Mencari laptop pada harga patut sepatutnya tak sukar sekiranya anda tahu spesifikasi apa yang anda inginkan. Dalam artikel ini, disenaraikan kepada anda 5 laptop bawah RM4,000 setiap satunya. Dalam kalangan 5 ini, ada yang sesuai untuk pembangun kandungan, ada yang sesuai untuk gamers, ada yang sesuai untuk kegunaan pejabat, dan ada juga yang memiliki hayat bateri yang panjang.
Mari kita pergi ke laptop yang pertama.
Asus Vivobook Pro 15 OLED (M3500Q- CL1394WS)
Asus Vivobook Pro 15 OLED sesuai untuk pembangun kandungan yang perlukan paparan berwarna jitu untuk menyunting gambar ataupun vide. Nak gunakannya untuk ber-gaming juga boleh kerana ia ada GPU luaran.
Panel paparan Vivobook Pro 15 OLED mempunyai paparan sebesar 1.56” OLED dengan cakupa 100% DCI-P3 dan juga Pantone Validated. Atas papan utama, laptop ini diperkasa AMD Ryzen 5 5600H. Walaupun cip ini sedikit berusia, ia diubati dengan panel OLED yang dimilikinya.
Apabila melakukan kerja yang memerlukan kuasa pemproses yang tinggi, laptop ini mampu lakukannya menerusi GPU RTX 3050 dan RAM 16GB yang terbina di dalamnya. Storan yang anda terima adalah seluas 521GB.
Di bahagian penawaran port I/O, anda dapat:
- 1 USB-C
- 3 USB-A
- 1 HDMI
- 1 jek audio 3.5mm
- 1 makro-SD
Laptop ini ada bateri 53Whr dan pengecas 120W disediakan dan seberat 1.65kg. Asus Vivobook Pro 15 OLED ini boleh didapatkan pada harga RM3,899.
HONOR MagicBook 14 2022 RTX 2050
Laptop yang kedua adalah Honor MagicBook 14 2022 RTX2050. Laptop Honor ini boleh dikelaskan sama kategori macam Asus tadi iaitu untuk pembangun kandungan yang perlukan paparan berwarna jitu. Ia ada paparan 14” nisbah 4:3 beresolusi QHD+ yang cakupi 100% sRGB.
CPU yang digunakannya adalah Core i5-12500H, sezaman dengan Ryzen 5 5600H pada Asus Vivobook yang telah diceritakan tadi. Walau bagaimanapun, cip Intel ini ada 12 teras berbanding 6 di Ryzen 5 5600H. Ia diberikan GPU RTX 2050 yang dirasakan masih gagah untuk kerja-kerja grafik ringkas walaupun juga sudah berusia seperti CPU-nya.
Ia ada 16GB LPDDR5 bermakna lebih jimat tenaga berbanding DDR5 biasa dan lebih menarik baterinnya 75Whr, kapasiti paling besar dalam senarai ini. Pengecas 135W disediakan di dalam kotak daripada jenis USB-C. Bila nak sambungkan aksesori, anda boleh manfaatkan 2 USB-C, 1 USB-A, 1 HDMI, 1 jek audio 3.5mm. Beratnya cuma 1.56kg.
HONOR MagicBook 14 2022 RTX 2050 boleh didapatkan pada harga RM3,999.
Acer Nitro 5 (AN515-58-51AB)
Acer Nitro 5 ini saya lebih tujukan kepada gamers, untuk pembangun kandungan tidaklah sangat kecualilah anda tak perlukan paparan yang jitu warna atau anda akan sambungkannya dengan paparan tambahan melalui port HDMI.
Acer Nitro 5 ada skrin 15.6” IPS dengan kadar segar semula 144Hz. Cakupan sRGB adalah pada 63%, tidak sebaik dua laptop sebelum ini. GPU Acer Nitro 5 ini lebih berkuasa pada RTX 3060. Ia mengalahkan RTX 3050 di Vivobook Pro 15 tadi.
