Pasaran Malaysia hari ini menerima satu lagi telefon baru untuk penggunannya. honor Malaysia melancarkan honor 8X bersama-sama dua duta rasmi mereka iaitu Zizan Razak dan SonaOne.
honor 8X diperkasa cip kelas pertengahan terkini mereka iaitu Kirin 710. Ia menggantikan cip Kirin 659 yang digunakan sekian lama pada telefon seperti nova 2i dan Honor 9 Lite. Jadi, untuk prestasi, anda boleh jangkakannya sekitar telefon dengan Snapdragon 660 seperti Xiaomi Mi A2.
honor memasarkan telefon ini untuk bermain. Selain bateri yang besar, ia turut diberikan fungsi GPU Turbo untuk meningkatkan prestasi semasa bermain.
Pada bahagian muka telefon, anda disapa paparan berbingkai nipis sebesar 6.5″ dengan resolusi setinggi 1080p. Terdapat notch pada bahagian dahinya dan bingkai pada bahagian dagu tidak simetri dengan dahinya. Ia mungkin agak menjengkelkan untuk yang terlebih paras OCD-nya.
Selain ber-gaming, prestasi kameranya harus tidak diperkecil. Pada bahagian belakang, anda boleh menemui kamera 20MP dengan kamera sekunder 2MP untuk mengukur kedalaman medan. Untuk berswafoto, kamera 16MP boleh diguna. Pada perisian kamera, ia ada pelbagai fungsi pengimejan yang menarik seperti mode malam yang menjadi penguat pada telefon honor.
Kesemua komponen elektroniknya dikuasakan bateri berkapasiti 3,750mAh yang malangya, dicas melalui port mikro-USB dan bukannya USB-C.
Jika anda berminat untuk memiliki sebuah honor 8X, ia dijual pada harga RM949 dan mula dipasarakan bermula 12 Oktober ini di Shopee dan juga hihonor. Pembelian diluar talian akan bermula 13 Oktober ini di kedai-kedai terpilih. Pembelian awal akan menerima beberapa hadiah percuma seperti:
- honor band 3 bernilai RM119
- baucar bernilai RM100
- flip cover