Oppo sedang bersiap sedia untuk memperkenalkan telefon pintar flagship terbaharunya, Find X10 Pro Max. Dalam kenyataan terbaru, syarikat China itu mengesahkan telefon ini akan menjadi antara telefon pintar pertama yang dikuasakan cip flagship terkini MediaTek, Dimensity 9600 Pro.
Cip itu dibina menggunakan proses TSMC 2nm N2P, yang membawa peningkatan dari segi prestasi dan kecekapan tenaga berbanding generasi sebelumnya.
Pengumuman tersebut turut mengesahkan bahawa Find X10 Pro Max akan dilancarkan di pasaran antarabangsa, walaupun Oppo masih belum mendedahkan tarikh dan ketersediaan khusus bagi pasaran Malaysia.
Dimensity 9600 Pro tawarkan kecekapan tenaga CPU lebih baik
Menurut MediaTek, Dimensity 9600 Pro menawarkan sehingga 61% peningkatan kecekapan tenaga CPU multi-teras berbanding proses generasi sebelumnya. Cip ini meneruskan penggunaan seni bina All-Big-Core, tetapi hadir dengan konfigurasi baharu yang terdiri daripada dua teras C2-Ultra berkelajuan sehingga 4.55GHz dan enam teras prestasi.

MediaTek mendakwa CPU baharu ini memberikan peningkatan prestasi keseluruhan sebanyak 17%. Setiap teras turut mempunyai kawalan frekuensi berasingan, membolehkan sistem mengurus beban kerja dengan lebih tepat. Menurut syarikat itu, pendekatan ini membantu Find X10 Pro Max mengekalkan prestasi tinggi dalam tempoh lebih lama, sambil mengawal penggunaan tenaga.
Untuk grafik, Dimensity 9600 Pro menggunakan GPU flagship baharu G2-Ultra NX. GPU ini membawa peningkatan pada keupayaan ray tracing serta ciri neural graphics baharu. Dalam beban kerja berat yang berterusan, prestasi grafik dikatakan meningkat sekitar 27%.
Keupayaan AI dipertingkat & enjin Oppo Laminar Flow
Dimensity 9600 Pro turut membawa peningkatan besar pada pemprosesan AI secara terus pada peranti, menggunakan reka bentuk dwi-NPU yang menggabungkan satu NPU berprestasi tinggi dengan satu NPU cekap tenaga.
NPU berprestasi tinggi ini didakwa menawarkan prestasi LLM prefill 51% lebih pantas, memberikan sokongan yang kukuh untuk beban kerja seperti inferens model besar (large-model inference) dan pengimejan pengiraan (computational imaging). NPU cekap tenaga ini menggunakan 40% kurang kuasa, membolehkan keupayaan AI berterusan berjalan pada kuasa yang ultra-rendah, untuk pengalaman AI yang lebih responsif dan sentiasa tersedia bila-bila masa diperlukan.
Bukan setakat itu, Find X10 Pro Max turut menjadi telefon pertama yang menggunakan Oppo Laminar Flow Engine. Teknologi ini dibangunkan bersama oleh Oppo dan MediaTek dengan mengubah struktur seni bina rendering serta menyelaraskannya dengan sistem penjadualan.
Matlamatnya adalah untuk mendapatkan keseimbangan antara respons sistem yang lebih lancar dan penggunaan kuasa yang lebih rendah. Oppo urut menyatakan teknologi ini membantu mempercepatkan pembukaan aplikasi dan memastikan kandungan dimuatkan dengan lebih lancar ketika melakukan tugasan berat, seperti menyemak banyak gambar dengan pantas.
Tiga kamera 200MP Hasselblad & bateri 8,000mAh

Selain daripada ia diperkasa cip Dimensity 9600 Pro, tiada maklumat spesifikasi lain yang diberikan oleh Oppo Malaysia. Namun, menerusi hantaran di Weibo oleh pihak Oppo China, kita mendapat sedikit pencerahan mengenai spesifikasi kameranya. Find X10 Pro Max bakal menggunakan sistem kamera Hasselblad, dengan tetapan trikamera 200MP di bahagian belakang.
Modul kameranya terdiri daripada kamera utama 200MP dengan teknologi DeepPix dan julat dinamik sehingga 17 stop, kamera ultra lebar 200MP serta kamera telefoto 200MP yang menyokong telemakro sehingga 10cm dan penstabilan optik CIPA 7.5.

Sistem kamera ini turut menyokong rakaman video 8K Log buat julat pertama kali, berserta enjin warna Danxia Colour System generasi kedua bagi menghasilkan warna serta perincian pencahayaan yang lebih tepat.
Dari segi ketahanan dan skrin, Find X10 Pro Max dilengkapi bateri gergasi 8,000mAh menerusi teknologi Glacier Battery dengan jaminan kesihatan bateri sehingga 5 tahun. Ia juga hadir dengan paparan bersempadan (bezel) ultra-nipis 0.99mm dan menjalankan sistem operasi ColorOS 17 secara terus dari kotak.
Pelancaran Siri Oppo Find X10 di China pada 22 September



Selain model Pro Max, siri ini turut disahkan bakal merangkumi tiga varian iaitu Find X10, Find X10 Pro, dan Find X10e yang menjadi model yang lebih mampu milik. Ini sedikit berbeza daripada penawaran siri Find X9 sebelum ini. Pelancaran rasminya di China dijadualkan berlangsung pada 22 September 2026, bersama peranti lain seperti jam pintar OPPO Watch S2 dan fon telinga OPPO Enco X4.
Bagi pilihan memori di China, Oppo mengesahkan model Find X10 Pro Max dan Find X10 bakal ditawarkan dalam konfigrasi 12GB/256GB, 12GB/512GB dan 16GB/512GB, manakala Find X10e pula ditawarkan dalam versi 12GB/256GB dan 16GB/512GB.
Setakat artikel ini ditulis, Oppo Malaysia masih belum mengesahkan harga atau ketersediaan tempatan untuk siri Find X10, termasuk flagship Find X10 Pro Max ini, namun maklumat lanjut mengenai pelancaran tempatan dijangka didedahkan semasa acara pelancaran global akan datang.