Masalah laptop ini adalah RAM yang diberikan adalah 4GB sahaja yang perlu dinaik taraf secepat mungkin. Kedai yang sama menjual sekeping 16GB pada harga RM249 lantas jadikan laptop ini memiliki 20GB sekelip mata. Nasib baiklah storan yang diberikan agak masuk akal iaitu 512GB. Berikut adalah senarai port I/O yang dimiliki laptop ini:
- 1 USB-C
- 3 USB-A
- HDMI
- LAN.
Laptop ini agak berat, terberat adlam senarai ini pada 2.5kg dengan bateri 57.5Whr. Sekiranya anda berminat untuk dapatkannya, harganya adalah RM3,499 tanpa naik taraf RAM.
Lenovo Ideapad Slim 5i 16″ (16IRL8-82XF001GMJ)
Laptop keempat ini daripada jenama Lenovo dalam siri Ideapad Slim 5i. Laptop ini ada panel paparan paling besar dalam senarai ini iaitu 16”.
Laptop ditujukan kepada yang kerja pejabat seperti yang fokus pada perisian Microsoft 365 ataupun yang terlibat dengan pengaturcaraan. Mereka ini memerlukan ruang paparan yang luas untuk memuatkan lebih banyak kandungan.
Ideapad Slim 5i ada paparan 16” beresolusi 1920 x 1200 bernisbah 16:10, lebih tinggi daripada widescreen biasa. Walaupun laptop ini gunakan panel IPS tapi panel tersebut cuma cakupi 45% sRGB. Makanya, ia kurang sesuai untuk kerja-kerja grafik.
Atas papan utama, ia ada Intel Core i5-1340P. Intel generasi ke-13 ini segar daripada ketuhar Intel. Ia ada 4 teras CPU yang bekerja pada paras 28W. Kebiasaannya, kuasa 28W pada CPU generasi terdahulu hanya untuk 2 teras sahaja.
RAM laptop ini daripada jenis LPDDR5 berkeluasan 16GB dan tak boleh diperluas. Modul LPDDR5 juga jimat tenaga disamping ia ada storan 1TB PCIe Gen4 yang terbaharu. Port-port yang anda terima adalah seperti 2 USB-C, 2 USB-A, 1 HDMI, 1 jek audio, 1 mikro-SD
Walaupun laptopnya besar, baterinya agak kecil pada 56.6Whr dengan blok pengecasn 65W diberikan.Dengan laptop sebesar ini, beratnya cuma 1.89kg. Sekiranya anda berminat, harganya adalah RM3,999.
Apple MacBook Air M1 – RM3,500
Laptop terakhir yang saya nak sarankan adalah MacBook Air M1. Laptop ini agak berusia iaitu model 2020 tapi disebabkan pengoptimuman mantap pada MacOS, laptop ini masih relevan hingga hari ini. MacBook Air M1 sesuai untuk semua orang. Cumanya ia menjalankan sistem operasi MacOS, sedikit terkepung berbanding Windows kalau anda jenis power user.
MacBook Air M1 ada paparan 13.6” Liquid Retina 2560 x 1600 dengan teknologi TrueTone. Pendek kata ia boleh digunakan untuk buat kerja-kerja grafik walaupun pada skrin kerdil ini.
Atas papan utama, ia ada cip Apple M1 dengan RAM 8GB. Storan yang diberikan adalah 256GB. Bagusnya laptop ini adalah ia boleh dicas dengan blok pengecas serendah 30W kerana ia guna piawaian USB-PD dan boleh pergi sehingga 140W.
Ada 2 port USB-C diberikan dan kedua-duanya menyokong Thunderbolt 4. Satu lagi port adalah jek audio 3.5mm. Ketahanan bateri laptop ini diiklankan sebagai sehingga 18 jam. Memanglah, Apple M1 adalah cip ARM, teknologi sama yang diguna pada cip telefon anda.
Berat MacBook Air M1 cuma 1.29kg, paling ringan dalam senarai ini. MacBook Air M1 dijual dalam pasaran pada sekitar harga RM3,500.