Syarikat penerbangan tambang rendah terbaru Malaysia, MYAirlines telah memperkenalkan satu program baharu yang boleh dimanfaatkan pelajar-pelajar di Malaysia iaitu “MYAirline Students”. Program MYAirline Students terbuka untuk pelajar tempatan dan antarabangsa Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia yang berumur di antara 16 hingga 26 tahun. Majlis pelancaran program ini berlangsung di terminal KLIA2 dan turut dihadiri oleh Menteri pengangkutan, Anthony Loke.
Dalam program tersebut, pelajar diberikan diskaun 20% bagi tiket penerbangan serta elaun bagasi 15kg secara percuma untuk semua penerbangan domestik yang ditawarkan MYAirline. Tapi untuk peroleh kelebihan program ini, pelajar IPT yang memenuhi kriteria perlu mendaftar terlebih dahulu untuk keahlian ganjaran MYAirline dan kemudian daftar di borang program MYAirline Students.
Bagi melakukan pendaftaran, pemohon perlu menyediakan dokumen sokongan seperti salinan kad pengenalan atau passport (untuk pelajar antarabangsa), kad pelajar, surat pengesahan pelajar universiti/kolej serta gambar digital berukuran passport.
Walau bagaimanapun, ambil perhatian bahawa terdapat yuran tahunan RM20 untuk program “MYAirline Students” ini dan kad pelajar MYAirline akan diberikan kepada pemohon yang berjaya. Berita baiknya, yuran RM20 tersebut dikecualikan bermula 30 Jun sehingga 31 Julai 2023 sempena pelancarannya. Kad pelajar MYAirline sah digunakan selama setahun dari tarikh permohonan berjaya dan pelajar perlu memperbaharui status keahlian dengan mengemukakan surat pengesahan yang baru daripada institusi.
Tapi, ada beberapa perkara penting yang diketahui sebelum mendaftarkan keahlian untuk program ini. Menurut laman FAQ, program pelajar ini tidak boleh dipakai bersama promosi MYAirline yang lain dan pembelian tiket hanya boleh dilakukan di kaunter MYAirline sahaja, tidak boleh dibeli secara atas talian. Pelajar juga perlu membeli tiket awal 28 hari sebelum hari penerbangan.
Untuk penerbangan segera, pelajar boleh mendapatkan tiket sedia ada di kaunter daftar masuk lapangan terbang MYAirline, tapi tertakluk pada ketersediaan. Bagi penerbangan ke Malaysia Barat, MYAirline menawarkan kadar tambang tetap sehala RM80 termasuk semua dengan bagasi 15kg secara percuma. Untuk ke Malaysia Timur, kadar tambang tetapnya pada RM130 sehala termasuk bagasi 15kg secara percuma.
Selain itu, MYAirline dalam masa yang sama telah menambah penerbangan ke lebih banyak destinasi dalam Malaysia dan luar Malaysia. Penerbangan dari Kuala Lumpur kini mempunyai destinasi seperti Kota Bharu, Pulau Pinang, Langkawi, Sibu, Miri, Kuching, Kota Kinabalu, Tawau dan Bangkok. Harga tiket penerbangan sehala untuk destinasi yang disebutkan tadi boleh didapati termurah bermula dari RM65.
Untuk tahu lebih lanjut berkenaan program MYAirline Students, anda boleh layari laman web prorgram itu di sini.