Kini Anugerah SoyaCincau 2023 memasuki kategori telekomunikasi. Ia untuk mengiktiraf pelan prabayar, pascabayar dan syarikat telekomunikasi yang memberi tawaran dan khidmat terbaik sepanjang tahun 2023.
Terdapat empat anugerah di dalam kategori ini iaitu:
- Pelan Prabayar Terbaik
- Pelan Pascabayar Terbaik
- Pelan Jalur Lebar Terbaik
- Syarikat Telekomunikasi Terbaik
Jangan lupa untuk semak kategori lain Anugerah SoyaCincau 2023 seperti telefon pintar, tablet, kereta elektrik EV, gajet, dan banyak lagi.
1. Pelan Prabayar Terbaik
Anugerah Emas: Yes Prepaid FT5G Unlimited
Sejak adanya 5G di Malaysia, YES menjadi telco terkedepan dalam banyak perkara dan salah satu adalah pelan prabayar. Dengan bayaran RM30/bulan, pengguna disajikan dengan data 5G tanpa had termasuk 12GB hotspot, tanpa FUP serta panggilan ke semua talian tempatan tanpa had. Ini adalah pelan tanpa had termurah, jika ada liputan 5G.
Anugerah Perak: Hotlink Prepaid Pantas 60 100GB
Walaupun Maxis sering dilabel pelan yang mahal, prabayar Hotlink sebenarnya memberikan tawaran yang sangat bagus. Pelan berharga RM60 menyediakan panggilan di Malaysia tanpa had, data 4G/5G sebanyak 70GB dan tambahan data bonus 5G 35GB yang boleh digunakan termasuk hotspot, serta satu perkara yang tidak dapat ditandingi YES iaitu kuota ini boleh digunakan di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand. Tidak perlu beli pas atau data perayauan berasingan. Pengguna juga tidak perlu risau dengan liputan 5G sahaja kerana Maxis memiliki liputan 4G antara terbaik di Malaysia.
Anugerah Gangsa: Yoodo Data 65GB 5G RM41
Yoodo sebelum ini popular dengan pelan 20GB RM20, kini mereka menawarkan tawaran pas 5G yang lebih menarik. Dengan RM41, pengguna mendapat 65GB data yang boleh digunakan untuk 4G, 5G dan hotspot. Liputan 4G juga lebih baik daripada YES kerana Yoodo menggunakan rangkaian Celcom. Pengguna Yoodo juga boleh mengubahsuai pelan mereka mengikut apa yang diperlukan, seperti panggilan, sms, data media sosial, game, strim dan banyak lagi.
2. Pelan Pascabayar Terbaik
Anugerah Emas: U Mobile U Postpaid 68
Pelan prabayar terbaik kami kalungkan buat U Postpaid 68 dari U Mobile. Ia bukan sahaja ada kuota data yang banyak, 200GB untuk kegunaan 4G, 5G dan hotspot, malah data ini boleh digunakan di 4 negara iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand, macam prabayar Hotlink tadi. Tapi ia selangkah ke depan kerana memberikan panggilan masuk percuma jika berada di Singapura, Indonesia dan Thailand, selain panggilan tanpa had di Malaysia. Kuota sahaja tidak mencukupi, tetapi tawaran perayauan data serta panggilan percuma menjadikan pelan ini paling menarik tahun ini.
Anugerah Perak: Yes Power 35
Tempat kedua pascabayar terbaik diberi kepada pelan Yes Power 35. Ia adalah pelan yang sangat mudah kerana banyak kuota iaitu 100GB, boleh digunakan untuk 4G, 5G dan hotspot, tiada sekatan kelajuan dan panggilan tempatan tanpa had. Pengguna tidak perlu berfikir banyak dan berkira-kira kerana ia sangat murah dan hanya bayar bil kemudian.
Anugerah Gangsa: Hotlink Postpaid 70
Pelan pascabayar Hotlink ini sebenarnya sama dan serupa dengan pelan prabayar terbaik kami. Ia ada data yang sama banyak iaitu 70GB 4G/5G dan tambahan bonus 35GB 5G, panggilan tanpa had tetapi ada tambahan SMS tanpa had. Malah, kuota data ini boleh digunakan percuma di Singapura, Thailand dan Indonesia, tak perlu beli pas perayauan berasingan. Pelan ini juga terlibat dalam Pakej 5G Rahmah, boleh dapat telefon 5G percuma serta rebat RM10 untuk pelan, jika mengikat kontrak 24-bulan.
