Selepas lebih sebulan pelancarannya, Apple Watch Series 9 dan Apple Watch Ultra 2 kini sudah memasuki pasaran Malaysia.
Tak sabar nak mendapatkanya? Nanti dulu. Jom ambil tahu penambahbaikan atau perbezaan pada kedua-dua jam pintar baharu keluaran Apple ini.
Harga Apple Watch Series 9 dan Apple Ultra 2 di Malaysia
Harga jam tangan pintar Apple ini adalah bergantung kepada pilihan anda. Sama seperti sebelum ini, Apple Watch Series 9 boleh didapati sama ada dalam aluminium (dengan kaca Ion-X) atau keluli tahan karat (dengan paparan kristal nilam tahan lama) dengan pilihan saiz 41mm dan 45mm.
Anda juga boleh memilih untuk melengkapkan jam tangan anda dengan sambungan selular (didatangkan sebagai standard untuk model keluli tahan karat) atau hanya GPS.
Suka untuk diingatkan, pemilihan jenis tali tertentu akan menaikkan harga jam tangan ini. Namun secara asasnya harga Apple Watch Series 9 adalah seperti berikut:
- Apple Watch Series 9, Aluminium, 41mm, GPS sahaja – RM1,899
- Apple Watch Series 9, Aluminium, 45mm, GPS sahaja – RM2,049
- Apple Watch Series 9, Aluminium, 41mm, GPS + Selular – RM2,399
- Apple Watch Series 9, Aluminium, 45mm, GPS + Selular – RM2,549
- Apple Watch Series 9, Stainless Steel, 41mm, GPS + Selular – RM3,299
- Apple Watch Series 9, Stainless Steel, 41mm, GPS + Selular – RM3,549
Bagi Apple Watch Ultra 2 pula, ia hanya boleh didapati dalam pilihan titanium, paparan kristal nilam dan sambungan selular. Tanpa mengira jenis tali yang menjadi pilihan – Alpine Loop, Trail Loop atau Ocean Band, ia dijual pada harga RM3,799.
Secara kesimpulannya, harga bagi Apple Watch baharu ini adalah sama seperti keluaran generasi terdahulu.
Kedua-dua jam tangan pintar itu dijual secara rasmi mulai 18 Oktober 2023 dan boleh dibeli secara dalam talian di Apple Store atau melalui penjual rasmi seperti Machines, iTworld, Switch, TMT dan SenQ.
Spesifikasi Apple Watch Series 9 dan Watch Ultra 2
Selain penambahan pilihan warna merah jambu untuk Watch Series 9 aluminium, tiada perbezaan baru dalam reka bentuknya.
Sebaliknya, penambahbaikan untuk kedua-dua jam pintar ini lebih ditumpukan pada bahagian dalamnya. Apple Watch Series 9 dan Watch Ultra 2 kini dikuasakan cip pemproses Apple S9, yang membolehkan ia memproses beban kerja berkaitan AI dua kali ganda lebih pantas dengan kehadiran 4 teras Neural Engine baharu. Ini bermakna Siri kini boleh terus memproses arahan suara anda terus di pergelangan tangan tanpa perlu bergantung kepada pelayan luar.
Apple Watch Series 9 dan Watch Ultra 2 ini juga dilengkapi cip Ultra Wideband (UWB) generasi kedua, yang dikatakan lebih jitu dalam mencari arah bagi mengesan barang-barang yang hilang dengan menggunakan gelombang radio.
Double Tap merupakan antara ciri baharu yang menarik diperkenalkan Apple. Ia merupakan cara baharu untuk si pemakai memberikan arahan kepada jam tangan selain daripada menyentuh skrin atau memusingkan butang fizikal pada sisi jam tangan.
Apa yang perlu dilakukan pemakai untuk menggunakan ciri baharu ini adalah dengan menyentuh jari telunjuk dan ibu jari bersama-sama dan pelbagai arahan boleh diberikan bergantung kepada situasi.
Kadar paparan lebih jelas & terang
Paparan untuk Watch Series 9 dan Watch Ultra 2 adalah lebih terang berbanding generasi sebelum ini. Panel paparan pada model baharu ini boleh meningkat sehingga 2,000 nits.
Manakala paparan Watch Ultra 2 kini merupakan yang paling terang pernah dihasilkan Apple, iaitu pada 3,000 nits. Pun begitu, paparan pada Watch Ultra 2 juga boleh dimalapkan kepada satu nit untuk tidak mengganggu orang lain yang berdekatan.
Apple turut memperkenalkan muka jam Modular Ultra pada Watch Ultra 2. Dengan fungsi ini pengguna boleh mengubah komponen-komponen dalam muka jam untuk memaparkan data-data yang diperlukan.
Selain itu, kedua-dua jam tangan pintar Apple Watch Series 9 (untuk model aluminium sahaja) dan Watch Ultra 2 boleh dijadikan neutral karbon apabila digabungkan dengan tali fabrik tertentu.
Walaupun dijana dengan cip lebih berkuasa, jangka hanyat bateri kekal pada 18 jam dengan satu bateri penuh untuk Watch Series 9 dan 36 jam untuk Watch Ultra 2 (dalam mod jimat tenaga).
Ciri-ciri lain yang masih ada pada Apple Watch Series 9 dan Watch Ultra 2 adalah seperti:
- Kiraan oksigen darah
- Pemantau ECG
- Penderia suhu untuk pengesanan kitaran haid yang lebih tepat
- Pengesanan jatuh dan ranap
- Kalis air (sehingga 50 meter untuk Watch Series 9 dan 100 meter untuk Watch Ultra 2)
- Boleh menyelam sehingga 40 meter (Watch Ultra 2)
- GPS dwi-frekuensi (Watch Ultra 2)