Jenama di bawah naungan ZTE, Nubia memfokuskan penghasilan telefon gaming premium menggunakan lencana RedMagic. Ia dimampatkan dengan segala ciri flagship yang anda boleh fikir macam kipas terbina, butang trigger dan yang paling penting lampu RGB. Tapi Nubia kini menyertai pasaran telefon gaming yang lebih mesra bajet atau mampu milik dengan model kelas permulaan yang dipanggil Nubia Neo 5G.
Kebiasaannya, telefon gaming dalam segmen ini akan dikuasakan menggunakan SoC sama ada dari MediaTek siri Helio atau pun Snapdragon siri 4. Walau bagaimanapun, Nubia mengambil pendekatan yang berbeza untuk mengerakkan telefon pintar Neo mereka dengan menggunakan SoC dari Unisoc. Cip Unisoc tersebut ialah T820, sebuah cip baru dan tertinggi dalam hierarki cip Tanggula Unisoc.
Jadi, mungkin ada yang mempersoalkan kekuatan cip ini oleh kerana ia adalah cip Unisoc. Tapi adakah ia memang layak digelar sebagai telefon gaming? Bagaimana prestasinya dengan cip lain dalam segmennya? Untuk tahu lebih lanjut, jom ikut ulasan ini.
Spesifikasi Nubia Neo 5G
Sebelum itu, mari kita lihat spesifikasi yang dibekalkan Nubia Neo 5G.
- SoC: Unisoc T820 6nm
- RAM: 8GB + RAM maya 10GB
- Storan: 256GB, Slot MicroSD
- Kapasiti bateri: 4,500mAh, pengecasan 22.5W
- Skrin: 6.6 inci, HD Penuh 1080×2408, 120Hz
- Kamera: Utama 50MP, Depth 2MP
- Kamera Hadapan: 8MP
- Sistem Operasi: MyOS13 berasaskan Android 13
Rekaan badan yang unik, UI tema baru
Bermula daripada luaran, rekaan badannya memang tampak seperti sebuah telefon gaming. Bahagian panel belakangnya menggunakan kemasan jenis plastik dengan lakaran mekanikal unik yang menampilkan aura futuristik. Terdapat reka bentuk mata dan ruang pengudaraan yang memberikan kesan 3D jika ia di terkena cahaya pada sudut tertentu.
Nubia Neo 5G tersedia dalam dua varian warna dan unit yang di tangan saya berwarna Hitam Phantom. Pilihan warna selain hitam adalah warna Kuning War Damaged.
Secara keseluruhan, reka bentuk badannya amat nipis berukuran 7.49mm. Bingkainya jenis besinya ringan dan sedap dipegang walaupun dimensinya agak lebar. Jadi penggunaan satu tangan mungkin sedikit susah untuk pengguna mencapai bahagian atas skrin melainkan anda mempunyai tangan gergasi.
Di sisi telefon terdapat butang kuasa yang juga berfungsi sebagai pengimbas cap jari. Jek audio 3.5mm boleh didapati di bawah telefon yang bersebelahan dengan port USB-C untuk mengecas.
Membuka telefon, sistem operasinya menggunakan MyOS 13 berasaskan Android 13. Namun apa yang membezakannya dengan telefon Nubia lain adalah, antara mukanya didatangkan dengan tema baru iaitu tekstur Damaged Mecha. Tema boleh dilihat pada ikon aplikasi.
Pengalaman gaming tersuai melalui Gamespace
Salah satu perkara di Neo 5G yang dipinjam dari RedMagic adalah aplikasi Gamespace. Ia membolehkan pengalaman gaming disuaikan mengikut keperluan dengan mengubah tahap prestasi dari tiga mod berbeza iaitu eco, seimbang dan tinggi.
Walau bagaimanapun, saya dapati mengubah tetapan ke tahap prestasi lain tidak memberikan sebarang perbezaan pada prestasi atau kelajuan gaming. Terasa prestasi sama sahaja pada semua mod.
Selain itu, anda juga ada pilihan untuk mengurangkan sentuhan tidak sengaja atau mistouch di bucu skrin bawah di mana tapak tangan anda berehat ketika bermain. Ada 3 pilihan berbeza sama ada luas, medium atau kecil. Kalau rasa terganggu, anda boleh matikan sahaja ciri ini.
Melalui Gamespace juga, anda boleh mengaktifkan ciri pengecasan bypass untuk menggunakan tenaga secara terus dari blok pengecas. Kelebihan ini dapat menjaga kesihatan bateri jika anda selalu bermain untuk waktu masa yang lama sambil mencucuk pengecas.
Tidak terhad pada itu, pengalaman gaming boleh dipertingkatkan lagi dengan keupayaan untuk menyambung telefon ke aksesori RedMagic yang lain seperti kipas penyejuk, fon telinga malah gamepad RedMagic Shadow Blade.
Unisoc T820 ada prestasi hebat, sokong dua kad sim 5G serentak
Seperti yang dikatakan awal tadi, telefon Nubia ini diperkasa SoC Unisoc T820. Pemproses 6nm ini menggabungkan 1-teras Cortex A76 2.7GHz, 3-teras Cortex A76 2.3GHz dan 4-teras Cortex A55 2.1GHz. Cip tersebut digandingkan dengan RAM 8GB dan storan 256GB. RAM boleh diperluas sehingga 18GB dengan adanya RAM maya.
Apa yang saya boleh kata, ia menawarkan pengalaman gaming yang sangat baik, dan mungkin paling berkuasa dalam kelasnya. Ia boleh menjalankan pelbagai game dengan tetapan grafik ditetapkan tinggi atau medium bergantung pada game. Tapi jangan jangkakan semua game yang berat boleh dimainkan pada tetapan tertinggi.
Bermain permainan seperti Mobile Legends, Nubia Neo 5G mampu jalankannya dengan sangat lancar, walaupun jika ada banyak aksi yang sedang berlaku dalam bingkai. Apabila membuka tetapan dan menghidupkan segala ciri, ia tidak mengalami sebarang kelengahan termasuk jika kualiti grafik ditetapkan pada Ultra. Jadi Mobile Legends bukan sesuatu yang susah untuk telefon ini.
Beralih kepada game berat macam Genshin Impact, Nubia Neo 5G masih boleh menjalankannya dengan agak lancar tapi hanya jika grafik permainan ditetapkan pada medium. Kalau grafik disetkan paling tinggi, permainan baru tersekat-sekat sedikit. Tapi bukan hingga tahap ia tidak boleh dimainkan. Jadi kalau nak pengalaman yang lebih lancar, anda boleh main dengan tetapan medium. Grafik masih lagi nampak cantik dan jelas.
Untuk game battle royale seperti PUBG pula, sejurus memulakan permainan, tetapannya diletakkan pada kualiti HD secara default dengan anti aliasing dimatikan. Kualiti grafik masih ok dan agak lancar bila bermain. Tapi permainan lebih terasa perlahan apabila anti aliasing dihidupkan pada 2x. Jadi anda kena matikan anti aliasing dan berkorban sedikit terhadap kualiti grafik kalau mahu pengalaman bermain lebih lancar.
Kepada yang berminat untuk melihat penanda aras, di sini saya kongsikan hasil ujiannya di Geekbench 6 dan 3DMark. Di Geekbench 6, ia mencatatkan markah sebanyak 890 untuk teras tunggal dan 2,395 untuk pelbagai teras. Markah tersebut tidak jauh beza dengan markah diperoleh oleh cip terbaru Qualcomm Snapdragon 4 Gen 2.
Bagi ujian yang dilakukan di 3DMark pula, Neo 5G meraih markah sebanyak 567 untuk ujian WildLife dan 2,029 untuk Wild Life Extreme.
Sewaktu gaming atau melakukan kerja berat, panel belakang Neo 5G terasa sedikit suam tapi tidaklah terlalu panas sehingga tidak boleh dipegang atau menganggu prestasi. Mungkin ini dibantu oleh sistem pelesapan haba berbilang lapisan yang dilengkapinya di bahagian bateri dan papan utama.
Di samping itu, SoC Unisoc T820 ini menyokong rangkaian 5G. Dengan adanya sambungan 5G sudah tentu akan menyempurnakan pengalaman gaming ketika berada di luar sambungan WiFi. Lebih-lebih lagi ia menyokong 2 slot fizikal kad sim dan berupaya untuk bertukar secara automatik jika salah satu rangkaian sim tidak stabil.
Skrin luas 120Hz, tapi speaker mono sahaja
Tak lengkaplah sebuah telefon gaming tanpa skrin yang laju. Nubia Neo 5G ini dimuatkan dengan skrin 120Hz. Ia tawarkan pengalaman gaming yang sangat lancar, serta pengalaman mengskrol laman web yang mengasyikkan.
Kelajuan skrin boleh ditetapkan untuk berubah secara automatik antara 60Hz hingga 120Hz. Jikalau nak kenal pasti kadar penyegaran skrin yang digunakan, anda boleh jenguk di bahagian bar notifikasi di atas skrin. Paparannya menggunakan panel IPS LCD seluas 6.6-inci pada resolusi HD Penuh (2408×1080).
