Jika siri P dan Mate adalah kelas flagship, dan siri nova untuk kelas pertengahan. Bagi kelas permulaan, Huawei menyediakan telefon pintar siri Y. Jualan Mega 11 November kelak akan diserikan dengan ketibaan model terbaru, Huawei Y9 2019.
Sekilas pandang spesifikasinya, Y9 2019 dilihat banyak persamaan dengan Huawei nova 3i. Ini kerana ia dikuasakan cip pemproses Kirin 710 dengan kuasa GPU Turbo. RAM juga sama iaitu 4GB tetapi storannya kurang sedikit. 64GB di Y9 2019 dan 128GB di nova 3i.
Persamaan ini diteruskan lagi dengan penggunaan 4 kamera, tetapi dengan lensa yang lebih rendah. Huawei Y9 2019 menggunakan dwi-kamera belakang 16MP+2MP manakala kamera hadapannya 13MP+2MP. Lensa kedua digunakan untuk menangkap perbezaan tahap kedalaman sekaligus menghasilkan efek bokeh yang menarik.
Saiz skrinnya walau berbeza, tetapi dengan rupa dan resolusi yang sama. Y9 2019 dipasang skrin berukuran 6.5-inci, dalam nisbah 19.5:9, resolusi HD Penuh+ bersama takuk di atas. Pengimbas capjari dipasang di belakang telefon.
Kelebihan utama Y9 2019 berbanding nova 3i ialah saiz bateri. Dengan skrin lebih besar, Y9 2019 dilengkapi bateri 4,000mAh dengan pengecasan melalui port mikroUSB.
Terdapat tiga warna Y9 2019 yang disenaraikan oleh Huawei Global iaitu Midnight Black, Sapphire Blue dan Aurora Purple.
Harga jualan Y9 2019 masih belum diumumkan tetapi Huawei mencanangnya sebagai telefon pintar Huawei kelas permulaan terbaik untuk dimiliki. Melihatkan spesifikasinya yang sedikit kurang dari nova 3i, kami jangkakan harga Y9 2019 akan terletak di bawah RM1,000. Memandangkan nova 3i dengan 4GB RAM dan 128GB storan kini berharga RM1,099.
Kita nantikan pengumuman harga Y9 2019 yang pasti akan diumumkan sebelum 11.11 nanti. Sementara itu, boleh baca lebih lanjut berkenaan telefon pintar ini di laman produk Huawei Y9 2019.