Produk pengecas GaN kini semakin popular di kalangan pengguna. Dengannya, anda dapat mengecas beberapa peranti serentak dengan hanya menggunakan satu pengecas. Kalau dengan pengecas 100W, anda boleh megecas peranti besar seperti laptop atau mengecas laju telefon pada kuasa 65W.
Kelebihan pengecas GaN adalah ia lebih tahan panas, mampu kendalikan voltan tinggi dan mempunyai badan yang kompak. Ini kerana ia menggunakan teknologi GaN yang merujuk kepada penggunaan Gallium Nitrida sebagai transistor menggantikan silikon pada pengecas biasa.
Oleh itu, jika anda sedang mencari pengecas GaN untuk mengecas semua gajet elektronik anda, dalam artikel ini saya akan senaraikan 5 pengecas GaN 100W. Semuanya berharga bawah RM300 sahaja.
1. Shargeek 100W Pro
Pengecas Shargeek 100W Pro merupakan pengecas GaN paling unik dalam senarai ini dan tiada pengecas dengan rekaan seumpamanya. Badannya berkotak bertekstur garis di tepi, bersama dengan saiz badan yang cukup kompak. Amat ideal dan memudahkan untuk dibawa ke mana-mana.
Ia memiliki empat port dengan tiga daripadanya adalah port USB-C dan satu adalah port USB-A. Dua port USB-C pertama menyokong PD 3.0 dan mencapai keupayaan mengecas maksimum pada 100W jika digunakan secara bersendirian. Manakala port USB-C ketiga terhad untuk pengecasan 20W, dan port USB-A pada 18W.
Apabila semua port digunakan, kuasa output akan terhad pada pecahan 45W+30W+10W+10W. Jadi dengannya anda masih boleh cas satu laptop, satu iPad Pro dan dua lagi peranti biasa. Namun, perlu ingat untuk memanfaatkan pengecasan pantas, anda kena gunakan kabel yang menyokong kuasa tinggi seperti kabel 100W atau 65W.
Lagi menarik, nak bawa ke luar negara pun mudah kerana ia datang sekali bersama adapter UK, EU dan AU. Jadi anda tidak perlu dapatkan kepala adapter berasingan.
Anda boleh dapatkannya di Lazada dan Shopee dengan harga RM299.
2. Aukey Omnia II 100W
Aukey antara jenama yang boleh dipercayai, dan mereka juga ada menghasilkan pengecas GaN, Aukey Omnia 100W. Walaupun dengan badan kompak, ia ada kuasa output mengecas sehingga 100W melalui port USB-C. Jumlah port yang terdapat pada badannya adalah empat port dengan tiga daripadanya port USB-C dan satu port USB-A.
Jikalau menggunakan kedua-dua port USB-C pertama dan kedua serentak, output kuasanya terhad pada 95W sama ada 65W+30W atau 45W+45W. Jadi anda boleh gunakannya untuk mengecas sebuah laptop dan sebuah iPhone pada kuasa penuh.
Tetapi yang menariknya, port USB-A pengecas ini menyokong sehingga 60W jika digunakan sendirian yang mana lebih pantas dari pengecas lain dalam senarai pada 22.5W.
Sekiranya kesemua port dimanfaat, pecahan output akan menjadi lebih rendah pada 45W+30W untuk USB-C pertama dan kedua, dan 10W+10W untuk port USB-C dan USB-A. Ini sudah cukup memadai untuk anda mengecas sebuah laptop berkuasa rendah dan iPad Pro bersama dengan gajet lain.
Selain itu, pengecas ini datang bersama jaminan waranti 2 tahun, yang mana lebih lama daripada kebiasaan setahun.
Harganya adalah sekitar RM250. Anda boleh dapatkannya di Lazada dan Shopee.
3. Ugreen Nexode 100W PD GaN Charger
Sebuah lagi jenama yang terkenal dengan aksesori gajet, Ugreen turut tersenarai dengan pengecas GaN berprestasi tinggi, Ugreen Nexode 100W. Ugreen memberikan jaminan setahun untuk pengecas ini. Macam pengecas lain, ia turut tampil dengan empat port yang serupa iaitu tiga port USB-C dan satu port USB-A.
Ia menyokong pengecasan maksimum 100W pada kedua-dua port USB teratas, manakala dua port lagi terhad pada 22.5W. Tetapi untuk mendapat kuasa penuh, anda perlu menggunakan kabel serasi untuk mendapat kuasa tinggi.
