Menghantar video di WhatsApp sememangnya boleh dilakukan di platform itu, tapi ia memerlukan beberapa langkah dan tak segera seperti menghantar mesej suara. Kini, WhatsApp memperkenalkan satu ciri baru membolehkan pengguna untuk rekod dan hantar video mesej secara segera.
Menurut satu utusan di laman blog WhatsApp, menghantar video mesej boleh dilakukan semudah menghantar mesej suara. Untuk melakukannya, tekan sekali pada ikon mesej suara untuk ubah kepada mod video, kemudian hanya tekan lama ikon tersebut untuk mulakan rekod. Anda juga boleh meleret ke atas untuk mengunci dan merekod secara berterusan.
Dalam pada itu, WhatsApp menyatakan panjang video mesej boleh direkod sehigga 60 saat, dan akan dimain secara automatik apabila dihantar dalam chat. Ini berbeza dengan mesej suara yang tidak dimainkan secara automatik, yang mana sama seperti video yang dihantar sebagai fail.
Video mesej yang dihantar akan muncul dalam bulatan dan dimainkan secara automatik tanpa suara. Jika mahu mendengar suara, anda boleh tekan pada bulatan, di mana ia akan membesarkan lagi tetingkap video.
Di samping itu, seperti kebanyakan ciri di WhatsApp, ciri video mesej terbaru ini juga dilindungi enkripsi hujung ke hujung. WhatsApp mengatakan ciri ini telah mula dikeluarkan dan akan tersedia untuk semua pengguna beberapa minggu akan datang.
[Sumber: WhatsApp]