Realme nampaknya mahu memberikan saingan sengit kepada Honor kerana mengumumkan pelancaran telefon pintar pada tarikh yang sama dengan Honor 90. Telefon pintar yang dimaksudkan adalah siri Realme 11 Pro, dengan tarikh pelancaran juga pada hari Khamis, 20 Julai 2023.
Menariknya, siri Realme 11 Pro menandakan ia tidak akan memperkenal model yang murah, seperti Lite atau tanpa Pro. Malah, ia memiliki satu persamaan ketara dengan Honor 90 iaitu kamera utama 200MP. Realme menambah, telefon baru ini adalah yang pertama di dunia dengan kamera 200MP dan 4X Zoom.
Seperti biasa, peminat boleh menonton majlis pelancaran secara langsung siri Realme 11 Pro di atas talian, menerusi Facebook Realme Malaysia. Pelancaran yang berlangsung pada 20 Julai nanti, akan bermula pukul 7 malam dan dilihat akan bersiaran dari Pulau Redang, Terengganu.
Pulau Redang mungkin menjadi pilihan pelancaran ini selepas Realme mengumumkan kerjasama mereka dengan jurugambar antarabangsa, Lonely Planet. Malah, Realme mungkin akan mempamerkan hasil gambar kerjasama ini menerusi galeri gambar “City Exploration Project” yang berlangsung dari 12-25 Julai 2023, di alamat: 169, Jalan Tun H.S Lee City Centre, Kuala Lumpur.
Siri Realme 11 Pro telah pun dilancarkan di India, menampilkan dua model iaitu Realme 11 Pro dan Realme 11 Pro+. Kedua-dua model ini memiliki rupa luaran yang sama, tetapi perkakas dalaman yang sedikit berbeza.
Antara persamaan tersebut adalah skrin melengkung 3D 6.7-inci 120Hz dan kemasan belakang kulit tiruan. Ia juga dikuasakan cip Mediatek Dimensity 7050 dengan RAM LPDDR4x dan storan UFS 2.2.
Perbezaannya pula, adalah di kamera utama dan kuasa pengecas. Versi Pro dilengkapi kamera utama 100MP dan pengecas SuperVOOC 67W. Manakala model Pro+ menggunakan kamera utama 200MP dan pengecas SuperVOOC 100W.
Harga jualan siri Realme 11 Pro di India adalah seperti berikut.
- Realme 11 Pro (RAM 8GB + Storan 128GB) – INR 23,999 (~RM1,356)
- Realme 11 Pro (RAM 8GB + Storan 256GB) – INR 24,999 (~RM1412)
- Realme 11 Pro (RAM 12GB + Storan 256GB) – INR 27,999 (~RM1,582)
- Realme 11 Pro+ (RAM 8GB + Storan 256GB) – INR 27,999 (~RM1,582)
- Realme 11 Pro+ (RAM 12GB + Storan 512GB) – INR 29,999 (~RM1,695)
Tidak mustahil kita akan melihat harga yang serupa di Malaysia kerana Realme C55 dijual di India pada harga INR 13,999 untuk RAM 8GB dan storan 128GB. Manakala di Malaysia, ia berharga RM699 dengan RAM 6GB dan storan 128GB.
Untuk perbandingan harga siri Realme 10 Pro sewaktu dilancar di Malaysia pada Disember lepas adalah seperti berikut:
- Realme 10 Pro (RAM 8GB + Storan 256GB) – RM1,299
- Realme 10 Pro+ (RAM 8GB + Storan 128GB) – RM1,599
- Realme 10 Pro+ (RAM 12GB + Storan 256GB) – RM1,799
Adakah Realme akan menurunkan harga untuk siri Realme 11 Pro berbanding siri Realme 10 Pro? Nantikan laporan kami di hari pelancarannya nanti.
Bacaan Berkaitan
- Realme 10 Pro & 10 Pro+: Maklumat penjualannya di Malaysia
- Realme 10 Pro 5G edisi Coca-Cola kini di Malaysia, RM1,399 pada stok amat terhad
- Tiga produk baru Realme akan dipamerkan di galeri gambar “City Exploration Project”
- Siri Realme 11 Pro bakal hadir di pasaran global, ada kamera 200MP OIS SuperZoom
- Realme C55: Maklumat Penjualannya di Malaysia