Menggunakan dua port USB-C PD 3.0 serentak akan mengehadkan kuasa output pada 65W pada port pertama dan port kedua pada 30W. Apabila tiga port digunakan pula akan menjadikan output tertinggi pada 45W jika kedua-dua port USB-C digunakan dengan lagi satu adalah 22.5W. Kedua-dua port USB-C ketiga dan USB-A akan ada kuasa maksimum pada 10.5W jika digunakan dalam satu masa.
Sementara itu, jika kesemua port digunakan serentak, port USB-C teratas akan mengeluarkan output 45W, USB-C kedua 30W, USB-C ketiga 10.5W dan port USB-A 10.5W. Oleh itu, ia tidak boleh digunakan untuk mengecas laptop berkuasa tinggi jika kesemua port digunakan dalam satu masa. Namun, anda masih boleh mengecas Macbook Air M2 atau seangkatannya yang memerlukan kuasa 30W.
Jika berminat, anda boleh dapatkannya pada harga sekitar RM220. Ia boleh dibeli di Lazada dan Shopee.
4. Baseus GaN5 Pro 100W
Seterusnya adalah pengecas Baseus GaN5 Pro 100W. Pengecas ini ada rekaan tipikal tetapi hadir dengan badan yang cukup kecil mudah dibawa dalam beg. Ia berdimensi 85.5mm tinggi, dan lebar 49.6mm dan berat agak ringan pada 250 gram. Ia turut hadir bersama waranti sehingga 2 tahun.
Menggunakan salah satu port USB-C-nya, ia mampu mengecas sebuah laptop pada kuasa 100W. Tetapi, pengecas perlu digandingkan dengan kabel berkuasa tinggi untuk anda manfaatkannya. Pada badannya terdapat empat port yang dua daripadanya adalah USB-C dan dua lagi adalah USB-A. Port USB-A terhad pada output 60W.
Manakala jika anda mengecas menggunakan semua port serentak, port USB-C pertama terhad pada 60W, USB-C kedua 20W, dan dua lagi port USB-A berkongsi output 15W. Ini memungkinkan anda untuk mengecas Macbook Pro pada kuasa minimum walaupun menggunakan semua port yang lain pada pengecas.
Anda boleh dapatkannya di Lazada dan Shopee pada harga RM240.
5. Belkin BoostCharge Pro 4-Port
Akhir sekali adalah pengecas GaN Belkin BoostCharge Pro 4-Port. Pengecas ini memang sesuai sekiranya anda mahu meletakkan pengecas di atas meja kerana ia ada kabel panjang dua meter untuk sambung pada punca kuasa. Ini berikan anda akses mudah pada port dan anda juga tidak perlu mencucuk kabel USB-C di bawah soket punca kuasa. Untuk mengecas empat peranti serentak, ia menyokong pengeluaran kuasa 108W.
Ada sebanyak empat port padanya iaitu dua USB-C dan dua USB-A. Kuasa 96W boleh dikeluarkan dari port USB-C pertamanya, dan apabila semua port digunakan, pecahan output akan dibahagi kepada 65W+30W+12W. 12W itu berkongsi dengan dua port USB-A.
Jadi, anda masih boleh mengecas laptop dan telefon bersama dengan dua lagi gajet pada kelajuan biasa. Jika rosak, anda tidak perlu risau kerana pengecas ini datang bersama jaminan 2 tahun.
Ia boleh didapatkan pada harga RM299. Jika berminat, anda boleh membuat pembelian di Lazada dan Shopee.
Pengecas GaN sememangnya dapat membantu untuk mereka yang perlu mengecas beberapa peranti serentak dengan pantas, lebih-lebih lagi jika anda selalu dalam perjalanan. Kesemua pengecas disenaraikan tadi adalah antara yang terbaik jika anda memerlukan pengecas berkuasa tinggi yang boleh mengisi semula tenaga laptop dan telefon anda dengan selamat dan pantas.
Kalau tidak pasti untuk memilih, anda perlu lihat dari aspek port yang diperlukan, dan juga kuasa output yang bersesuaian. Tetapi jika anda mahukan pengecas GaN dengan kit perjalanan untuk kemudahan luar negara, anda boleh dapatkan Shargeek 100W Pro.
Jika anda nakkan yang boleh akses port mudah di atas meja, dapatkan Belkin BoostCharge Pro 4-Port. Kalau anda perlukan output USB-C 60W sambil menggunakan empat port serentak, anda boleh dapatkan Baseus GaN5 Pro 100W. Jika mahukan output 60W pada port USB-A, anda boleh dapatkan Aukey Omnia II 100W.