Syarikat insuran gaya hidup Tune Protect, telah mengumumkan kerjasama strategik dengan rangkaian telekomunikasi digital di Thailand, True 5G. Kerjasama ini menghasilkan sebuah produk pelancongan iaitu pek SIM True Tourist.
Apa yang menjadikan pek SIM ini menarik adalah ia dipakejkan bersama insuran perjalanan komprehensif oleh Tune Protect. Pembeli pek SIM akan dilindungi selama 30 hari, tertakluk kepada terma dan syarat.
Pek SIM terlibat dan tempat membeli
Terdapat 5 jenis pek SIM True 5G yang terlibat dalam pakej perlindungan Tune Protect iaitu:
- Thailand Tourist SIM 10 days – THB349 (~RM46)
- Thailand Tourist SIM 15 days – THB599 (~RM80)
- Thailand Tourist Infinite SIM 8 days – THB449 (~RM60)
- Thailand Tourist Infinite SIM 15 days – THB699 (~RM93)
- Thailand Tourist Infinite SIM 30 days – THB1,199 (~RM160)
Pelan Tourist SIM 10 days memiliki kuota 4G/5G sebanyak 50GB untuk kegunaan 10 hari, serta panggilan 100 minit ke talian tempatan. Pelan Tourist SIM 15 days pula memberi 30GB kuota 4G/5G dan panggilan tanpa had sesama talian TrueMove sahaja. Kedua-dua pelan ini diberikan akses tanpa had ke 14 aplikasi sosial, antaranya Facebook, Instagram, X, WeChat dan WhatsApp.
Pelan Tourist Infinite pula adalah sama semuanya, berbeza mengikut tarikh aktif. Ia dilengkapi internet 5G tanpa had, THB100 kredit panggilan antarabangsa dan panggilan tanpa had ke semua rangkaian di Thailand.
Jika berminat, pek SIM ini hanya boleh dibeli secara fizikal, di lapangan terbang antarabangsa Thailand (Suvarnabhumi, Don Mueang, Phuket, Chiang Mai, Chiang Rai, Hay Yai & Samui), di 7-Eleven seluruh Thailand, serta di kedai True berhampiran stesen MRT (Rama 9 Exit 2) dan BTS (Siam Exit & Exit 5, Chit Lom Exit 1 & 2, Ploen Chit Exit 5, Asok Exit 1 & 3 dan Phrom Phong Exit 1).
Maklumat lanjut tentang pek SIM boleh dirujuk di sini.
Kelebihan dan cara mengaktifkan insuran perjalanan Tune Protect
Insuran perjalanan Tune Protect hanya disediakan untuk pembeli pek SIM Thailand Tourist yang bukan warganegara Thailand. Maknanya, rakyat Malaysia akan menikmati faedah insuran ini.
Selepas membeli pek SIM ini, pengguna harus mengisi semua maklumat yang diperlukan menerusi pautan SMS yang diberi, dalam tempoh 30-hari selepas SIM diaktifkan.
Antara perlindungan perjalanan yang disediakan untuk pemilik SIM adalah:
- Kehilangan nyawa, pemotongan, kehilangan penglihatan atau hilang upaya kekal akibat kemalangan , maksimum 100,000 THB
- Perbelanjaan Perubatan daripada kecederaan dan sakit, maksimum THB100,000
- Pembatalan atau penangguhan perjalanan THB2,500
- Sekatan perjalanan THB2,000
- Kelewatan perjalanan (THB500 untuk setiap 6 jam berturut-turut) sehingga THB2,500
- Liabiliti awam THB30,000 (Boleh ditolak THB1,000 setiap tuntutan)
- Kerosakan atau kehilangan bagasi atau barang peribadi THB5,000 (THB2,500/beg) (Boleh ditolak THB6,000 Baht setiap tuntutan)
- Kelewatan bagasi, maksimum THB2,500 (THB500 untuk setiap 6 jam berturut-turut)
- Perkhidmatan percuma 1 kali untuk Health2GO (Doktor dalam talian)
Untuk tuntutan insuran pula, ia boleh dibuat menerusi pautan SMS yang digunakan semasa mendaftar, kemudian pergi ke bahagian Claim.