Pengeluar telefon gergasi China, Xiaomi tidak lama lagi akan melancarkan sekuel telefon flagship terbaru mereka iaitu Xiaomi 14. Xiaomi juga memberi petunjuk bahawa ia akan diperkenalkan bersama sistem operasi terbaru yang dipanggil HyperOS, yang bakal menggantikan penggunaan MIUI.
CEO Xiaomi, Lei Jun sebelum ini ada memaklumkan HyperOS akan dilancarkan bersama Xiaomi 14, namun tidak pula mendedahkan tarikhnya. Kini tarikh pelancarannya telah didedahkan secara rasmi menerusi laman sosial Weibo Xiaomi, yang mendedahkan siri telefon Xiaomi 14 dan HyperOS akan diperkenalkan pada 26 Oktober ini.
Siri terbaru Xiaomi 14 ini dikatakan akan diperkenalkan dalam 3 model iaitu Xiaomi 14, Xiaomi 14 Pro dan Xiaomi 14 Ultra, sama seperti siri Xiaomi 13. Menurut sumber, Xiaomi 14 dan Xiaomi 14 Pro mungkin akan dilancar terlebih dahulu, dan kemudian diikut dengan model Ultra pada suatu masa nanti. Jika dilihat pada pelancaran sebelum ini, dijangka Xiaomi akan melancarkannya di China pada mulanya, dan akan dikeluarkan pada lebih banyak negara kemudiannya.
Salah satu naik taraf besar yang disahkah oleh Xiaomi pada siri Xiaomi 14 adalah ia akan dilengkapi lensa Leica Summilux, yang jauh lebih baik dari Leica Summicron di siri sebelumnya. Ia juga akan diperkasa cip terbaru Snapdragon 8 Gen 3 yang bakal diperkenal di acara Snapdragon Summit pada 24 Oktober.
Walau bagaimanapun, sebelum pelancarannya, maklumat berkenaan prestasi Xiaomi 14 dan Xiaomi 14 Pro telah pun dinampakkan di Geekbench. Ia akan dipadankan dengan RAM 16GB, dan menggunakan Android 14 dengan sistem operasi HyperOS terbaru. Penyenaraian Geekbench itu turut mendedahkan cip Snapdragon 8 Gen 3 itu memiliki keseluruhan 8 teras dengan 1 teras 3.30 Ghz Cortex-X4, 3 teras 3.15 GHz Cortex-A720, 2 teras 2.96 GHz Cortex A720 dan juga 2 teras 2.7 Ghz Cortex A520.
Tetapi terdapat perbezaan pada ujian penanda aras yang dilakukan kerana Xiaomi 14 diuji di Geekbench 5, manakala versi Pro diuji di Geekbench 6. Jadi perbandingan secara terus mungkin tidak tepat. Namun, di Geekbench 6, boleh dilihat yang cip terbaru ini peroleh markah lebih banyak daripada cip Snapdragon 8 Gen 2 versi overclocked di Galaxy S23 yang perolah mata 1,852 teras tunggal dan 4,897 pelbagai teras.
Render rupa paras telefon Xiaomi 14 Pro juga telah muncul atas talian menunjukkan ia ada sistem kuad kamera dengan skrin dan badan bersisi rata.
Dalam masa sama, perincian berkenaan HyperOS juga telah ditiriskan atas talian. Pengalamannya dijangka akan tidak banyak beza berbanding MIUI, kerana ia adalah gabungan Android dan sistem Vela yang dibangunkan oleh Xiaomi yang dituju untuk menghubungkan penggunaan telefon pintar, kenderaan dan peranti pintar rumah. Kererta EV Xiaomi juga dikatakan akan menjalankan HyperOS.
[Sumber: AndroidPolice, GSMArena]