Dalam penyelarasan harga pelan Unifi, TM menawarkan naik taraf kelajuan percuma kepada pelanggan sedia ada. Walaupun ramai risau jika dikenakan kontrak baru atau naik harga, TM menjelaskan bahawa tiada kontrak baru dikenakan bagi pengguna lama. Semuanya kekal tanpa sebarang perubahan.
Tetapi ada juga suara pengguna yang berharap agar TM memberi pilihan untuk mengekalkan kelajuan dengan harga lebih murah. Ia sebenarnya boleh dilakukan hanya jika pelanggan sudah habis kontrak, dan akan dikenakan kontrak baru 24-bulan akibat pertukaran pelan.
Perkara yang berlainan pula untuk pelanggan CelcomDigi Fibre. Selepas mengumumkan harga pelan baru, CelcomDigi menyatakan pelanggan lama pelan Fibre akan diselaraskan mengikut harga pelan baru. Bermakna, pengguna akan kekal dengan kelajuan pelan, tetapi membayar pada harga lebih murah.
Menurut soalan lazim CelcomDigi Fibre, pengguna akan menikmati harga baru di dalam bil November 2023. Ia adalah serupa dengan harga baru pelan Fibre.
Pelanggan pascabayar untung atau rugi?
Tetapi CelcomDigi tidak memberi sebarang kelebihan kepada pengguna lama. Ini kerana rebat untuk pelanggan yang menggabungkan pelan Fibre bersama pelan pascabayar, akan diberi rebat yang lebih rendah berbanding sebelumnya. Malah, ia seperti tidak banyak berbeza dengan bayaran yang mereka buat selama ini, kecuali untuk pelan 500Mbps.
Sebelum ini, pelanggan pascabayar dengan pelan Fibre 100Mbps membayar RM90, harga baru mulai November 2023 menjadi RM89/bulan. Pelan Fibre 300Mbps pula harga baru adalah RM97/bulan berbanding RM100 sebelum ini. Untuk pelan 500Mbps, ia turun dari RM169 kepada RM149/bulan. Pelan 1Gbps kekal membayar harga RM269. Begitu juga pelan 50Mbps, masih sama dengan harga RM75/bulan.
Penurunan harga pelan CelcomDigi Fibre sememangnya bagus untuk pengguna sedia ada, tetapi ia tidak memberi kesan kepada pelanggan yang menerima rebat bersama pelan pascabayar sebelum ini. Malah, boleh dikatakan rebat dikurangkan.
Jika anda pelanggan CelcomDigi Fibre, adakah pengumuman baru ini lebih baik atau tidak? Boleh kongsikan pendapat di ruangan komen. Untuk maklumat lanjut, layari laman web CelcomDigi Fibre.