOS 9.5 terbaru, yang menyatakan koleksi wallpaper dan muka jam Pride ditambah untuk menghargai komuniti LGBTQ+.
Di laman web Apple Malaysia, tali jam baru ini telah dijual pada harga RM199. Ia boleh dipilih untuk saiz muka jam 41mm atau 45mm, serta panjang tali S/M (140-190mm) atau M/L (160-210mm). Penghantaran pula dibuat dalam masa satu hari bekerja, bermakna stok untuk pasaran Malaysia telah tersedia.
Selain itu, orang ramai juga boleh mendapatkan jam tangan Apple Watch baru bersama tali jam Pride, menerusi laman web Apple Malaysia. Ia tersedia untuk Apple Watch SE dan Apple Watch Series 8.
Bagi Apple Watch SE (GPS), ia berharga RM1,199 bagi varian 40mm dan RM1,299 untuk varian 44mm. Jika mahukan sambungan selular, pembeli boleh menambah RM200. Manakala Apple Watch Series 8 (GPS) dijual pada harga RM1,899 untuk 41mm dan RM1,1999 bagi 45mm. Versi selular pula perlu menambah RM400.
Adakah Apple Watch Pride akan dirampas?
Baru-baru ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menyerbu beberapa cawangan Swatch di seluruh Malaysia dan merampas jam tangan dalam Koleksi Pride. Dalam serbuan di kedai Swatch di Mid Valley Megamall, pegawai KDN menyerahkan notis yang menyatakan bahawa 22 jam tangan telah dirampas kerana ia membawa simbol LGBTQ+.
Notis itu juga menyatakan bahawa kutipan itu melanggar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Menurut akta tersebut, jenama yang menjual barangan yang dianggap berbahaya atau mungkin memudaratkan moral mungkin menghadapi akibat undang-undang.
Serbuan ini dikatakan dibuat selepas ada laporan di Facebook yang menunjukkan, Swatch menjual jam tangan tersebut secara terbuka di kedai.
Dalam hal Apple Watch ini, jika ia tidak dijual secara terbuka dan tidak ada aduan dibuat mengenainya, pasti ia tidak akan dirampas. Selain menerima aduan orang ramai, pihak berkuasa biasanya bertindak kalau berlakunya pelanggaran undang-undang dengan jelas, terutama sekali di khalayak ramai.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dengan jelas telah memberi jaminan, bahawa golongan LGBT, konsep negara sekular dan ideologi komunis tidak mungkin diiktiraf dalam Kerajaan Perpaduan. Selain itu, persetubuhan luar tabii walaupun untuk bukan muslim, boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 377A Akta Kanun Kesekasan.