Majlis pelancaran Redmi Note 13 turut menyaksikan pengenalan dua fon putik baharu dalam siri Redmi Buds iaitu Redmi Buds 5 dan Redmi Buds 5 Pro. Berbanding Buds 5, model Buds 5 Pro adalah varian lebih mahal serta menyokong audio hi-res, ANC lebih baik dan memiliki ciri bunyi sekeliling lebih imersif.
Harga dan promosi Redmi Buds 5 Pro
Sejurus pelancarannya, Xiaomi memaklumkan Redmi Buds 5 Pro boleh dibeli bermula hari ini, 16 Januari 2024. Ia dijual di Malaysia pada harga berikut:
- Redmi Buds 5 Pro – RM299
Seperti Redmi Buds 5, Xiaomi turut menyediakan harga promosi untuk Buds 5 Pro pada RM269. Maka jika berminat, anda perlu cepat kerana promosi ini akan berakhir pada 2 Februari. Anda boleh membuat pembelian di gedung rasmi Xiaomi di Lazada dan juga Shopee.
Spesifikasi Redmi Buds 5 Pro
Redmi Buds 5 Pro merupakan varian fon putik lebih canggih daripada Buds 5 dan dilengkapi ciri lebih banyak. Walaupun nampak seperti tiada perubahan berbanding model terdahulu, Buds 5 Pro kini hadir dengan tekstur marmar baharu pada tangkai fon putik serta menggunakan rekaan bekas dengan kemasan vegan leather atau kulit vegan.
Seperti Buds 4 Pro, bunyi Buds 5 Pro dipacu dwi pemacu tetapi dengan saiz lebih besar. Ia menggunakan pemacu titanium 11mm yang dibantu unit tweeter seramik piezoeletrik 10mm didakwa Xiaomi dapat menghasilkan bunyi tepat merentasi semua frekuensi serta hasilkan bunyi berdefinisi tinggi.
Untuk mencapai audio berdefinisi tinggi, fon putik ini menyokong codec hi-res LDAC dengan kadar pensampelan setinggi 96kHz. Sistem bunyi sekeliling juga telah dipertingkatkan dengan mod baharu iaitu mod musik dan mod video berikan pengalaman yang lebih imersif berdasarkan kandungan yang dilihat.
Di samping itu, tahap ANC juga telah dinaik taraf kepada 52dB pada julat frekuensi melebihi 4kHz berbanding 43dB berbanding pada model sebelum ini, berikan pengalaman mendengar bebas gangguan. Lebih menarik, teknologi ANC ini juga lengkap dengan fungsi pintar untuk mengubah mod mengikut situasi pemakai.
Sementara itu, untuk mod ketelusan, ia hadir dengan tiga mod sama seperti Buds 5 iaitu Regular, Enhance voice dan Enhance ambient, yang mana mod terakhir boleh meningkatkan tahap kepekaan terhadap bunyi sekeliling sebagai langkah keselamatan.
Sebanyak tiga mikrofon dimuatkan pada fon putik dengan fungsi pembatalan hingar menggunakan algoritma AI sekali gus menyingkirkan bunyi luar dan bunyi angin sebanyak 9m/s memastikan suara sentiasa jelas sewaktu panggilan.
Dari segi hayat bateri pula, ia telah dipertingkatkan untuk berikan masa penggunaan sehingga 10 jam dengan fon putik berbanding 9 jam pada model Buds 4 Pro. Dengan bekas pengecas, masa penggunaan boleh bertahan lebih lama pada 38 jam.
Redmi Buds 5 Pro menggunakan sambungan Bluetooth 5.3 dan boleh dipautkan pada dua peranti serentak. Tahap kekalisan air dan debu IP54 turut tersedia. Ia datang dalam tiga warna iaitu hitam, putih dan biru cair.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Redmi Buds 5 Pro.