Sesudah Digi, Celcom pula memperkenalkan pelan prabayar baharu. Dinamakan Xpax Prepaid Unlimited 5G 48, ia dilihat sedikit berbeza berbanding penawaran Digi kerana ia diposisikan sebagai pelan tanpa had sedangkan penawaran Digi adalah Internet berkuota biasa. Namun begitu, mereka berkongsi banyak persamaan lain.
Xpax Prepaid Unlimited 5G 48 ditawarkan pada harga RM48/bulan. Apabila melanggan, anda beroleh akses Internet tanpa had untuk rangkaian 4G ataupun 5G namun kelajuan dihadkan kepada 3Mbps sahaja. Tapi yang lebih menarik, anda menikmati kelajuan sehingga 100Mbps dengan kuota sebanyak 35GB (20GB + 15GB) iaitu tambahan 15GB diberikan sepanjang promosi sehingga 2 Oktober 2022.
Lagi promosi yang sedang berjalan adalah sekiranya anda lakukan pendaftaran di Celcom Blue Cube, anda turut akan terima kuota Internet berkelajuan tinggi sebanyak 5GB. Selain itu, anda akan terima kuota hotspot sebanyak 6GB beserta panggilan tanpa had. Seperti penawaran Digi, anda tak perlukan pas 5G Booster untuk bersambung kepada rangkaian 5G.
Sewaktu artikel ini ditulis, bahagian FAQ dan T&C Celcom masih belum dikemas kini. Kami sedang menunggu maklum balas Celcom tentang beberapa persoalan seperti:
- Kuota tambahan 5GB untuk pendaftaran di Celcom Blue Cube, adakah ia sekali beri ataupun terima secara bulanan?
- Adakah kelajuan 100Mbps hanya terhad untuk sambungan 5G?
- Adakah kuota tambahan 6GB disekat kelajuan kepada 3Mbps?
Anda boleh layari laman rasmi produk untuk maklumat lanjut.