Ini adalah kategori terakhir Anugerah SoyaCincau 2023 yang menjadi kesimpulan untuk anugerah kami. Ia merangkumi gajet terbaik, serta perkara berkaitan teknologi yang mengejutkan dan mengecewakan sepanjang tahun 2023. Termasuk Menteri dan 5G.
Terdapat empat anugerah di dalam kategori ini iaitu:
- Gajet Terbaik
- Jenama Teknologi Terbaik
- Perkara Paling Mengecewakan
- Perkara Paling Mengejutkan
Jangan lupa untuk semak kategori lain Anugerah SoyaCincau 2023 seperti telefon pintar, tablet, kereta elektrik EV, gajet, dan banyak lagi.
1. Gajet Terbaik
Anugerah Gangsa: Samsung Galaxy Z Flip 5
Tempat ketiga gajet terbaik 2023 diberi kepada telefon pintar lipat, Galaxy Z Flip 5. Walaupun telefon lipat Z Fold 5 dilihat tiada yang menakjubkan, Z Flip 5 ada tarikan yang lebih besar kerana skrin luar yang lebih luas dan boleh menjalankan aplikasi. Samsung juga telah menetapkan had yang terlalu tinggi untuk sebuah telefon lipat seperti kalis air, pengecas wayarles, serta engsel yang boleh menetapkannya dilipat dalam pelbagai sudut. Ini bukti bahawa telefon lipat bukan sekadar telefon boleh lipat, tapi berfungsi lebih dari biasa.
Anugerah Perak: BYD Dolphin
Tempat kedua adalah BYD Dolphin, tapi kenapa kereta? Tahun 2023 adalah tahun EV dilambakkan ke pasaran Malaysia. Tetapi BYD Dolphin adalah EV paling menonjol kerana bukan sahaja harganya yang lebih murah berbanding EV lain iaitu dari rm100 ribu sahaja, malah tawaran yang diberikan setaraf EV yang lebih mahal. Ada yang kata BYD adalah Xiaomi untuk EV. Jika anda baru mahu mencuba EV, BYD Dolphin adalah pilihan yang tepat.
Anugerah Emas: Asus ROG Ally
Dari April Fool menjadi nyata. Ramai tidak menyangka Asus akan melancarkan konsol gaming mudahalih ROG Ally. Sejurus dilancarkan, ia pantas menjadi kegilaan ramai, walaupun peranti seumpamanya seperti Steam Deck, sudah lama berada di pasaran.
Tetapi apa yang membuatkan ia sangat menarik adalah harganya yang lebih mampu milik, serta sokongan tajuk permainan yang lebih meluas kerana menggunakan Windows 11. Ia juga dipenuhi dengan semua keperluan gamer sejati, antaranya butang kawalan mudah guna seperti konsol biasa, bunyi yang bergegar dan paparan yang cukup menawan.
2. Jenama Teknologi Terbaik
Anugerah Gangsa: Asus
Jenama teknologi terbaik tahun 2023, tempat ketiga adalah Asus. Asus masih kekal dalam kawasan mereka tersendiri iaitu produk komputer dan gajet. Antara perubahan besar yang dibawakan Asus tahun ini adalah banyak pilihan laptop OLED yang lebih mampu milik. Malah Asus terus mengungguli kategori gaming dengan laptop gaming berkuasa tinggi dan mampu milik, serta telefon gaming terbaik iaitu ROG Phone 7. Tetapi kejutan terbesar yang melonjakkan nama Asus tahun ini, sudah pasti adalah ROG Ally.
Anugerah Perak: Xiaomi
Tempat jedua jenama teknologi terbaik, kami berikan kepada Xiaomi. Xiaomi terus mengungguli tawaran mampu milik. Tetapi kini Xiaomi tidak lagi terhad kepada peranti seperti telefon dan tablet sahaja, tetapi bertambah dengan pelbagai produk rumah termasuk robot vakum, tv, kamera dan banyak lagi. Di peringkat antarabangsa, Xiaomi telah melancarkan kereta elektrik. Malah, Xiaomi membuat perubahan besar dengan membawakan antaramuka telefon baru, HyperOS untuk menggantikan MIUI. Boleh dikatakan, Xiaomi bakal menyaingi Samsung dalam pelbagai aspek untuk menjadi jenama terulung di dunia. Tetapi Xiaomi harus meningkatkan lagi sokongan khidmat pelanggan untuk mencapai taraf seperti Samsung.
Anugerah Emas: Samsung
Pemenang emas untuk jenama teknologi terbaik 2023, adalah Samsung. Tidak dapat dinafikan, Samsung adalah jenama terbaik menerusi pelbagai tawaran yang disediakan untuk pengguna di Malaysia. Pilihan telefon dan tablet terbaik dirangkul Samsung menerusi pelbagai model terunggul dan mampu milik. Tidak dilupakan juga kepada peralatan di rumah sepeti TV, peti sejuk, penyaman udara dan banyak lagi dengan teknologi canggih dan boleh dikawal dari jauh. Tetapi lebih penting lagi adalah sokongan khidmat pelanggan yang meluas di seluruh Malaysia.
