Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil mahu berbincang dengan syarikat telekomunikasi (telco), selepas menyedari pengguna dikenakan caj tambahan untuk akses 5G yang disediakan Digital Nasional Berhad (DNB). Untuk telco seperti CelcomDigi, pengguna untuk pelan RM90 ke atas sahaja diberi akses 5G percuma. Pengguna pelan murah, dikenakan caj RM10 untuk akses 5G sahaja.
Tetapi perkara ini mungkin berubah untuk pengguna CelcomDigi di pelan mahal, mulai 2 Oktober 2023.
Dalam jadual terbaharu di laman web Celcom dan Digi, pengguna pelan RM90 ke atas masih menikmati akses 5G percuma, tetapi ada label RM10 digariskan di bawahnya. Malah untuk 5G Booster iaitu data tambahan, sudah ada pas untuk pengguna pelan RM90 ke atas iaitu RM10/bulan dengan tambahan 90GB data.
Promosi akses 5G percuma untuk pelan RM90 ke atas diberikan sehingga 2 Oktober 2023. Manakala harga biasa pas 5G Booster adalah RM20/bulan.
Sekilas pandang, langkah CelcomDigi ini serupa dengan Maxis yang mengenakan pengguna pelan 4G sedia ada, caj RM10 untuk akses 5G sahaja, atau bertukar ke pelan 5G dengan menambah RM11 dan terima lebih 2x kuota data. Jika anda perlukan banyak data, perubahan ke pelan 5G baru lebih berbaloi. Malah, menurunkan tahap pelan 5G juga masih mendapat data lebih banyak daripada pelan 4G.
Buat masa ini, CelcomDigi hanya menyatakan promosi ini berjalan sehingga 2 Oktober 2023. Ia mungkin dilanjutkan atau berubah sepertimana tawaran akses 5G percuma mereka sebelum ini.