Semua menyangka Mi MIX 3 akan jadi telefon RAM 10GB pertama daripada Xiaomi. Tapi beberapa hari sebelum pelancarannya, Black Shark Helo diumumkan sebagai kemas kini kepada Black Shark sekitar April 2018 tahun ini.
Daripada sudut spesifikasi teknikal, ada beberapa komponen masih dikekalkan daripada model sebelum ini. Antara yang kekal adalah seperti:
- Penggunaan CPU Snapdragon 845
- Storan sehingga 256GB
- Dwikamera belakang 12MP+20MP
- Kamera depan 20MP
Yang berubah adalah pada penawaran RAM sehingga 10GB. Ia adalah sesuatu yang overkill tapi adakah ia menyumbang pada gaming yang lebih lancar?
Bahagian lain yang berubah adalah pada jenis panel paparan yang digunakan. Black Shark Helo kini ada paparan AMOLED sedikit besar iaitu 6.01″ pada resolusi HD Penuh. Ia turut menyokong teknologi HDR untuk pengalaman gaming yang lebih baik.
Sistem kawal selia haba turut ditambah baik menurut mereka. Baik sehingga ia mampu mengurangkan suhu sehingga 12° C berbanding penggunaan kaedah konvesional.
Aksesori grip telefon juga berwajah baru. Berbanding hanya sebelah pada edisi yang lalu, grip telefon kali ini hadir pada kedua-dua belah, memberikan lebih banyak kawalan semasa bermain kepada anda.
Dalam laman rasmi Xiaomi, harga Black Shark Helo di China adalah seperti berikut:
- RAM 6GB + storan 128GB – RMB 3,199 (RM 1,919)
- RAM 8GB + storan 128GB – RMB 3,499 (RM 2,199)
Varian 10GB tidak pula disenaraikan harganya.