3. Perkara Paling Mengecewakan
Anugerah Gangsa: 5G di Malaysia
Tempat ketiga Perkara paling mengecewakan tahun ini adalah 5G. Sudah hampir 3 tahun DNB ditubuhkan untuk mengurus rangkaian 5G, tetapi 5G di Malaysia masih belum menemui penyelesaian muktamad. Setahun yang lalu selepas dilantik sebagaia perdana manteri Malaysia ke-10, anwar ibrahim tidak mahu 5G dimonopoli. Walaupun liputan 5G sudah menghampiri 80%, tahap peratus pengguna 5G masih di sekitar 10% sahaja. Perkara paling mengecewakan sudah pasti tentang harga, yang dijanjikan lebih murah apabila dilaksanakan oleh DNB. Walaupun telco menyediakan pelan 5G yang lebih banyak data, ia dibelenggu dengan perkara seperti sekatan kelajuan, FUP dan terma yang tersembunyi.
PM meminta rangkaian kedua 5G ditubuhkan untuk mengelakkan monopoli, tetapi perancangan ini masih jauh dari persetujuan semua pihak terlibat. Pihak telco dilihat masih tidak bersetuju dengan syarat yang berat sebelah manakala DNB seperti tidak mahu berganjak dengan perjanjian asal. Rakyat masih menantikan 5g murah yang dijanjikan dnb, tetapi telco pasti tidak mahu menangung rugi jika ada terma yang tersembunyi. Apa yang pasti, 5G di Malaysia masih mengecewakan tahun ini.
Anugerah Perak: Neta V
Ada yang mengatakan Neta V adalah mangsa keadaan kerana EV import tidak boleh dijual di bawah RM100 ribu di Malaysia. Tetapi Neta sendiri sebenarnya boleh memilih untuk menyediakan tawaran yang sesuai dengan harga. Pada harga RM100 ribu, Neta V tiada kerusi boleh laras ketinggian, stering tidak boleh ubah, malah ciri keselamatan yang kurang seperti hanya 2 beg udara, serta tiada ciri pembantu pemanduan. Walaupun banyak kekurangan, Neta V sebenarnya seronok untuk dipandu. Tetapi bukan pada harga dan ciri-ciri sebegini
Anugerah Emas: Kementerian Komunikasi Dan Digital
Kekecewaan terbesar sepanjang tahun 2023, kami nobatkan kepada Kementerian Komunikasi dan Digital. Pengharapan setinggi gunung diletakkan apabila namanya ditukar daripada komunikasi dan multimedia kepada komunikasi dan digital. Rasa kecewa pertama apabila MSAP 2023 yang dicanang akan membawa penurunan harga drastik, hanya berbeza sedikit sahaja. Ini ditambah lagi dengan pelbagai Langkah telco yang dilihat dibiarkan Sahaja, seperti promosi yang tersembunyi syarat dan terma, serta polisi penamatan kontrak berat sebelah. 5G juga dijanjikan gunung dan bintang, tetapi ia masih tidak dapat diselesaikan. Kualiti liputan talian masih tidak memuaskan walaupun liputan semakin meluas.
Penipuan dan scam masih berleluasa, serta penyebaran maklumat palsu yang tidak terkawal. Walaupun banyak pertemuan diadakan dengan platform media sosial, masih tiada perubahan yang ketara dilaksanakan. Akta perlindungan data peribadi atau PDPA juga memerlukan perubahan kerana ia tidak melibatkan agensi Kerajaan, yang mengalami banyak pelanggaran data tahun ini tetapi tiada Tindakan diambil. Dengan perpecahan Kementerian komunikasi dan Kementerian digital, diharapkan ia akan memacu perubahan lebih drastik dan efektif di tahun hadapan.
4. Perkara Paling Mengejutkan
Anugerah Gangsa: Yes jual iPhone
Terkejut di tempat ketiga sebab selama ini iPhone dilihat telefon yang sangat mahal, tetapi dengan Yes ia boleh dimiliki lebih ramai orang. Apabila Yes mula menjual iPhone, ia merendahkan lagi halangan untuk orang ramai kerana harganya lebih murah. Ini kerana Yes sentiasa menawarkan harga bulanan terendah untuk pengguna, tidak kira untuk pelan bulanan mahupun kontrak peranti. Malah, Yes juga menawarkan eSIM yang sangat mudah diaktifkan di iPhone. Jangan terkejut jika anda melihat ramai kawan dan keluarga mula menggunakan iPhone, kerana melanggannya bersama Yes.
Anugerah Perak: BYD Dolphin
Terkejut tempat kedua ni kami pilih EV. Harganya mampu milik tetapi fungsi canggih dan banyak. BYD Dolphin ni contoh terbaik EV tahun ini. Ia bukan sahaja membantu hasrat kerajaan untuk menyediakan EV yang murah kepada orang ramai, tetapi ia memenuhi keinginan pengguna yang mahu EV penuh fungsi dan canggih, tidak semata-mata mengganti enjin petrol sahaja. Boleh kata, BYD Dolphin ni pilihan lebih baik daripada Toyota Vios atau Honda City tau.
Anugerah Emas: Asus ROG Ally
Paling mengejutkan kami tahun ini adalah ROG Ally. Memang mengejutkan, sebab ia diumumkan pada 1 April macam scam April Fool, tetapi sebenarnya menjadi kenyataan. Dapat dilihat, ramai orang sanggup beratur semalam untuk membelinya. Untuk Malaysia sekurang-kurangnya, ROG Ally adalah revolusi kepada permainan mudah alih. Pengguna tidak lagi terikat dengan game di telefon yang sedikit jumlahnya dan kurang menarik, kini mampu membawa game komputer yang banyak dan serasi ke mana jua.
Dengan ini, tamatlah Anugerah SoyaCincau 2023. Apa pendapat anda dengan pilihan kami kali ni, cuba bagi komen sikit mana yang setuju atau nak bangkang.