Bersama-sama keluarga iPhone 15, Apple turut melancarkan dua model jam tangan baharu iaitu Apple Watch Ultra 2 dan juga Apple Watch Series 9. Anda boleh bacanya lebih lanjut dalam artikel kami di bawah ini. Artikel ini pula akan berkongsikan kepada anda harga jualannya di Malaysia.
Apple Watch Ultra 2: Skrin 3,000 nits, piawaian tentera, dan harga bermula RM3,799
Apple Watch Series 9: SiP S9 baharu dengan teras Neural Engine, harga bermula RM1,899
Harga Apple Watch Series 9 & Apple Watch Ultra 2 di Malaysia
Maklumat harganya sudahpun dikongsikan oleh pengeluarnya. Apple Watch Series 9 dan Watch Ultra 2 akan mula dijual 22 September 2023 ini. Bermula dengan Apple Watch Series 9, ia hadir dalam dua saiz badan iaitu 41mm dan 45mm.
Harga permulaan untuk varian 41mm adalah RM1,899 manakala 45mm dijual pada harga bermula RM3,299. Harga akan berbeza bergantung kepada materi badan jam, tali jam, dan sama ada ia menyokong sambungan selular ataupun tidak.
Pilihan paling mampu milik untuk Watch Series 9 adalah varian 41mm dalam badan aluminium bersama-sama dengan tali jam berasaskan getah ataupun tekstil. Varian paling mampu milik tiada fungsi selular ataupun e-SIM.
Pilihan paling premium untuk Watch Series 9 adalah varian 45mm dalam badan besi tahan karat, tali jam jenis link bracelet, dan menyokong penyambungan selular. Harganya adalah RM4,949.
Apple Watch Series 9 hadir dalam warna pink, midnight, starlight, silver, dan Product Red.
Beralih kepada Apple Watch Ultra 2, jam tangan termaju Apple ini ditawarkan pada harga RM3,799. Hanya satu saiz ditawarkan tapi anda boleh pilih tali jam sama ada Alpine Loop, Trail Loop, dan Ocean Band.
Spesifikasi Apple Watch Ultra 2 & Apple Watch Series 9
Apple Watch Ultra 2 adalah flagship kepada barisan jam tangan pintar Apple. Fizikalitinya tidak banyak berubah berbanding sebelum ini tapi perubahan dalamnya agak menarik.
Ia kini diperkasa cip pemproses khas hasilan Apple iaitu Apple S9. Salah satu ciri menonjol cip ini adalah ia ada teras pemproses neural tersendiri yang membuka keupayaan untuk memproses arahan suara Siri terus di atas jam tangan tanpa perlu bergantung kepada pelayan luar.
Menggunakan pemproses neural yang sama, Apple memasukkan ciri arahan gesture terbaharu yang dinamakan DoubleTap. Dengan cara menyentuh jari telunjuk dengan jari ibu, arahan tertentu boleh diberikan kepada jam tanpa perlu menyentuh jam.
Walaupun fizikaliti tidak berubah, panel paparan Apple Watch Ultra 2 terima naik taraf. Ia kini mampu berikan output cahaya setinggi 3,000nits, angka tertinggi dalam mana-mana paparan produk Apple setakat ini.
Apple Watch Ultra juga menggunakan muka jam Modular Ultra. Muka jam ini mempunyai tahap customization yang tinggi untuk memaparkan maklumat-maklumat khusus yang diperlukan si pemakai.
Akhir sekali, cip Ultra Wideband telah dinaik taraf ke generai ke-2 yang katanya lebih jitu.
Apple Watch Series 9 pula ditumpukan pada memberikan prestasi paling optimum. Rekaannya lebih kompak dan turut diperkasa cip Apple S9 dan ada ciri DoubleTap sama seperti varian Ultra tadi.
Panel paparannya kini boleh pergi sehingga 2,000 nits. Sejurus keluar kotak, kedua-dua Watch Ultra 2 dan Watch Series 9 menjalankan sistem operasi watchOS 10.