Samsung telah melancarkan beberapa produk di CES 2023 awal tahun lalu. Selain daripada Samsung Odyssey OLED G9 yang kami laporkan tempoh hari tentang promosi pembelian awalnya, mereka turut melancarkan Samsung ViewFinity S9 5K.
Berita terbaharu tentang monitor itu adalah ia sudahpun diumumkan penjualannya dalam pasaran Korea Selatan pada harga KRW1.9 juta (RM6,806). Harganya hampir menyamai Apple Studio Display yang boleh didapati dalam pasaran kita pada harga RM6,999.
Tidak hairanlah mengapa harganya sangat mirip kerana spesifikasinya juga amat mirip.
Spesifikasi Samsung ViewFinity S9 5K
Samsung ViewFinity S9 5K adalah sebuah monitor bersaiz 27”. Menariknya, rupa paras monitor ini saling tak tumpah seperti sebuah Apple Studio Display.
Ia tampil dengan panel VA QLED beresolusi 5,120 x 2880, resolusi yang sama dengan Apple Studio Display dan kecerahan juga sama pada 600 nits. Samsung mendakwa yang monitor ini mencakupi 99% gamut warna DCI-P3 dan ia memang ditujukan kepada golongan yang perlukan paparan jitu warna untuk kerja-kerja melibatkan perwarnaan.
Ia turut dilengkapi dengan enjin penentukuran warna yang sekiranya perlu, warnanya boleh dikalibrasikan dengan aplikasi telefon mudah alih.
Di belakang monitor, ViewFinity S9 5K dilengkapi 4 port USB-C dengan salah satunya menyokong Thunderbolt 4 yang boleh menyalurkan kuasa stinggi 90W untuk mengecas komputer. Satu lagi port I/O adalah Mini-DP.
Samsung ViewFinity S9 5K menjalankan sistem operasi TizenOS. Jadi anda boleh gunakan segala ciri pintar sepertinya ia sebuah TV pintar. Webcam juga ada pada monitor ini tetapi ia jenis boleh ditanggalkan daripada badan.
Bacaan berkaitan
Odyssey OLED G9, monitor gaming flagship Samsung dibuka tempahan sehingga 9 Julai 2023
[PROMO] Telefon lipat Samsung Galaxy Z Flip 256GB dijual tak sampai RM2,000 di Shopee
Samsung beri TV 43″ boleh putar percuma bersama pembelian TV QLED 98″ dan OLED 77″ baru