Keupayaan untuk dapat mengunci sembang di WhatsApp melalui fungsi Chat Lock adalah sangat berguna kerana memberikan pengguna lapisan keselamatan tambahan dan paling penting lebih privasi.
Buat masa ini, ciri Kunci Sembang itu tersedia untuk peranti Android dan iOS. Namun tidak lama lagi, WhatsApp pada dekstop atau menggunakan WhatsApp Web juga akan mempunyai fungsi yang sama dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Menggunakan fungsi kunci sembang di web
Seperti yang ramai sedia maklum, anda boleh mengunci sembang di WhatsApp pada peranti Android dan iOS menggunakan kaedah biometrik ataupun kata laluan. Konsepnya adalah sama untuk WhatsApp Web, kecuali untuk mengunci sembang di platform itu berkemungkinan akan melibatkan kod rahsia.
Seperti dalam gambar di atas, anda akan dapat melihat ikon kunci (padlock) pada bar sisi menunjukkan ketersediaan ciri Kunci Sembang. Sembang terkunci akan berada dalam tab khusus sama seperti tempat berasingan untuk semua sembang yang diarkibkan.
Anda perlu memasukkan kod laluan untuk membuka tab sembang yang dikunci, jadi tiada peluang untuk orang lain membuka dan membaca sembang WhatsApp peribadi anda walaupun mereka mungkin tahu kata laluan telefon pintar anda.
Apabila anda mengunci sembang di WhatsApp Web, anda perlu tahu ia juga akan menyegerakkan sembang terkunci itu merentasi platform berbeza. Ini bermakna ruang sembang di WhatsApp lain termasuk di peranti Android dan iOS, juga akan terkunci.
Fungsi itu masih dalam proses pembangunan dan anda tidak akan dapat melihatnya sekarang jika anda menggunakan WhatsApp Web. Ia dijangka mengambil masa beberapa minggu atau bulan sebelum ciri tersebut tersedia untuk digunakan.
[Sumber: WABetaInfo]