BYD Malaysia beberapa hari lepas ada berkongsikan hebahan mengenai pelancaran sebuah EV terbaru, berkemungkinan BYD Dolphin untuk pasaran Malaysia pada 28 Julai 2023. Sempena pelancaran tersebut, nampaknya BYD Malaysia juga akan memberi peluang kepada mereka yang berminat untuk mencuba EV itu sendiri.
BYD Malaysia melalui laman Facebooknya mendedahkan mereka akan mengadakan sesi pandu uji BYD Dolphin EV selama 3 hari bermula 28 Julai hingga 30 Julai 2023 bertempat di Forecourt 1Utama, Old Wing Open Carpark. Sesi pandu uji akan berjalan dari jam 10 pagi sehingga 10 malam.
Jika anda berminat, BYD Malaysia telah membuka penyertaan bermula hari ini di laman web BYD, atau anda boleh klik sahaja di sini untuk pergi ke laman tersebut dan memilih slot masa yang anda inginkan. BYD tidak menyatakan bila pendaftaran akan ditutup mahupun had kuota peserta. Jadi, anda perlu daftar segera bagi mendapatkan slot untuk menjadi yang terawal mencuba BYD Dolphin di Malaysia.
BYD Dolphin ialah sebuah SUV dalam kelas subcompact. Berdasarkan pasaran yang paling dekat dengan Malaysia iaitu Thailand, terdapat 2 model yang ditawarkan iaitu Standard Range dan Extended Range.
Untuk Standard Range, memacu BYD Dolphin merupakan sebuah motor tunggal yang mengeluarkan 70kW (95hp) dengan tork setinggi 180Nm. BYD mengatakan ia boleh memecut dari 0 hingga 100km/h dalam masa 12.3 saat. Bateri yang dibekalkan berkapasiti 44.9kWh dan boleh pergi sejauh 340km (WLTP). Apabila perlu dicas, ia menyokong pengecasan pantas 60kW (DC) ataupun 7kW (AC).
Versi Extended Range pula menggunakan motor yang jauh lagi berkuasa iaitu 150kW (201hp) dengan tork 310Nm. Jarak perjalanannya menyokong sehingga 427km dengan kapasiti bateri lebih besar 60.48kWh. Ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/h pada 7 saat, di mana dua kali ganda lebih pantas dari varian standard.
Berkenaan harga, di Thailand, BYD Dolphin dijual pada harga THB699,999 (~RM92,750) untuk Standard Range dan THB859,999 (~RM113,889) untuk Extended Range. Oleh itu, dijangka untuk pasaran Malaysia ia akan dijual dari harga bermula RM100,000 oleh kerana polisi kerajaan yang tidak membenarkan EV CBU dijual pada harga bawah RM100,000. Jadi untuk mengetahui harganya di Malaysia, nantikan pelancaran rasminya pada 28 Julai 2023 nanti.