Nubia Neo 5G memiliki teknologi True Bright Display, di mana ia menawarkan skrin 35% lebih cerah daripada biasa. Nubia tidak pula menyatakan berapa tinggi kecerahan nits yang disokong. Tapi menggunakan telefon ini di bawah matahari tidak memberikan sebarang masalah dan kandungan masih boleh dilihat dengan jelas.
Walau bagaimanapun, perkara yang mengecewakan dan membuatkan Nubia Neo 5G nampak seperti telefon murah adalah dagu skrinnya yang tebal berbanding sisi lain. Ia juga masih menggunakan takuk U di atas skrin, menempatkan kamera selfie.
Lagi perkara yang mengecewakan pada Neo 5G adalah pada sistem audionya. Neo 5G hanya mempunyai sistem audio mono. Walaupun kualiti cukup memuaskan, tapi agak kurang syok jika ia digunakan untuk bermain game. Tapi sekurang-kurangnya ia ada port jek audio 3.5mm untuk sambungan audio secara berwayar yang penting untuk gaming.
Kamera 50MP yang penuh dengan fitur
Menangkap gambar mungkin bukan benda utama yang anda mahukan untuk telefon ini. Walau bagaimanapun, ia berikan hasil yang cukup untuk anda menangkap detik-detik penting.
Untuk menangkapnya, ia menggunakan dua modul kamera yang memuatkan kamera utama 50MP dan kamera depth 2MP. Hasil gambar yang ditangkap menggunakan kamera ini cukup memuaskan. Gambar nampak jelas dan tajam. Tapi warna yang dihasilkan tidak konsisten, kadangkala warna nampak cantik dan kadangkala pudar. Memproses gambar pula mengambil masa beberapa saat.
Tapi, walaupun ia diiklankan sebagai sebuah telefon gaming, sistem kameranya padat dengan ciri-ciri menarik. Ia dimuatkan dengan pelbagai mod seperti mod potret, mod malam, mod panorama, serta mod pro di mana anda boleh mengubah tetapan untuk ISO, kelajuan pengatup dan imbangan putih (white balance).
Bagi memberi bayangan bagaimana hasil menggunakan kamera ini, di bawah saya sertakan sampel gambar dari kamera Nubia Neo 5G.
Kesimpulan
Secara kesimpulan, Nubia Neo 5G menyampaikan seperti apa yang diiklankan, iaitu sebuah telefon gaming. Dengan pada paras harga bawah RM1,000, ia antara telefon kelas pertengahan paling berkuasa yang anda boleh dapat dengan mampu untuk menjalankan kebanyakan game dengan lancar. Nubia Neo 5G juga membuktikan cip terbaru Unisoc adalah sebuah cip yang tawar prestasi tinggi pada harga murah.
Meskipun begitu, sudah tentu terdapat beberapa perkara yang perlu dikompromi untuk mencapai tanda harga ini. Antaranya ia menggunakan skrin IPS LCD, tiada sistem audio stereo, dan kapasiti bateri yang lebih kecil dari pesaingnya yang kebanyakan berkapasiti 5,000mAh.
Dalam kategori ini, Nubia Neo 5G bersaing rapat antara model seperti Infinix Note 30 Pro kerana dijual dengan harga RM899. Tapi Infinix mempunyai kelebihan di bahagian skrin dan sistem pengimejan kerana menggunakan panel AMOLED 120Hz dan kamera 108MP. Tapi untuk prestasi, Nubia Neo 5G jauh mendahului Infinix Note 30 Pro yang menggunakan cip Helio G99.
Pesaing lain adalah iQoo Z7x yang berharga RM999. Telefon gaming iQoo Z7x diperkasa cip Snapdragon 695 5G. Bahagian skrinnya tidak jauh beza berbanding Nubia Neo 5G dengan menggunakan skrin LCD berukuran 6.64 inci HD Penuh 120hz. Tapi iQoo Z7x sokong pengecasan pantas yang lebih laju pada 80W.
Jika nak dibanding antara Nubia Neo 5G dengan dua pesaingnya Infinix Note 30 Pro dan iQoo Z7x, Nubia Neo 5G ternyata jelas lebih berkuasa dari segi prestasi gaming walaupun kekurangan pada beberapa bahagian. Lagipun Nubia Neo 5G dipasarkan sebagai telefon gaming dengan harga mampu milik, di mana ia sememangnya cemerlang dan mampu untuk menjalankan pelbagai game dengan lancar. Jadi kalau anda mahukan sebuah telefon yang fokus untuk gaming, ia adalah pilihan terbaik yang anda boleh dapat pada harga bawah RM1,000.