Vivo pada November lalu telah memperkenal siri telefon flagship terbaru Vivo X100 untuk pasaran China. Kini, selepas sebulan pelancarannya di China, Vivo Malaysia telah mengumumkan siri Vivo X100 bakal tiba ke pasaran Malaysia tidak lama lagi.
Untuk siri flagship terbaru ini, Vivo masih meneruskan kerjasama bersama pakar kamera Zeiss untuk telefon siri flagship mereka, tapi dengan kamera telefoto Zeiss APO yang baharu. Di China, ia didatangkan dalam dua model iaitu Vivo X100 dan Vivo X100 Pro. Pasaran Malaysia juga mungkin menerima dua model yang sama, jika dilihat pada model X90 yang dilancar sebelum ini.
Peraduan ‘Cari dan menang’ Vivo X100
Sempena ketibaannya di Malaysia, Vivo Malaysia turut mengadakan peraduan menarik membolehkan pengguna memenangi hadiah ekslusif. Peraduan yang dinamakan ‘Cari dan menang’ ini akan bermula dari 19 Disember hingga 2 Januari 2024. Untuk sertainya, ia boleh dilakukan dengan mudah dan berikut adalah langkahnya:
- Langkah pertama: Buat carian ‘Vivo X100 Series’ di Google
- Langkah kedua: Lakukan tangkapan skrin hasil carian tersebut
- Langkah ketiga: Kongsikan tangkapan skrin hasil carian di bahagian komen dan masukkan hashtag: vivoX100Series and #PhotographyRedefined di hantaran Facebook Vivo
Spesifikasi Vivo X100
Vivo X100 berkongsi banyak ciri yang sama seperti Vivo X100 Pro. Jika pasaran Malaysia menerima spesikasi sama seperti China, kedua-duanya akan diperkasa cip terbaru MediaTek Dimensity 9300. Cip ini memiliki 4 teras berprestasi tinggi Cortex-A4 dengan kelajuan 3.25Ghz, dan 4 teras cekap tenaga Cortex-A720 pada 2Ghz. Cip tersebut digandingkan dengan RAM LPDDR5 atau LPDDR5T sehingga 16GB dan storan UFS 4.0 sehingga 1TB.
Sementara itu, sistem operasinya menggunakan Funtouch OS 14 terbaru berasaskan Android 14. Khas di model X100 Pro, ia juga dipasangkan cip pengimejan Vivo V3 6nm terbaru untuk mengendali rakaman dan pemprosesan video potret dalam resolusi 4K.
Bahagian paparannya hadir dengan skrin melengkung AMOLED LTPO 6.78 inci pada resolusi 2,800 x 1260 piksel. Ia menyokong kadar penyegaran dinamik antara 1 hinngga 120Hz dan memiliki kecerahan puncak 3,000 nits, bersama-sama PWM Dimming setinggi 2,160Hz untuk melindungi mata. Terdapat lubang di tengah skrin menempatkan kamera hadapan 32MP f/2.0.
Untuk sistem kamera, kedua-dua model tampil dengan satu bulatan besar menempatkan tiga modul kamera dengan penjenamaan Zeiss. Walaupun nampak sama, terdapat perbezaan pada modul kamera yang digunakan pada kedua-dua model.
Model Vivo X100 Pro menggunakan tiga unit kamera beresolusi 50MP. Kamera utamanya menggunakan sensor 1″ Sony IMX989 dengan bukaan apertur f/1.8. Ia diikuti oleh kamera telefoto Zeiss APO baharu yang berkemampuan untuk memperbetulkan lensa zum secara apokromatik dengan menjajarkan warna hijau, merah dan biru pada paras fokus sama.
Kelebihan teknologi ini adalah ia dapat berikan kejelasan lebih baik serta mengurangkan herotan warna pada imej. Selain itu, kamerat telefoto ini juga mampu untuk zum optikal 4.3x dan zum digital sehingga 100x. Kamera terakhir adalah kamera ultralebar f/2.0 yang berjarak fokal 15mm.
Sementara itu, model Vivo X100 turut menggunakan kamera utama 50MP f/1.57 tapi dengan sensor IMX920, bersama kamera telefoto 64MP OIS menggunakan sensor bersaiz 1/2″ dengan keupayaan zum optikal 3x. Kamera ultralebar 50MP 15mm yang sama pada model Pro turut ada padanya. Kesemua modul kamera siri X100 ini menggunakan lensa dengan coating T* Zeiss yang didakwa dapat mengurangkan pantulan 50% beranding siri Vivo X90.
Untuk bahagian bateri, Vivo X100 dimuatkan bateri berkapasiti 5,000mAh yang menyokong pengecasan pantas 120W, manakala Vivo X100 Pro ada kapasiti lebih besar 5,400mAh. Ia boleh dicas semula dengan kuasa 100W berwayar dan 50W secara wayarles.
Lain-lain ciri yang boleh ditemui adalah kalis air dan debu IP68, pengimbas cap jari di dalam skrin, Bluetooth 5.4, WiFi 7 dan NFC. Berdasarkan gambar peraduan yang diberi Vivo Malaysia, Malaysia mungkin akan menerima dua varian warna iaitu biru dan hitam.
Harga siri Vivo X100 di China adalah seperti berikut:
- Vivo X100 (RAM 12GB + storan 256GB) – RMB3,999 (~RM2,587)
- Vivo X100 (RAM 16GB + storan 256GB) – RMB4,299 (~RM2,780)
- Vivo X100 (RAM 16GB + storan 512GB) – RMB4,599 (~RM2,975)
- Vivo X100 (RAM 16GB + storan 1TB) – RMB4,999 (~RM3,234)
- Vivo X100 (RAM LPDDR5T 16GB + storan 256GB) – RMB5,099 (~RM3,300)
- Vivo X100 Pro (RAM12GB + storan 256GB) – RMB4,999 (~RM3,234)
- Vivo X100 Pro (RAM16GB + storan 512GB) – RMB5,499 (~RM3,558)
- Vivo X100 Pro (RAM LPDDR5T 16GB + storan 256GB) – RMB5,999 (~RM3,881)
Pelancaran siri Vivo X100 telah ditetapkan akan berlangsung 2 minggu lagi, iaitu pada 3 Januari 2024. Jadi, untuk ketahui maklumat berkaitan harga, nantikan pelancaran rasminya di Malaysia.