3. Pelan Jalur Lebar Terbaik
Anugerah Emas: Yes 5G Wireless Broadband
Walau jalur lebar sering dikaitkan dengan kabel fiber, tahun ini kami memilih pelan jalur lebar wayarles iaitu Yes 5G Wireless Broadband sebagai pemenang emas. Ini kerana dengan tibanya 5G, ia memberikan kelajuan seperti kabel fiber dengan pemasangan jauh lebih mudah, tak perlu tebuk atap. Harganya juga mampu milik, RM99 sebulan termasuk router 5G dan tak perlu menunggu ketersediaan port, asalkan ada liputan 5G, sesiapa sahaja boleh mendaftar.
Anugerah Perak: Maxis Home Fibre 2Gbps
Tempat kedua jalur lebar terbaik kami beri kepada Maxis Home Fiber 2Gbps. Walaupun wireless mudah dipasang, ia tetap tak dapat atasi kestabilan fiber. Pelan Maxis 2Gbps juga lebih murah berbanding Unifi dan Time. Tetapi lebih baik lagi, ia turut terdapat di kawasan fiber TM, tidak terhad di kawasan fiber Maxis sahaja. Ini menjadikan liputan 2Gbps Maxis lebih luas berbanding Unifi dan Time.
Anugerah Gangsa: Time 2Gbps
Kualiti dan kestabilan Fiber daripada Time diakui lebih baik berbanding TM. Kelebihan utama pelan Time 2Gbps berbanding Unifi 2Gbps adalah, ia menawarkan kelajuan 2Gbps sebenar. Di Unifi, ia adalah gabungan dua talian 1Gbps. Malah, Time memberikan dua nod Mesh bersama router WiFi 6 2Gbps kepada pelanggan, memastikan liputan lebih luas di premis dapat dirasai semua.
4. Syarikat Telekomunikasi Terbaik
Anugerah Emas: Maxis
Walaupun Maxis menjadi telco terakhir melancarkan 5G, tahun 2023 menyaksikan ia menawarkan perubahan yang ketara. Pelan pascabayar diperbaharui dengan akses 5G serta data lebih banyak, jauh sebelum pelanggan mengadu dan mengugut mahu beralih telco. Pelan prabayar juga menyaksikan tawaran yang lebih menarik, walaupun masih tiada pelan tanpa had yang selalu mengecewakan pengguna kerana adanya FUP. Maxis juga mengekalkan pelan keluarga lebih baik berbanding telco lain, termasuk pelan jalur lebar fibre. Kita juga jarang mendengar pelanggan Maxis merungut akibat sokongan pelanggan yang buruk, di samping liputan 4G Maxis yang kekal antara terbaik di Malaysia.
Anugerah Perak: Yes
Kedatangan 5G mengubah banyak perkara untuk Yes. Mereka bukan sahaja menjadi yang terawal menawarkan 5G di Malaysia, malah menyediakan pelan pascabayar dan prabayar termurah, serta tanpa had sebenar tanpa FUP. Dengan 5G juga, Yes kini dapat menawarkan pelan jalur lebar berkelajuan pantas, tanpa FUP pada harga lebih murah. Tetapi tanpa 5G, pengguna Yes terpaksa berhadapan liputan 4G yang kurang dan kelajuan yang tidak stabil.
Anugerah Gangsa: Unifi
Perubahan terbesar yang dibawakan oleh Unifi tahun ini adalah tawaran kandungan untuk pengguna Unifi Home. Boleh dikatakan, Unifi kini adalah penyedia kandungan penstriman terbesar di Malaysia. Ini setelah Netflix turut menyatakan kerjasama pada pertengahan tahun. Pakej penstriman yang ditawarkan Unifi dilihat lebih berbaloi daripada Astro, menjadikannya pilihan yang lebih baik memandangkan pengguna juga perlukan sambungan internet fibre yang stabil dan luas liputan. Bagi talian mudah alih, pelan pascabayar dan prabayar diperbaharui, tetapi tidak cukup untuk menyaingi tawaran pesaing lain.