Lebih ramai pengguna U Mobile berpeluang untuk menggunakan rangkaian 5G tanpa caj tambahan. U Mobile memaklumkan mereka akan mengadakan ujian 5G dan ia melibatkan lebih banyak pelan prabayar dan pascabayar terpilih.
Ujian ini akan diadakan selama seminggu, dari 30 Jun sehingga 7 Julai 2023. Di dalam FAQ, pelan yang terlibat dalam ujian 5G ini dengan kelajuan penuh tanpa sekatan adalah:
Prabayar U Mobile (Langgan sebelum 21 Jun)
- GX12
- GX30
- GX38
- GX43
Pascabayar U Mobile
- Giler Unlimited GX50
- Unlimited Hero Postpaid 78
Selepas tamat tempoh ujian, pengguna Prabayar GX masih boleh bersambung ke rangkaian 5G tetapi kelajuannya disekat mengikut pelan yang dilanggan (3Mbps ke 12Mbps). Sama juga untuk pengguna pascabayar Giler Unlimited GX50 dan Postpaid P78, akses 5G masih diberikan tetapi kelajuan disekat mengikut pelan.
Tetapi jika pengguna terbabit mahukan kelajuan 5G sepenuhnya, mulai 7 Julai mereka boleh membeli Speed Booster yang dijual di dalam aplikasi MyUMobile pada harga RM1 untuk 2 jam, atau RM5 untuk 24 jam. Pelanggan pascabayar pula boleh membeli Data Booster 5G pada harga RM10, atau Hotspot Booster berharga RM5 juga di dalam aplikasi aplikasi MyUMobile.
Selain pelan 5G, pengguna juga perlu memastikan mereka berada di dalam liputan 5G Digital Nasional Berhad (DNB) serta menggunakan peranti 5G yang serasi, untuk bersambung ke rangkaian 5G. Liputan 5G boleh disemak di sini.
Buat masa ini, pengguna prabayar U Mobile boleh mendapatkan akses 5G menerusi booster harian atau ganjaran 5G hujung minggu. Bagi pascabayar pula, akses 5G diberikan percuma untuk pelan pascabayar Unbeatable dari RM38/bulan dengan 60GB data sehinggalah RM98/bulan dengan 1,000GB data.
Selain itu, U Mobile juga baru melancarkan pelan data sahaja, U Home 5G. Ia adalah pelan SIM 5G yang menyediakan data sahaja, tanpa had kuota dan sekatan kelajuan. Malah, tiada kontrak dikenakan kerana tiada router 5G percuma diberi. Bagaimanapun, FAQ ada menyebut bahawa U Mobile akan mengenakan hak penggunaan saksama (FUP) selepas penggunaan 1,000GB data dan menyekat kelajuan kepada 512kbps jika merasakan ada penyalahgunaan.
[Sumber: U Mobile]