Sudah lebih 1.5 tahun Proton mengumumkan kerjasama dengan Smart Automobile Company (Smart) untuk memperkenalkan rangkaian Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) keluaran Smart. Perkara ini bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi apabila Proton New Energy Technology (Pro-Net), anak syarikat Proton, telah memperlihatkan rupa luaran Smart #1 Premium.
Smart #1 dilaporkan akan dijual di Malaysia pada suku keempat tahun ini. Ini juga adalah kereta pertama Smart selepas Mercedes Benz menjual 50% pegangan dalam Smart kepada Geely pada tahun 2019, sekaligus menampilkan elemen daripada kedua-dua syarikat.
Rupa Luaran
Smart #1 adalah SUV elektrik kompak dengan saiz seperti Ora Good Cat dan Mini Countryman. Ia juga lebih kecil berbanding BYD Atto 3, Mercedes-Benz EQA, Volvo XC40 EV dan BMW iX1. Ukuran saiznya ialah 4,270mm panjang, 1,822mm lebar dan 1,636mm tinggi, serta jarak tayar 2,750mm. Ia dibina berasaskan rekaan “Sustainable Experience Architecture” (SEA) oleh Geely, sama seperti yang terdapat pada Volvo EX30.
Tetapi rekaan luarnya sangat mirip dengan Mercedes. Ini termasuk rupa lampu hadapan LED matriks dan lampu LED belakang, berbentuk X dengan kerlipan menarik apabila kunci kereta dibuka. Ia juga boleh menunjukkan lampu bergaya Tesla yang boleh diaktifkan menerusi sistem infotaimen.
Selain itu, ia memiliki bonet cangkerang, pemegang pintu boleh disembunyi, tingkap tanpa bingkai dan rekaan bumbung terapung. Terdapat juga logo Smart di belakang dan hadapan yang dihiasi lampu. Model Premium ini dilengkapi rim aloi 19-inci dengan rekaan aerodinamik dan rata.
Rekaan Dalaman
Rekaan dalaman kenderaan Smart #1 masih tidak boleh ditunjukkan buat masa ini, tetapi ia sangat mirip dengan rekaan dalaman Mercedes. Antaranya papan pemuka berbentuk Y, konsol tengah yang tinggi dan skrin sentuh besar berukuran 12.8-inci di tengah. Ssitem infotaimennya dibangunkan oleh ECARX, anak syarikat Geely. Syarikat yang sama membangunkan sistem Atlas di Proton. Tetapi versi di dalam Smart #1 menyokong Apple CarPlay dan Android Auto.
Terdapat juga paparan instrumen nipis sebesar 9.2-inci, pengecas wayarles Qi, konsol tengah meletak tangan, sistem bunyi Beats dengan 13 speaker, serta pintu belakang berkuasa bebas-tangan. Paling menarik adalam bumbung kaca panoramik yang sangat besar dengan pelindung matahari, berbeza dengan Volvo C40 dan Jaguar I-Pace.
Selain itu, kerusi hadapannya boleh diubahsuai secara elektrik dengan fungsi mudah keluar/masuk untuk pemandu. Sementara di belakang, kerusinya dipecahkan 60:40 dan boleh dibaringkan serta digerakkan ke hadapan atau belakang. Ini membantu meluaskan ruang bonet kecil berkapasiti 323-liter dan boleh diluaskan kepada 411-liter selepas kerusi belakang ditolak ke hadapan sepenuhnya. Selain itu, kerusi ini boleh dilipat rata supaya ruang bonet menjadi lebih luas iaitu 986-liter. But hadapan pula memiliki kapasiti 15-liter.
Smart #1 hadir dengan beberapa ciri bantuan pemanduan, termasuk sistem brek kecemasan berautonomi, kawalan jelajah mudahsuai, dan bantuan ke tengah lorong untuk pemanduan separa berautonomi Tahap 2, dan ia juga boleh menukar laluan secara automatik. Tetapi tidak dapat dipastikan jika semua fungsi ini akan ditawarkan untuk model di Malaysia kelak.
Spesifikasi untuk pasaran Malaysia masih belum dimaklumkan tetapi di Eropah, Smart #1 dikuasakan oleh enjin motor tunggal di belakang yang menghasilkan kuasa 200kW (268hp) dan tork 343Nm. Ini membolehkannya memecut dari 0-11km/j dalam masa 6.7 saat dengan kelajuan tertinggi 180km/j. Bateri 66kWh padanya memberi jarak pemanduan sehingga 440km (WLTP).
Untuk mengecas, Smart #1 menyokong pengecas pantas DC sehingga 150kW, mampu mengecas dari 10% ke 80% dalam masa kurang dari 30 minit. Ia juga salah satu dari EV yang menyokong pengecas AC 22kW, mampu mengecas dari 10% ke 80% dalam masa kurang dari 3 jam.
Smart #1 Brabus
Selain Smart #1 model biasa, Pro-Net juga merancang untuk memperkenal versi yang lebih bergaya Brabus. Model pacuan semua roda ini menghasilkan tenaga 315kW (422hp) dan tork 548Nm, membolehkan pecutan 0-100km/j dalam masa 3.9 saat sahaja. Tetapi jarak pemanduannya berkurang, tidak sampai 400km.
Anda boleh menonton Smart #1 dengan lebih jelas menerusi video rakan kami dari SoyaCincau di bawah: