Xiaomi Malaysia akan mula menjual telefon mampu milik terbaru, Redmi 12 pada hari Sabtu, 15 Julai 2023. Terdapat dua varian diumumkan di Malaysia iaitu:
- Redmi 12 (RAM 4GB + Storan 128GB) – RM599
- Redmi 12 (RAM 8GB + Storan 256GB) – RM699
Sebelum ini, Xiaomi mengumumkan diskaun RM100 untuk model 128GB khas di Lazada dan Shopee. Kini mereka menambah satu lagi promosi, khas untuk model 256GB.
Pada 15 Julai nanti, pembeli Redmi 12 256GB akan menerima hadiah percuma bernilai RM139 iaitu fon telinga Redmi Buds 4 Lite. Bagaimanapun, tawaran ini hanya terdapat di Xiaomi Store terpilih sahaja, tiada tawaran untuk pembelian atas talian.
Xiaomi Store tersebut adalah:
- Kompleks Bukit Jambul, Pulang Pinang
- Plaza Low Yat, Kuala Lumpur
- Satu Gadget Menara PGRM, Kuala Lumpur
- Plaza Metro Kajang, Selangor
- DirectD Gadget Mega Store PJ, Selangor
- Rawang Walk, Selangor
- Kompleks Karamunsing, Sabah
- Kota Bahru Mall, Kelantan
- Kuantan Parade, Pahang
- Kipmart Tampou JB, Johor
- Plaza Hang Tuah, Melaka
- AEON Mall Kuching Central, Sarawak
- Ipoh Parade, Perak
Jadi kini, pengguna ada pilihan untuk mendapatkan diskaun RM100 untuk Redmi 12 128GB di Lazada dan Shopee, atau fon telinga percuma bagi Redmi 12 256GB di Xiaomi Store terpilih.
Spesifikasi Redmi 12
Telefon pintar kelas permulaan ini dikuasakan cip MediaTek Helio G88 6nm, bersama RAM LPDDR4X sehingga 8GB dan storan eMMC 5.1 seluas 128GB atau 256GB. Kad mikroSD diterima sehingga 1TB dan ia berupaya meluaskan RAM secara maya sehingga 8GB lagi.
Skrinnya jeniS LCD berukuran 6.79-inci, berlubang kecil di dahi dan ada resolusi HD Penuh bersama kadar penyegaran adaptif sehingga 90Hz. Belakangnya diperbuat daripada kaca, memberi rupa premium walaupun ia adalah peranti kelas permulaan.
Kamera hadapan 8MP F2.1 ditempatkan di dalam lubang kecil di dahi skrin. Kamera di belakang pula ada tiga, gabungan kamera utama 50MP F1.8, kamera ultra lebar 8MP F2.2 dan kamera makro 2MP F2.4. Kamera hadapan dan belakang ini mampu merakam video sehingga HD Penuh 30fps.
Bateri pula dibekalkan dengan kapasiti 5,000mAh dan menyokong pengecasan pantas 18W menerusi USB-C. Bagaimanapun, pengecas yang diberi di dalam kotak mungkin hanya 10W, sama seperti yang terdapat di Redmi 12C. Bermakna, untuk mengecas lebih pantas perlu membeli pengecas 18W berasingan.
Sistem bunyi hanya mono dan ia masih ada jek audio 3.5mm. Pengimbas capjari pula ada di dalam butang kuasa di sisi. Xiaomi juga menyatakan bahawa Redmi 12 adalah peranti kalis percikan air IP53.
Sistem operasi yang digunakan adalah MIUI 14 berasaskan Android 13. Terdapat tiga warna disediakan untuk pasaran Malaysia iaitu perak, biru dan hitam.
Untuk maklumat lanjut, layari laman produk Redmi 12.
[Sumber: Xiaomi]