Semua sedia maklum tentang polisi deposit tanpa pulangan yang diamalkan oleh Tesla. Hal ini bermakna, deposit yang anda bayar sewaktu menempah Tesla Model Y tempoh hari adalah hangus sekiranya anda berkeputusan untuk batalkan tempahan anda.
Tapi bagaimana sekiranya anda teringin untuk tempah Model 3 yang lebih murah? Untuk tujuan itu, Tesla Malaysia mengumumkan program khas yang bolehkan anda tukar tempahan daripada Model Y kepada Model 3 tanpa perlu anda keluarkan wang tempahan RM2,000.
@soyacincautiktok Tesla Model 3 Malaysia: EV RM189k, jarak kembara 634km! #soyacincautiktok #longervideos #tesla #teslamalaysia #teslamodel3 #facelift #evtiktok #teslatiktok ♬ original sound – SoyaCincautiktok
Kaedah untuk tukar tempahan Model Y kepada Model 3
Berdasarkan maklumat yang dikongsikan oleh Tesla Malaysia kepada kami, berikut adalah rukun-rukun yang perlu dituruti untuk bertukar tempahan daripada Model Y kepada Model 3.
Langkah pertama adalah anda perlu tempah Model 3 seperti biasa dan bayar wang tempahan sebanyak RM1,000. Selepas itu, anda boleh hubungi Tesla Malaysia untuk dapatkan pulangan RM1,000 daripada tempahan Model Y.
Untuk melayakkan anda menyertai program ini, tempahan perlulah dilakukan menggunakan akaun Tesla yang sama dan disahkan melalui alamat e-mel yang serupa. Kemudian, tempahan hendaklah dibuat dalam Malaysia dan tarikh tempahan adalah sebelum 1 September 2023.
Program ini dibukan sehingga 15 September 2023 dan hanya akan diproses sekali sahaja.
Tesla Malaysia juga menekankan yang program khas ini diadakan atas dasar muhibah dan mereka berhak untuk menukar terma dan syarat tanpa perlu memaklumkan anda terlebih dahulu.
Sekiranya permohonan pemulangan diposit diluluskan, sehingga 30 hari bekerja diperlukan untuk transaksi selesai.
Harga Tesla Model 3 di Malaysia
Sekiranya anda berminat untuk dapatkan sebuah Model 3, dalam pasaran Malaysia sebanyak dua varian ditawarkan. Berikut adalah senarainya:
- Tesla Model 3 RWD – RM189,000
- Tesla Model 3 Long Range – RM218,000
Harganya sedikit lebih murah berbanding Model Y sewaktu dilancarkan dahulu sebanyak RM10,000. Apabila dicampur dengan beberapa caj-caj tambahan daripada Tesla sendiri, harganya masing-masing menjadi RM190,700 dan juga RM219,700. Malangnya, insurans masih tidak dimasukkan. Jadi jangkakan tambahan sehingga RM5,000 untuk premium insurans juga.
Pada harga sebegitu, Tesla Model 3 Long Range kini adalah EV termurah Malaysia yang ada jarak kembara melebihi 600km, jauh memotong Ioniq 6 RWD yang kami laporkan tempoh hari berharga RM289,888.
Berdasarkan laman rasmi, tetingkap penghantaran dijangka sebelum tamatnya tahun 2023 yang bermakna Model 3 mungkin masuki lebih awal berbanding Model Y yang dikakatan hanya mula diedarkan seawal tahun 2024.