Setelah dua kali cukai Barangan Nilai Rendah (LVG) ditangguhkan, sepatutnya berkuat kuasa pada 1 Januari 2023 dan kemudian ditangguhkan pada 1 April 2023, kini bermula 1 Januari 2024, cukai LVG telah pun dilaksanakan.
Tindakan kerajaan Malaysia mengenakan cukai LVG 10% itu, turut mendapat sokongan Sea Limited (Malaysia) atau Sea, selaku syarikat induk Shopee.
Bagi Sea, inisiatif strategik tersebut dipercayai akan dapat memberikan manfaat faedah besar kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana tempatan (PKS) serta menyumbang secara positif kepada ekonomi Malaysia.
Menurut Ketua Bahagian Sea Limited (Malaysia), Terence Siau, melalui pelaksanaan cukai LVG membolehkan penjual terutamanya PKS, mempamerkan produk buatan dan perkilangan Malaysia yang setanding dengan piawaian antarabangsa. Ia juga menggalakkan lagi sokongan pembeli terhadap produk tempatan.”
“Melalui Shopee, kami membolehkan PKS terutamanya di bandar kecil dan komuniti luar bandar, berjaya dalam dunia yang mengutamakan digital, menghubungkan mereka kepada lebih ramai pelanggan” ujarnya.
Demi ketelusan kepada pengguna, Shopee memberitahu pihaknya ada menghantar mesej pop-up sebagai pemberitahuan mengenai pelaksanaan cukai LVG 10% itu kepada pembeli di platform tersebut. Selain itu, Shopee juga akan memainkan peranan dalam membantu kerajaan melaksanakan cukai ini kepada penjual asing yang memenuhi syarat yang ditetapkan.
Pelaksanaan cukai LVG 10%
Pengutipan cukai LVG 10% ke atas barangan bernilai bawah RM500 dibawa masuk dari luar negara ke Malaysia yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2024 adalah berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kerajaan pada November 2023.
Apabila adanya cukai LVG tersebut, semua hasil pembelian dalam talian yang berstatus “shipped from oversea” akan dikenakan cukai, tidak kiralah sama ada dibeli melalui dalam talian menerusi Shopee, Lazada mahupun sebarang platform dalam talian lain.
Sebelum ini pun, cukai LVG telah pun dilaksanakan pada 1 Januari 2023, tetapi hanya untuk barangan bernilai lebih RM500,000 dalam tempoh 12 bulan.
Dengan adanya cukai LVG membolehkan perniagaan tempatan memasarkan produk dengan kualiti yang sama secara kompetitif pada harga jualan yang sama, merangsang permintaan untuk barangan tempatan.
Barangan bernilai rendah yang diimport sebelum ini tidak dikenakan sebarang cukai manakala 6% cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dikenakan ke atas barangan keluaran tempatan, menyebabkan produk tempatan diketepikan oleh pengguna.
Sebenarnya, pelaksanaan cukai LVG tidak eksklusif untuk Malaysia sahaja, kerana terdapat negara lain yang turut mengambil langkah sama dalam rangka kerja Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) termasuk Australia, New Zealand dan Singapura.
Sebagai contoh di Singapura, GST sebanyak 9% digunakan untuk barangan bernilai SGD400 dan ke bawah, yang diimport melalui udara atau pos. Manakala di Australia, 10% GS dikenakan untuk jualan runcit barangan bernilai rendah yang diimport pada AUD1,000 atau kurang yang dibeli pengguna.
Mungkinlah bagi sesetengah individu yang gemar membeli-belah dalam talian, cukai LVG 10% itu agak membebankan. Namun kalau dilihat dari sudut positif, mungkin dengan cara ini kita akan lebih banyak membeli barangan tempatan. Siapa lagi yang nak bantu bangunkan ekonomi negara kalau bukan kita sendiri, betul tak? Barangan tempatan pun, tak kurang hebat kualitinya.