Realme baru sahaja melancarkan empat produk baru di Malaysia pada akhir bulan Julai. Kini mereka mengesahkan akan membawa satu lagi produk baru, sebelum berakhirnya bulan Ogos. Ia juga diadakan sempena ulangtahun ke-5 Realme.
Produk baru yang bakal dilancarkan pada 30 Ogos 2023 nanti adalah telefon pintar Realme 11 5G. Ia berada di bawah siri Realme 11 Pro yang dilancar bulan lepas. Antara tarikan yang ditampilkan Realme 11 5G nanti adalah kamera utama 108MP dan pengecasan pantas SuperVOOC 67W.
Semua peminat boleh turut sama menyaksikan siaran langsung pelancaran Realme 11 5G, pada hari Rabu 30 )gos 2023, bermula jam 12 tengah hari di Facebook, TikTok dan YouTube Realme Malaysia.
Spesifikasi Realme 11 5G
Modul kamera belakang Realme 11 5G menggunakan rekaan bulatan yang dipanggil Glory Halo. Ia dibuat menggunakan cara yang serupa untuk menghasilkan jam premium, sekaligus memberi rasa estetik berkualiti tinggi. Dengan kamera utama 108MP menggunakan sensor Samsung ISOCELL HM6 dan saiz sensor besar 1/1.67-inci, ia mampu mengezum digital tanpa kehilangan kualiti (lossless) sehingga 3x. Ia dipasangkan bersama kamera potret 2MP.
Menggunakan tenaga SuperVOOC 67W, ia mampu mengecas bateri 5,000mAh di dalam telefon Realme 11 5G dari 0 ke 50%, dalam masa 17 minit sahaja. Kepala pengecas SuperVOOC dan kabel USB-C ke USB-A diberikan di dalam kotak.
Realme 11 5G dibekalkan kuasa pemproses dari cip Dimensity 6100 5G 6nm, bersama RAM 8GB dan storan dalaman 256GB. Skrin pula jenis LCD seluas 6.72-inci, dengan resolusi HD Penuh dan kadar penyegaran 120Hz. Kecerahan pula setinggi 550 nits dan kecerahan puncak sehingga 680 nits. Lubang kecil di dahi skrin, menempatkan kamera hadapan 16MP.
Telefon ini menyokong dwi-sim 5G, serta Bluetooth 5.2 dan dwi-jalur WiFi 5. Tiada sokongan WiFi 6. Sistem operasi yang digunakan adalah Realme UI 4.0, berasaskan Androiod 13.
Terdapat dua warna penuh menyerlah disediakan untuk pilihan pengguna. Pertama adalah warna emas dan kedua warna hitam. Untuk maklumat lanjut, layari laman produk Realme 11 5G.