Ingat tak sebulan yang lepas, ada kes Proton X90 terbakar dan ramai berspekulasi mengatakan ia berlaku akibat bateri hibrid di dalam kenderaan. Hari ini, Proton mengeluarkan kenyataan rasmi setelah selesai membuat siasatan dan mendapati, ia tidak berkaitan dengan bateri tersebut.
Menurut Proton, siasatan menyeluruh telah dijalankan oleh Proton dan Geely mendapati, masalah ini berlaku kerana sambungan pembumian pada badan kenderaan. Arus besar pada pembumian boleh menjadikan ia terlalu panas dan mengakibatkan kebakaran kerana terlalu hampir dengan bahan kedap bunyi.
Sebagai langkah keselamatan, semua pemilik Proton X90 diminta untuk menghubungi mana-mana pengedar Proton 3S/4S untuk pemeriksaan lanjut. Jika perlu, tindakan pembaikan akan dilakukan untuk menutup sebarang risiko yang boleh muncul.
Pemilik Proton X90 boleh membuat temu janji dengan cawangan Proton 3S/4S berhampiran atau hubungi talian bantuan Proton di nombor 1-800-88-8398 untuk mendapatkan bantuan.
Sebagai langkah tambahan, Proton dan pembekal peralatan telah mengambil langkah aktif untuk meningkatkan kawalan proses dan pemeriksaan kualiti di kilang penghasilan Proton X90.
Di akhir kenyataan, Proton menegaskan bahawa bateri hibrid 48V di dalam Proton X90 bukanlah punca masalah ini berlaku. Walaupun begitu, Proton menjamin bahawa kualiti produk dan keselamatan pelanggan menjadi keutamaan syarikat.
Walaupun bateri bukan punca utama, kabel pembumian yang terkesan dalam masalah ini sangat hampir dengan kedudukan bateri. Lebih penting untuk bateri tersebut dilindungi dengan pelbagai aspek keselamatan, supaya tidak terkesan dengan masalah lain yang boleh membawa kepada bahaya bateri tersebut.
Memandangkan penjualan Proton X90 tidak terlalu banyak, Proton sendiri boleh mengambil langkah aktif untuk menghubungi pemilik Proton X90 dan meminta mereka hadir untuk pemeriksaan kenderaan. Ia bukan sahaja meningkatkan keyakinan pengguna, tetapi memberi rasa diberi keutamaan pelanggan seperti yang dinyatakan dalam kenyataan ini.
[Sumber: Proton]
Bacaan Berkaitan
- Proton masih siasat punca Proton X90 terbakar, tolak kemungkinan bateri hibrid meletup
- Proton X90 Malaysia: 5 perkara anda perlu tahu tentang SUV terbesar jenama tempatan ini
- Proton X90 diperkenal sebagai kereta elektrik hibrid pertama, SUV terbesar Proton dengan 7 tempat duduk
- Proton dan Perodua diminta percepat hasilkan EV lebih murah