OnePlus bermula dengan moto “Pembunuh Peranti Flagship” pada peranti pertama mereka. Tetapi sedikit demi sedikit, mereka bertukar menjadi pengeluar peranti flagship yang sangat mahal, setaraf Samsung dan iPhone.
Tetapi hari ini, OnePlus telah melancarkan model terbaru yang membawa kembali konsep peranti pertama mereka iaitu peranti berkuasa flagship pada harga rahmah. Ia dinamakan, OnePlus Nord 3 dan akan dijual di Malaysia pada harga RM2,199 sahaja.
Kuasa flagship dibantu Mediatek
Langkah pertama untuk menjadikan OnePlus Nord 3 berkuasa tinggi dengan kos lebih rendah, adalah menggunakan cip keluaran Mediatek. Kerana itu, OnePlus memilih cip Mediatek Dimensity 9000 yang setaraf dengan cip Snapdragon 8 Gen 1, pemproses flagship tahun lepas tetapi masih berkuasa tinggi.
Prestasi flagship ini dipadankan dengan penggunaan RAM terbaru LPDDR5X dengan saiz sangat besar iaitu 16GB. Ditambah lagi dengan storan super pantas UFS 3.1 seluas 256GB. Ini membuatkan OnePlus sangat yakin bahawa Nord 3 mampu menjalankan sehingga 44 aplikasi serentak dengan lancar.
Sensor kamera setaraf OnePlus 11
Bahagian pengimejan OnePlus Nord 3 juga dikatakan bertaraf flagship, kerana ia menggunakan sensor yang serupa dengan OnePlus 11. Kamera utama OnePlus Nord 3 dilengkapi sensor Sony IMX890 50MP F1.8 bersama penstabil imej optikaal dan elektronik (OIS+EIS). Tetapi ia terhad di situ sahaja kerana kamera ultralebar yang berbeza dan tiada kamera telefoto.
Kamera lain yang terdapat pada OnePlus Nord 3 adalah kamera ultralebar 8MP F2.2 dan kamera makro 2MP. Menurut OnePlus, ia mampu menangkap gambar malam dengan gabungan kuasa OIS dan algoritma TurboRAW. Di samping itu, ia juga boleh merakam video sehingga 4K60fps.
Untuk kamera hadapan, ia dipasang sensor 16MP dan terletak di dalam lubang kecil di dahi skrin.
Paparan lancar dan cerah
Kehebatan paparan OnePlus Nord 3 juga tidak boleh disangkal. Ia adalah skrin rata Super Fluid AMOLED seluas 6.74-inci, dengan kadar penyegaran dinamik 120Hz dan resolusi 1.5K (2772×1240) memberikan kepadatan piksel 450 PPI.
Paparan ini juga sangat mencerah, mampu mencapai 1,450nits dengan kadar respon sentuh setinggi 1,000Hz. Ia menyokong teknologi seperti sRGB, 10-bit dan HDR10+.
Menambah pengalaman mengasyikkan pada OnePlus Nord 3 adalah sistem bunyi stereo yang dihasilkan dua pembesar suara di atas dan bawah telefon. Teknologi Dolby Atmos diterapkan untuk memberi audio sekeliling yang realistik.
Kapasiti bateri mungkin tidak mengejutkan, hanya 5,000mAh tetapi ia menerima kuasa pengecas SuperVOOC 80W. Ia mampu mengecas dari 1 ke 60% dalam masa 15 minit, cukup untuk penggunaan biasa selama sehari.
Paling utama, OnePlus Nord 3 memiliki butang luncur fizikal, butang yang digunakan untuk menjadikan telefon senyap atau bergetar sahaja. Ia adalah ciri ikonik di peranti flagship OnePlus, juga serupa dengan iPhone.
Sistem operasi terkini, OxygenOS 13.1 berasaskan Android 13 dipasang siap ke dalam OnePlus Nord 3. Tetapi OnePlus mengangkat tahap peranti ini setaraf flagship apabila menjanjikan kemaskini OS sebanyak tiga kali dan kemaskini keselamatan selama 4 tahun. Jangka masa yang lebih panjang berbanding model Nord sebelum ini.
Untuk mengenali dengan lebih lanjut, layari laman produk OnePlus Nord 3.