BYD Malaysia telah mengutuskan hebahan tentang satu pelancaran produk baharu bertarik 28 Julai 2023. Daripada bahan-bahan hebahan yang dikongsikan, dipercayai yang mereka bakal memperkenalkan BYD Dolphon EV, sebuah kereta dalam kelas subcompact, lebih kecil berbanding Atto 3 sedia ada dan tentu sekali harganya akan lebih rendah.
BYD Sime Darby Motors Malaysia turut membuka laman pendaftaran minat untuk mengukur minat rakyat Malaysia terhadap EV ini.
Spesifikasi BYD Dolphin
BYD Dolphin memiliki spesifikasi yang lebih santai. Ia dipacu sebuah motor tunggal yang mengeluarkan 70kW (95hp) dengan tork setinggi 180Nm. Sebagai perbandingan, Honda WR-V yang dilancarkan pertengahan Julai 2023 lalu mempunyai 89kW (121hp) dengan tork setinggi 148Nm.
Walaupun nilai tork lebih tinggi, didapati yang pecutan abad Dolphin 1 saat lebih perlahan berbanding WR-V iaitu 12.3 saat. Mungkin salah satu faktornya adalah ia sekitar 100kg lebih berat berbanding kereta Honda itu.
Pada segi jarak kembara, BYD Dolphin boleh pergi sejauh 340km (WLTP) berbekalkan bateri berkapasiti 44.9kWh. Apabila perlu dicas, ia menyokong pengecasan pantas 60kW (DC) ataupun 7kW (AC).
Versi Extended Range pula menawarkan jarak kembara 427km dengan pek bateri lebih besar 60.48kWh. Lebih menarik, pencutan abadnya lebih pantas pada 7 saat dek motor 150kW/310Nm ataupun dua kali ganda lebih pantas berkuasa berbanding varian biasa.
Harga BYD Dolphin di Malaysia
Di negara jiran kita Thailand, Dolphin Standard Range ditawarkan pada harga THB699,999 (~RM91,567) manakala versi Extended Range pada harga THB859,999 (~RM112,436).
Untuk pasaran kita, pihak kerajaan tidak membenarkan sebaran EV CBU dijual pada harga bawah RM100,000 berdasarkan polisi semasa. Jadi, harga lantainya akan berada atas daripada paras itu.
Kemudian, disebabkan ia adalah model lebih kecil daripada Atto 3, harganya tentu tidak akan melebihi RM149,800 iaitu harga permulaa EV itu.
Jadi kita boleh jangkakan harga antara RM100,00 hingga RM149,800 untuk BYD Dolphin.