Semester baharu universiti dahpun bermula. Para siswa dan siswazah semua sedang cari laptop bajet? Bajet RM2,000? Dalam senarai 5 terbaik saya pada kali ini, saya berikan fokus pada laptop pelajar bawah RM2,000.
Untuk lingkungan harga ini, kita boleh dapatkan laptop yang sesuai untuk kerja-kerja universiti seperti tugasan menaip, buat presentation, kertas kajian, dan yang seangkatan dengannya. Janganlah pula anda jangkakan laptop berkuasa tinggi yang mampu jalankan permianan FHD bertetapan penuh pada kadar bingkai tinggikan.
Asus Vivobook 15 OLED K513
Saya kongsikan yang paling mantap dulu. Asus Vivobook 15 OLED. Ya, namanya pun dah cadangkan ciri menariknya iaitu skrin OLED. Skrinnya yang bersaiz 15.6” beresolusi FHD. Tak perlu dipertikai lagi kualiti gambar yang dihasilkan panel OLED berbanding IPS dan VA.
Pada harga RM1,999, selain skrin cantik, apakah lagi yang menanti anda? Atas papan utama ada CPU Intel Core i3-1125G4. CPU ini agak berusia dari tahun 2021 dan berada dalam kategori 10nm. Saya rasa ia masih berupaya bekerja berbekalkan 4 teras dan 8 bebenang pemproses.
RAM yang disediakan adalah 8GB DDR4 3200Mhz dan ada satu slot tambahan untuk anda perluaskan sehingga 16GB di masa akan datang. Storan sedia ada pula adalah 512GB M.2 SSD dan ada juga satu slot 2.5” untuk anda perluaskan storan.
Laptop saiz 15” biasanya ada pad nombor di sebelah kanan dan berita baik, papan kekunci Vivobook 15 OLED ada lampu latar dan ada juga pengimbas cap jari. Berisan I/O yang disediakan adalah baik iaitu:
- 3 USB-A
- 1 USB-C
- 1 HDMI
- 1 jek audio kombo
- 1 pembaca kad mikro-SD
Laptop ini ada bateri 42Whr dan seberat 1.8kg.
Harga rasmi Vivobook 15 OLED ini adalah RM1,999 untuk varian 4GB. Tapi di Shopee, anda boleh dapatkan varian RAM 8GB pada harga yang sama. Di kedai yang sama juga, anda boleh cari varian 20GB pada harga RM2,199. Jangan risau kalau takda bajet untuk naik taraf RAM kerana slot itu tetap ada untuk dinaik taraf kemudian hari.
Laman rasmi Vivobook 15 OLED K513
Lenovo IdeaPad 3i 4EMJ/4FMJ/4GMJ
Laptop seterusnya adalah untuk yang tak kisah laptopnya tiada paparan OLED dan mahukan CPU paling berkuasa dalam kelasnya. Lenovo IdeaPad 3i ini diperkasa Intel Core i3-1215U. Ia adalah CPU generasi ke-12 dan mengandungi 6 teras.
2 teras berada dalam kluster prestasi tinggi manakala 4 teras dalam kluster cekap tenaga. Jadi, anda boleh dapat prestasi yang okay dan hayat bateri yang panjang mengikut keperluan sebab sistem boleh adjust kuasa yang digunakan dalam julat 15W hingga 55W secara automatik.
Lenovo IdeaPad 3i adalah sebuah laptop 15.6”. Ia gunakan panel IPS dengan resolusi FHD. Ia juga hadir dengan RAM 8GB DDR4 3200Mhz dan boleh diperluas apabila perlu. Storan yang disediakan adalah 256GB M.2 SSD disamping satu lagi slot 2.5” untuk anda masukkan storan tambahan.
Port I/O yang ditawarkan adalah:
- 2 USB-A
- 1 USB-C
- 1 HDMI
- 1 pembaca kad SD
- 1 audio jek 3.5mm
Papan kekunci Lenovo IdeaPad 3i tiada lampu latar dan ia tidak didatangkan dengan pengimbas cap jari. Bateri yang terkandung dalamnya adalah 45Wh dengan berat keseluruhan laptop ini pada 1.6kg. Harganya daripada Lazada adalah RM1,899.
