Seperti yang diumumkan oleh CEO Nothing, Carl Pei pada bulan Ogos lalu, jenama mampu milik CMF by Nothing kini secara rasminya telah tiba di Malaysia. Mereka melancarkan tiga produk di bawah jenama CMF by Nothing yang terdiri daripada fon putik Buds Pro, jam pintar Watch Pro dan pengecas GaN 65W.
Harga dan ketersediaan barisan produk CMF
Orang ramai boleh mula mendapatkan ketiga-tiga produk ini bermula Selasa, 10 Oktober 2023. Harga rasmi untuk ketiga-tiga produk terbaru CMF by Nothing adalah seperti berikut:
- CMF Buds Pro – RM239
- CMF Watch Pro – RM339
- CMF Power 65W GaN charger – RM189
Jika anda berminat untuk dapatkannya, bermula 10 Oktober ia boleh didapati khas hanya di stor rasmi CMF by Nothing di Lazada. Pengguna juga boleh dapatkannya di semua pengedar sah Nothing iaitu DirectD, TMT, Urban Republic, Vivid Concept, Tac Mobile dan Switch Solution, serta di Lazada dan Shopee.
CMF Watch Pro
CMF Watch Pro menampilkan rupa minimalis dan dilihat berkongsi DNA seperti rekaan Nothing Phone kerana sisinya yang rata. Muka jam berbentuk segi empat sama dengan skrin berukuran AMOLED 1.96-inci dengan resolusi 410 x 502 yang menyokong kecerahan puncak 600 nits. Terdapat satu butang kawalan di sisi jam dan juga speaker.
Dari segi fungsi kecergasan, terdapat 110 mod sukan dimuatkan untuk pengguna manfaat, serta dilengkapi dengan GPS terbina untuk menjejak data aktiviti seperti berlari atau berbasikal secara terperinci. Jam ini juga berkebolehan untuk memantau data kesihatan pengguna secara berterusan 24 jam termasuk kadar degupan jantung, tidur, paras kepekatan darah serta tahap tekanan.
Jam boleh digunakan untuk membuat panggilan. Mikrofon dan speaker jam ini juga hadir dengan teknologi pengurangan hingar AI bagi membantu meningkat kejelasan suara semasa panggilan. CMF mengatakan AI pada jam berupaya mengenalpasti 100,000 bunyi hingar, sekali gus menghilangkan bunyi latar.
Menghidupkan jam CMF Watch Pro adalah dari bateri 340mAh yang CMF mendakwa mampu berikan masa hidup sehingga 13 hari dengan penggunaan biasa. Terdapat juga penarafan IP68 membolehkan bersukan di tempat basah atau bawah hujan tanpa ragu.
CMF Watch Pro didatangkan dengan badan aloi aluminium dalam pilihan warna sama ada kelabu metalik bersama tali jam oren, atau kelabu gelap bersama dengan pilihan tali kelabu gelap atau kelabu abu. Penggunaan jam boleh diserasikan bersama aplikasi CMF Watch.
Untuk maklumat lebih lanjut, anda boleh layari laman produk CMF Watch Pro.