ASUS melalui subjenama mereka, Republic of Gaming (ROG) hari ini menetapkan penanda aras baru bagi sebuah telefon gaming apabila secara rasminya mula memasarkan ROG Phone di Malaysia. Negara kita adalah antara yang pertama mendapat produk ini dan ia menunjukkan keutuhan industri gaming mudah alih tempatan pada kaca mata ASUS.
Bercerita berkenaan ROG Phone, setiap inci daripadanya menerima penelitian khusus daripada si pembangunnya agar memenuhi keperluan pemain tegar seperti anda. Yang pertama adalah pada rekaan garang telefon ini dengan logo ROG ber-LED pada bahagian belakang dan yang kedua adalah pada kemasan besi dibawahnya.
ASUS tak gunakan besi sebarangan hanya untuk nampak cantik. Ia adalah besi nikel yang dimaklumkan lebih berkesan dalam pengurusan haba. Disebalik besi nikel itu, ada lagi sistem penyejukan yang dipanggil Vapor Chamber.
Tugas mereka hanya satu, untuk kekalkan CPU pada suhu optimum semasa bermain. Kalau masih tak cukup, satu aksesori AeroActive Cooler didatangkan secara percuma yang nyata menambah baik sistem penyejukan. Tidak seperti telefon flagship lain, saya boleh nyatakan yang pada ROG Phone ini, penyejukannya berlaku daripada dalam dan juga luar.
Berikut adalah spesifikasi teknikal ROG Phone.
Antara kelebihan telefon ini adalah ia ada dua port USB-C, satu pada bahagian bawah dan satu lagi pada bahagian sisi. Manfaat memiliki port pada bahagian sisi adalah ia tidak menganggu anda bermain. Lebih menarik, jika menggunakan AeroActive Cooler, anda turut menerima jack audio 3.5mm bersama-sama USB-C.
Kalau itu tak cukup menarik, ini adalah satu-satunya telefon di dunia yang ada shoulder button, benda yang sama boleh ditemui pada pad kawalan konsol iaitu L1 dan R1. Ia tidak menggunakan butang fizikal sebaliknya menggunakan pengesan ultrabunyi untuk mengetahui sama ada pengguna menekannya atau tidak.
Mengapa saya katakan ia telefon gaming teragung masa ini? ROG Phone hadir tidak keseorangan, terdapat satu ekosistem lengkap yang menyokong telefon ini. Sejumlah aksesori turut dibangunkan Asus untuk memperkukuh keududukan ROG Phone sebagai telefon gaming terbaik.
Antaranya adalah:
- WiGiG Dock (RM899) – digunakan untuk strim paparan teleofn ke TV pada latensi serendah 20ms sehingga 4K UHD
- Mobile Desktop Dock (RM599) – menyediakan port untuk menyambungkan papan kekunci, tetikus, monitor, dan sebagainya
- TwinView Dock (RM999) – ada paparan sekunder dan bateri tambahan sebanyak 6,000mAh
- Professional Dock (RM299) – memberikan beberapa port tambahan pada telefon anda
- GameVice (RM349) – bertindak sebagai grip tambahan seperti sebuah Nintendo Switch
ROG Phone dijual di Malaysia dalam dua varian iaitu dengan storan 128GB dan 512GB, dan disertakan bersama AeroActive Cooler dan ROG Phone case . Harga kedua-dua varian itu adalah seperti berikut:
- ROG Phone RAM 8GB + Storan 128GB – RM3,499
- ROG Phone RAM 8GB + Storan 512GB – RM3,999
Tempahan awal akan dibuka dari 22 Oktober hingga 4 November di Lazada, Shopee dan pengedar sah ASUS. Penempah terawal berpeluang untuk memenangi GameVice bernilai RM349. Masalahnya, ASUS Malaysia tidak memberikan tarikh ia mula dijual dan tempahan awal dihantar.
Jika anda masih berfikir untuk membeli ASUS ROG Phone ni, tonton video kami di bawah. Mungkin ia dapat memberi jawapan kepada persoalan anda.