Acer Aspire 3 A315
Laptop ketiga ini ada spesifikasi lebih segar daripada laptop Asus dan Lenovo tadi. Acer Aspire 3 A315 adalah laptop 15.6” dengan resolusi FHD dan ia menggunakan panel IPS.
Atas papan utama, ia diperkasa Intel Core i3-N305. Cip ini dilancarkan awal tahun ini dan berada dalam kategori 7nm. Core i3-N305 ada 8 teras dan 8 bebenang dengan clockspeed sehingga 3.8Ghz. Acer menggunakan LPDDR5 8GB pada laptop ini yang bermakna ia tidak boleh dinaik taraf.
Storan yang diberikan adalah 512GB M.2. Tiada maklumat sama ada ia boleh dinaik taraf ataupun tidak. Papan kekunci Acer Aspire 3 ini berlampu latar dan penawaran port I/O agak mewah iaitu
- 3 USB-A
- 1 USB-C
- 1 HDMI
- 1 jek audio 3.5mm
- 1 pembaca mikro-SD
- 1 RJ-45
Laptop ini ada 40Whr bateri dan beratnya adalah 1.7kg. Harganya menghampiri RM2,000 dan ada varian 16GB LPDDR5 pada harga atas lebih RM2,000.
Dell Inspiron 15 3520
Kalau anda setia dengan pasukan merah, Dell Inspiron 15 ini diperkasa AMD Ryzen 5500U. CPU ini daripada tahun 2021 dan berada dalam kategori 7nm. Ketika itu Intel masih lagi berada atas 10nm. Ryzen 5500U ada 6 teras dan 12 bebenang pemproses.
CPU itu digandingkan bersama-sama RAM 8GB DDR4 dan boleh dinaik taraf menggunakan satu lagi slot sehingga 16GB RAM jumlahnya. Storan yang disediakan 512GB NVMe SSD dan port I/O yang dimilikinya adalah baik iaitu:
- 2 USB A
- 1 USB C
- 1 jek audio 3.5mm
- 1 HDMI
- 1 pembaca kad SD
Dell Inspiron 15 ada panel paparan 15.6” FHD. Panel paparannya bukan IPS tapi kadar segar semula pada 120Hz.
Dell Inspiron 15 ada bateri 40Whr dan seberat 1.7kg. Harganya RM1,999 saya tak jumpa penawarannya di Shopee ataupun Lazada. Saya cuma temuinya di laman rasmi Dell Malaysia.
Laman Rasmi Dell Inspiron 15 3520
MSI Modern 14 C12M
Laptop terakhir ini satu-satunya laptop 14” kalau anda nakkan sebuah laptop dengan tahap mobiliti tinggi, inilah calonnya. Beratnya cuma 1.4kg sahaja tau tapi spesifikasi dalaman macam Lenovo IdeaPad 3i tadi.
Bermula dengan paparan, laptop ini ada panel 14” panel IPS-Level menurut istilah MSI dengan resolusi FHD. Atas papan utama, ia diperkasa CPU Intel Core i3-1215U dan digandingkan dengan RAM 8GB DDR4 dan ada satu slot kosong untuk perluaskan RAM sehingga 16GB. Lagi yang boleh dinaik taraf adalah storan 512GB M.2 NVMe yang dimilikinya.
Walaupun kompak, ia ada penawaran port yang baik. Anda terima:
- 3 USB A
- 1 USB C (PD)
- 1 HDMI
- 1 jek audio 3.5mm
- 1 pembaca mikro-SD
Papan kekuncinya ada lampu latar dan ia memiliki sistem abteri berkapasiti 439Wh. Harganya bawah RM2,000. Saya masukkan laptop ini sebab saiznya yang kompak.
Laman rasmi MSI Modern 14 C12M
Itulah dia senarai 5 laptop sesuai untuk pelajar dengan bajet RM2,000. Nak main game AAA? Boleh sahaja langgan saja Nvidia GeForce Now dan main dekat Vivobook 15 OLED, mesti padu. Anda ada cadangan lain selain daripada 5 yang saya senaraikan ini? Turunkan cadangan anda dalam ruangan komen.