Akhir bulan lepas, Netflix Malaysia telah mengumumkan sekatan perkongsian akaun untuk pengguna yang tidak tinggal serumah. Bagaimanapun, perkongsian di luar rumah ini masih boleh dibuat jika pengguna membuat bayaran tambahan RM13 seorang setiap bulan.
Nampaknya, Netflix akan kekal dengan sekatan serta bayaran tambahan ini kerana langkah sama yang dibuat di Amerika Syarikat, telah menunjukkan hasil yang positif. Syarikat penganalisa data, Anntenna melaporkan bahawa Netflix menerima peningkatan mendadak terhadap langganan baru di Amerika Syarikat, dalam masa 4 hari selepas sekatan perkongsian akaun diumumkan pada 23 Mei 2023.
Laporan Antenna menjelaskan, pendaftaran baru harian meningkat kepada 73,000 iaitu 102% berbanding purata 60-hari sebelum itu. Malah, Netflix menerima 100,000 pelanggan baru pada kedua-dua hari 26 dan 27 Mei. Ia jauh lebih tinggi berbanding pelanggan baru yang diterima Netflix sewaktu sekatan perjalanan COVID dikuatkuasakan pada tahun 2020.
Awal tahun ini, Netflix telah mula mengenakan sekatan perkongsian akaun di Kanada, New Zealand, Portugal dan Sepanyol. Hasilnya, Netflix mencatat pelanggan mereka di Kanada meningkat jauh lebih pantas berbanding di Amerika Syarikat. Dengan hasil positif sebegini, pastinya Netflix akan meneruskan usaha yang sama di negara lain.
Di Malaysia, pelanggan yang mahu berkongsi akaun dengan pengguna di luar rumah perlu membayar tambahan RM13 untuk setiap akaun. Tetapi ia terhad sehingga dua akaun tambahan sahaja.
Walaubagaimanapun, perkara ini masih di peringkat awal kerana pengguna mungkin dikejutkan dengan sekatan akaun Netflix dan merasakan masih perlu untuk meneruskan langganan walaupun terpaksa membayar lebih. Di Malaysia, pengguna disajikan dengan banyak alternatif platform penstriman pada harga jauh lebih murah. Melihatkan kebanyakan pengguna Malaysia agak berkira-kira, ada kemungkinan ia memberi kesan sebaliknya kepada Netflix.
[Sumber: The Verge]