Pastinya pembaca setia SoyaCincau BM kenal benar dengan jenama speaker daripada JBL. Salah satu speaker yang mereka tawarkan adalah JBL Bar 1000.
Ia adalah sepaker yang mampu tawarkan anda pengalaman seperti berada dalam pawagam. Salah satu ciri unik yang dimilikinya adalah speakker satelit tanpa wayar. Dengan konfigurasi 7.1.4, sistem speaker JBL Bar 1000 boleh memancarkan bunyi daripada depan, belakang, dan ke atas untuk wujudkan persekitaran bunyi keliling berteknologi Dolby Atmos dan DTS:X 3D.
Ini adalah reviu JBL Bar 1000.
Panjang keseluruhan unit soundbar ini adalah hampir 1.2 meter. Itu bila diambil kira sepasang speaker yang boleh ditanggal masing-masing berukuran kira-kira 0.3 meter. Pada saya, soundbar ini memiliki rekaan yang minimalis kerana tebalnya cuma 5.6cm. Ia boleh duduk di bawah dagu TV tanpa masalah.
Namun, subwufernya agak besar. Ia adalah kuboid yang berdiri 0.3 meter daripada lantai dan seberat 10kg. Mujurlah subwufernya juga adalah jenis wayarles. Anda boleh letakkannya di mana-mana asalkan ada punca kuasa untuk menghidupkannya.
JBL Bar 1000 adalah sistem speaker yang sesuai untuk ruang tamu yang sederhana hingga ke besar. Walaupun unit soundbarnya kompak, unit subwufernya agak memakan ruang. Sekali pandangnya saya nampak macam sebuah pasu bunga.
Sejurus menghidupkan speaker ini, anda boleh lihat paparan LED di bahagian depan. Ia diletakkan disebalik gril speaker yang saya rasakan kemas. Sesetengah speaker di luar sana meletakkan paparan di bahagian atas badan yang menyukarkan pengguna untuk melihat status speaker tersebut.
Pada telefon, anda perlu memasang JBL One APP untuk mengakses segala ketetapan sistem audio. Paling penting adalah menyambungkan speaker kepada rangkaian WI-Fi sekiranya anda tidak mahukan sambungan berkabel melalui port LAN yang terletak di bahagian belakang.
JBL Bar 1000 adalah sebuah speaker pintar. Apabila mempunyai sambungan Internet, anda bolehlah gunakan beberapa ciri pinar yang dimilikinya. Contohnya, arahan suara boleh diberikan melalui Google Assistant ataupun Amazon Alexa.
Anda boleh mengawal peranti pintar yang lain ataupun mengarahkan speaker untuk mainkan muzik kegemaran anda. Berikut adalah servis penstriman yang disokong JBL Bar 1000:
- Spotify
- Apple Music
- TuneIn
- Amazon Music
- Calm Radio
- Napster
- Qobuz
- TIDAL
- iHeartRadio
Speaker ini juga menyokong Google Chormecast dan Apple AirPlay, membolehkan anda untuk strim audio daripada peranti yang menyokongnya tanpa bantuan Bluetooth. Kalau perlukan Bluetooth, ciri itu tetap ada dan sekiranya anda mahukan sambungan fizikal, ada beberapa pilihan yang diberikan.
Ia ada audio optikal ataupun untuk sambungan yang lebih versatil, teknologi e-ARC HDMI turut disokong speaker ini yang menghantar isyarat digital daripada TV kepada soundbar. Apabila bersambung dengan TV, anda boleh gunakan lagi 3 port HDMI yang berada di belakang soundbar ini yang bermaksud ia turut berfungsi seperti sebuah hab HDMI. Makanya, anda boleh tambah Android Box ataupun konsol permainan terus kepada soundbar.
Sound
JBL Bar 1000 mempunyai jumlah output kuasa setinggi 880W yang dibahagikan kepada beberapa bahagian. Soundbar itu sendiri mengeluarkan 440W diikuti dua speaker satelit yang membuahkan 70W setiap satu. Akhir sekali adalah subwufer yang memuntahkan 300W.
Walaupun nampak ringkas, soundbar ini memiliki 10 unit speaker terbina di dalamnya. Ia ada 5 pemacu bunyi jenis racetrack, 3 tweeter, dan 2 speaker berjulat penuh menghala ke atas.
Tambah menarik, speaker satelit JBL Bar 1000 mempunyai bateri terbina. Berbekalkan bateri 3,300mAh, ia boleh beroperasi selama 10 jam lamanya sebelum perlu dicas sama ada dengan mencantumkannya dengan badan utama ataupun gunakan saja port USB-C yang disediakan.
Sekiranya anda ingin menikmati pengalaman bunyi keliling, sedikit proses kalibrasi perlu dilakukan. Semuanya menggunakan aplikasi JBL ONE dan tiada sebarang peralatan tambahan diperlukan.
Teknologi Dolby Atmos memang memberikan kelainan signifikan kepada pengalaman mendengar. Ia membuatkan saya berasa seperti berada di tengah-tengah aksi sedang berlaku. Keupayaan speaker menghasilkan bunyi menembak ke arah siling adalah faktor utama dalam penghasilan bunyi keliling yang mantap. Ia menembak ke arah siling untuk dipantulkan kepada pendengar untuk ilusi bunyi datang daripada atas.
Rakan-rakan saya yang mencuba speaker ini pun rata-ratanya kagum dengan prestasi JBL Bar 1000.
Itulah perkongsian saya tentang JBL Bar 1000, sebuah speaker premium daripada JBL. Sekiranya anda berminat untuk dapatkannya, harga pasarannya adalah RM4,999. Pada saya ia berbaloi dek paras output 880W yang berkuasa disamping subwufer padu dan ciri-ciri pintar yang dimilikinya.
Sebenarnya JBL Bar 1000 adalah salah satu model dalam siri JBL Bar. Berada di kedudukan terbawah adalah JBL Bar 300 yang berharga RM2,399. Model ini tiada subwufer dan speaker satelit. Sekiranya anda perlukan subwufer untuk bass yang lebih padu, Bar 500 dijual pada harga RM2,999. Kalau anda minat dengan speaker boleh tanggal, Bar 800 ada konfigurasi 5.1.2 pada harga RM3,999. Atas lagi daripada Bar 1000 adalah Bar 1300 pada harga RM7,999 dengan konfigurasi 11.1.4.
Kesimpulannya, ada macam-macam pilihan soundbar JBL pada pelbagai paras harga. Anda bolehlah layari laman rasmi mereka untuk maklumat lanjut.