Acara Wonderlust oleh Apple menyaksikan pelancaran peranti yang paling dinantikan peminat iaitu siri iPhone 15. Dalam acara yang sama, Apple turut mendedahkan kemas kini AirPods Pro generasi kedua yang kini menampilkan sambungan port baharu iaitu USB-C, bersama beberapa naik taraf lain. Ia termasuk pembatalan hingar aktif (ANC) dan kalis air dan debu lebih baik, serta sokongan lossless audio.
Jika dilihat daripada luaran, kemas kini AirPods Pro terbaru ini nampak sama seperti model terdahulu. Perubahan ketara pada fizikalnya terdapat di sambungan portnya yang kini menggunakan USB-C menggantikan port Lightning. Ini membolehkan pengguna untuk memakai apa jua kabel USB-C terdapat di pasaran, selain kabel rasmi Apple untuk mengecas. Malahan, AirPods Pro terbaru ini boleh dicas secara terus melalui iPhone 15.
Selain USB-C, AirPods Pro ini juga ada sokongan MagSafe untuk pengecasan wayarles, sepertimana yang terdapat pada model sebelum ini. Naik taraf lain adalah fon putik dan bekas pengecas kini menyokong penarafan IP54, menawarkan kalis air dan debu pada tahap lebih baik berbanding IPX4 pada model sebelum ini.
Selain itu, jika AirPods Pro terbaru ini dipadankan bersama Apple Vision, ia boleh menstrim lossless audio pada tahap kependaman ultra rendah 20-bit dan 48kHZ. Ini dibolehkan menerusi cip H2 yang terdapat pada AirPods Pro dan Apple Vision.
Yang menariknya, bersama pengenalan iOS 17, AirPods menerima fitur terbaru yang dipanggil mod Adaptive Audio. Mod tersebut menggabungkan mod Transparency dan ANC dengan melaraskan kawalan hingar berdasarkan bunyi persekitaran. Bukan itu sahaja, terdapat mod Conversation Awareness yang bantu mengurangkan volum kandungan dan meningkatkan suara pengguna di samping mengurangkan bunyi latar.
Selari dengan langkah sifar karbon Apple, AirPods Pro dihasilkan daripada bahan kitar semula untuk meminimumkan kesan terhadap alam sekitar. Oleh itu, AirPods Pro diperbuat dari 100% unsur nadir bumi yang dikitar semula dalam semua magnet dan menggunakan 100% emas kitar semula di bahagian lapisan papan litar. Pembungkusannya juga kini menyingkirkan penggunaan plastik bahagian luar dan kotaknya dicipta menggunakan 90% bahan berasaskan fiber.
Bukan AirPods sahaja yang diperkenal dengan USB-C. Apple juga turut memperkenalkan EarPod USB-C untuk sambungan audio berwayar. Ianya sama seperti versi Lightning, cuma sambungannya yang sahaja ditukar.
[Sumber: SoyaCincau]
Bacaan berkaitan
- iPhone 15 Pro lebih berkuasa main game, ada kamera telefoto 10x zum dan USB-C terpantas
- iPhone 15 dinaik taraf dengan kamera 48MP zum 2x telefoto, Dynamic Island dan USB-C
- Apple Watch Ultra 2: Skrin 3,000 nits, piawaian tentera, dan harga bermula RM3,799
- Apple Watch Series 9: SiP S9 baharu dengan teras Neural Engine, harga bermula RM1,899