Lenovo pada awal Ogos lalu dilaporkan sedang membangunkan sebuah konsol permainan mudah alih yang hampir serupa dengan Asus ROG Ally ataupun Nintendo Switch, yang dinamakan sebagai Legion Go. Ia telah dilancar secara rasmi di pentas IFA pada September lalu dan kini, konsol itu nampaknya telah tiba di pasaran tempatan setelah ia disenaraikan dalam laman web rasmi Lenovo Malaysia.
Harganya di Malaysia
Berdasarkan laman rasmi Lenovo, mereka membawa masuk dua varian Legion Go ke Malaysia. Berikut adalah harga rasmi bag kedua-dua model di Malaysia:
- Lenovo Legion Go Z1 Extreme (RAM 16GB + storan 512GB) – RM3,399
- Lenovo Legion Go Z1 (RAM 16GB + storan 512GB) – RM3,099
Harga Legion Go Z1 Extreme boleh dilihat lebih mahal RM100 berbanding ROG Ally Z1 Extreme pada RM3,299, walaupun kedua-duanya dilancar pada harga yang sama di Amerika Syarikat pada USD699.
Jika anda berminat, Legion Go tersedia untuk didapatkan sekarang menerusi stor atas talian Lenovo. Setiap pembelian akan disertakan sekali bersama pelindung skrin secara percuma. Tetapi anda perlu tahu yang penghantaran akan mengambil masa sekitar 8 hingga 10 minggu.
Spesifikasi Lenovo Legion Go
Lenovo Legion Go dipasangkan skrin sentuh IPS berukuran 8.8 inci dengan resolusi QHD 2560 x 1600. Skrinnya mempunyai warna gamut DCI-P3 97% dengan menyokong kecerahan puncak sehingga 500 nits dan ada kadar penyegaran 144Hz. Sistem operasi yang dijalankan adalah Windows 11.
Atas papan utama, ia diperkasa cip AMD Ryzen Z1 atau AMD Ryzen Z1 Extreme bersama GPU AMD RDNA3, dengan gabungan RAM LPDDR5X 16GB dan storan 512GB. Storan boleh diperluas sehingga 1TB menggunakan slot PCIe Gen4 yang tersedia, dan ia juga menerima kad mikro SD.
Terdapat 10 butang permainan pada Legion Go 10 ini dengan dua joystick pada pemegang kiri dan kanan. Menariknya, kawalan pemegangnya boleh dicabut dari badan untuk menawarkan lebih fleksibiliti dengan lebih banyak cara permainan.
Kapasiti baterinya adalah bersaiz 49.2Wh, dan ia menyokong pengecasan 65W melalui sambungan USB-C. Selain itu, terdapat juga teknologi pengecasan bypass untuk menggunakan kuasa terus dari blok pengecas untuk kurangkan haba ketika bermain.
Lain-lain ciri termasuklah sambungan WiFi 6E, Bluetooth 5.2 dan juga jek audio 3.5mm.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Legion Go di sini.