Oppo sebenarnya membuat pelaburan yang besar dalam penghasilan peranti mereka. Sejak tahun 2022, mereka telah bekerjasama dengan pakar kamera, Hasselblad. Sehubungan itu, Oppo mengumumkan akan menjadikan teknologi pengimejan di telefon pintar sebagai strategi pembangunan utama mereka, bermula tahun ini dengan peranti flagship terbaru, Oppo Find X6 Pro.
Spesifikasi Oppo Find X6 Pro menunjukkan ia adalah peranti berkuasa tinggi dan terbaik masakini, menggunakan cip Snapdragon 8 Gen 2 sebagai kuasa pemproses utama. Di bahagian kamera, ia menggunakan gabungan tiga kamera iaitu kamera utama dengan sensor Sony IMX989 50MP sebesar 1-inci, dan dua sensor 1/1.56-inci untuk lensa ultralebar dan telefoto.
Dengan cita-cita untuk menyediakan keupayaan pengimejan terbaik, Oppo menubuhkan Pasukan Fotografi Wawasan, yang dianggotai oleh jurugambar profesional. Pasukan ini ditugaskan untuk menganalisa secara kritikal sebarang kekurangan dan kekangan fotografi di telefon pintar dan memberikan cadangan untuk peranti generasi akan datang.
Kanta telefoto periskop terunggul
Walaupun kamera telefoto terdapat di kebanyakan telefon pintar flagship, pasukan pengimejan Oppo menemui bahawa fungsi ini jarang digunakan. Ini terjadi akibat beberapa faktor seperti pengeluar telefon pintar terlalu fokus untuk mencapai jarak fokal dengan pelbagai tahap zum tetapi mengorbankan kualiti imej.
Kebanyakan modul periskop di kamera telefoto trelalu besar dan mengehadkan ruang untuk sensor dan menyebabkan kurangnya cahaya ditangkap. Di dalam situasi rendah cahaya yang mencabar, gambar yang ditangkap sering terganggu dengan herota, terlebih pendedahan cahaya dan tinggi tahap hingar.
Untuk mengatasi masalah berkaitan pengimejan telefoto ini, Oppo telah memperkenalkan struktur yang diperbaiki dan mengurangkan saiz lensa periskop serta membenarkan lebih ruang untuk sensor lebih besar serta prisma periskop yang besar. Menggunakan sensor IMX890 1/1.56-inci yang besar, pengguna Oppo Find X6 Pro tidak akan dipaksa menggunakan kamera utama dengan zum digital walaupun rendah cahaya. Prisma yang besar membantu mengurangkan gegaran cermin dan membolehkan gambar berkualiti tinggi ditangkap sepenuhnya di dalam suasana rendah cahaya atau tinggi kontras.
Bokeh seakan DSLR di telefon pintar
Banyak telefon pintar masakini mampu menangkap gambar dengan kesan bokeh mengguankan mod potret dan bantuan-AI. Bagaimanapun, ia masih jauh dari sempurna kerana kebanyakan mod potret masih gagal untuk mengenalpasti manusia dengan tepat dan menjadikan gambar memiliki latar bokeh yang tidak semulajadi.
Untuk mendapatkan tangkapa gambar potret profesional seperti DSLR, algoritma bokeh Oppo menjana bokeh progresif untuk semua perkara kecuali manusia, yang ditentujkan menerusi jarak dari lensa. Titik cahaya bokeh di latar belakang turut diuruskan oleh algoritma bokeh yang membuat perkiraan taburan kecerahan semula jadi untuk memberikan hubungan ruang dan tahap kecerahan yang tepat kepada suar cahaya.
Mengetahui kekurangan yang dihadapi telefon pintar masakini, Oppo juga telah meningkatkan keupayaannya untuk mengesan objek dipegang tangan, gerak isyarat dan bulatan dengan latihan algoritma. Ini menjadikan peranti Oppo memberikan kesan boleh yang semulajadi dan asli di dalam mod potret. Hasilnya, Oppo mendakwa anda boleh mendapatkan tangkapan potret seperti ditangkap menggunakan lensa optikal yang memiliki kejituan imej yang bergabung dengan sempurna bersama latar belakang.
Menangkap lampu dan bayangan tulen dengan tepat
Oppo menyatakan bahawa mereka mengambil langkah serampang dua mata untuk menangkap dan menghasilkan semula intipati asli cahaya dan bayang-bayang untuk Find X6 Pro dengan lebih baik. Pertama, ia menggunakan sepenuhnya ketiga-tiga kamera untuk menangkap pelbagai tahap cahaya seluas yang mungkin. Ia diikuti dengan penggunaan algortima tercanggih untuk memproses maklumat cahaya dengan tepat pada setiap tahap bermula dari tangkapan gambar sehingga ke paparan gambar.
Dengan Senibina Pemproses Imej Generasi Akan Datang, Find X6 Pro dikatakan memiliki 10x kuasa memproses berbanding generasi sebelumnya dan menyediakan peningkatan dalam kualiti gambar, bayang-bayang dan warna. Find X6 Pro juga memberikan 30% peningkatan dalam kualiti gambar dan 60% pengurangan berkaitan hingar gambar.
Selain itu, Oppo juga menggunakan Teknologi Matriks Foton untuk memaparkan cahaya semulajadi dan bayang-bayang dengan lebih tepat. Find X6 Pro dikatakan mampu merakam 12 juta gambar maklumat pencahayaan yang membolehkan ia meluaskan lagi julat dinamik maksimum kepada 8 kali berbanding teknologi SDR biasa.
Malangnya, Oppo Find X6 Pro tidak akan datang ke Malaysia. Bagaimanapun, Oppo akan membawakan teknologi fotografi yang serupa ke dalam telefon pintar lain, termasuk Oppo Reno 10 Pro+ 5G. Oppo Malaysia akan melancarkan siri Reno 10 pada minggu hadapan, iaitu hari Khamis, 6 Julai 2023. Anda juga boleh menyaksikan siaran langsung pelancaran siri Oppo Reno 10 yang bermula pukul 11 pagi.
Sementara itu, anda boleh saksikan pandang awal rakan kami tentang Oppo Find X5 Pro di bawah: