Data Protection Commision (DPC), pihak berkuasa dalam hal perlindungan data Kesatuan Eropah telah mengeluarkan notis saman bernilai EUR 345 juta (~RM1.7 billion) ke atas TikTok. Ia selepas pengendali platform itu didapati tidak mematuhi kewajiban mereka di bawah undang-undang GDPR untuk beropasi dalam pasaran Eropah.
Secara ringkasnya, DPC mendapati yang TikTok tidak menguatkuasakan langkah keselamatan yang cukup untuk melindungi pengguna kanak-kanak di dalam platform itu. Antara ciri yang disentuh adalah tetapan public-by-default untuk akaun pengguna kanak-kanak serta tetapan berkaitan ciri “Family Pairing” serta proses pengesahan umur sewaktu akaun dibuka. Pihak DPC turut menemui rekaan antara muka yang dipercayai ada unsur-unsur “dark pattern”.
Di pihak TikTok, mereka turut mengeluarkan kenyataan media sebagai respons ke atas notis tersebut. Pihak TikTok tidak bersetuju dengan beberapa aspek keputusan yang telah diambil termasuklah amaun saman yang dikenakan.
Antara hujah yang diketengahkan adalah tempoh kajian oleh DPC adalah tidak releven kerana ia adalah antara Julai hingga Disember 2020. Selepas tempoh tersebut, TikTok sudahpun mengambil langkah-langkah proaktif untuk menangangi sebahagian besar dakwaan DPC dalam dokuman siasatan tersebut.
Beberapa langkah proaktif yang sudahpun diambil sejak 2021 lagi adalah seperti akaun pengguna 13 hingga 15 tahun adalah private secara lalai. Komen juga dihadkan kepada hanya kawan kepada akaun pengguna itu sahaja dan tidak dibuka kepada umum.
Pengguna aktif TikTok di negara-negara Kesatuan Eropah dilaporkan berlegar di purata 134 juta orang sebulan.