Jika anda saman trafik yang tertunggak, berita ini pasti akan mengujakan anda. Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menawarkan pengurangan kadar kompaun saman trafik bersempena dengan Hari Terbuka Putrajaya 2024. Ia akan bermula dari 1 hingga 4 Februari 2024, bertempat di Dewan Seri Siantan, Kompleks Perbadanan Putrajaya.
Sewaktu Hari Terbuka tersebut, PDRM akan membuka kaunter saman dan orang ramai boleh hadir dari jam 9 pagi hingga 4 petang untuk mendapatkan pengurangan pembayaran saman trafik sebanyak 50%. Tetapi pengurangan ini tidak terpakai untuk semua kesalahan, sebaliknya kesalahan terpilih sahaja.
Walaupun tidak dinyatakan kesalahan apa yang terlibat untuk diskaun, PDRM ada menyatakan jenis kesalahan lalu lintas yang tidak ditawarkan dalam diskaun ini. Berikut adalah kesalahan yang tidak terpakai untuk diskaun:
- Kemalangan
- Kesalahan Bicara Mahkamah
- Kesalahan Berkaitan Kenderaan Berat
- Memotong Secara Berbahaya
- Menggunakan Lorong Kecemasan
- Kesalahan Tidak Boleh Kompaun
- Tidak Mematuhi Isyarat Lampu Merah
- Memotong Di Garisan Berkembar
- Kesalahan Pengubahsuaian Ekzos
- Saman Berstatus Op Selamat
Oleh itu, anda disyorkan untuk membuat semakan jenis saman terlebih dahulu sebelum hadir ke kaunter. Tetapi, kalau anda ada saman PDRM yang tidak dinyatakan di atas, pastikan untuk tidak melepaskan peluang ini bagi menikmati pembayaran kompaun yang lebih rendah.
Selain daripada pengurangan pembayaran saman, terdapat pelbagai lagi aktiviti yang disediakan di Hari Terbuka Putrajaya 2024. Antaranya pameran perkhidmatan, jualan rahmah, persembahan seni dan budaya, aktiviti sukan, kecantikan dan kesihatan, Fantastic Food Fest dan banyak lagi. Masuk adalah percuma dan orang ramai digalakkan datang bagi memeriahkan sambutan hari terbuka ini.