Sime Darby Motors (SDM) akhirnya mengumumkan tarikh pelancaran BYD Seal ke pasaran Malaysia yang dijadualkan berlangsung 23 Februari di The Exchange TRX, berhampiran pintu masuk Balenciaga.
Berdasarkan hantaran yang dibuat melalui Facebook dan Instagram rasmi BYD Cars Malaysia, selain sesi pelancaran dan pameran yang akan berlangsung sehingga 25 Februari, orang ramai turut berpeluang untuk mencuba sendiri sedan elektrik sport itu.
Pendaftaran pandu uji BYD Seal
Bagi yang berminat untuk memandu uji kereta elektrik (EV) BYD Seal, anda boleh mendaftarkan diri di laman web mini rasmi acara pelancaran. Berdasarkan borang pendaftaran, terdapat lima slot masa setiap hari dengan sesi pertama diadakan pada 10 pagi, manakala untuk slot terakhir pula pada 6 petang.
Pun begitu, pilihan senarai Preferred Dealer (pengedar terpilih) agak terhad dan kesemuanya terletak di Lembah Klang:
- BYD Ara Damansara-– Sime Darby Beyond Auto
- BYD TREC KL – Sime Darby Beyond Auto
- BYD Glenmarie – Sisma Auto
- BYD IOI Mall Putrajaya – Millenium Autobeyond
- BYD Cheras – Millenium Autobeyond
- BYD Setia Alam – BE Drive Auto
- BYD Balakong – Wing Hin Ventures
Tidak dapat dipastikan mengapa senarai pengedar terhad tetapi ia mungkin senarai kumpulan awal pengedar yang akan menerima unit pandu uji daripada BYD. Namun, anda masih boleh menempah EV baharu itu, daripada mana-mana pengedar BYD di seluruh Malaysia, berdasarkan laman web rasmi BYD Malaysia.
Tempahan awal telah pun dibuka sejak 19 Januari lepas dengan deposit RM1,000 yang akan dikembalikan jika penempah membuat pembatalan. Terdahulu, SDM mengesahkan terdapat tiga varian yang akan dibawa masuk iaitu Dynamic, Premium, dan Performance.
Spesifikasi BYD Seal di Malaysia
Varian Dynamic untuk BYD Seal diperkasa motor tunggal 150kW (201hp) yang menghasilkan daya tujah setinggi 310Nm. Motornya memacu roda belakang dan boleh memecut daripada pegun kepada 100km/j dalam masa 7.5 saat sahaja. Jarak kembara untuk varian ini diukur pada 460km berbekalkan pek bateri 61.44kWh (WLTP). Pek bateri ini dicas menggunakan sama ada pengecas 7kW AC ataupun 110kW DC.
Varian Premium pula mempunyai motor yang lebih berkuasa dengan angka 230kW (309hp) dan tork setinggi 360Nm. Kuasa tambahan itu membolehkan pecutan abad dilakukan dalam masa 5.9 saat sahaja. Pek bateri berkapasiti 82.56kWh bekalkan kuasa kepada motor elektrik ini dan mampu bawanya sejauh 570km.
Varian yang paling berkuasa adalah yang ada pacuan semua roda. Ia memiliki output berjumlah 390kW (523hp) dengan tork setinggi 670Nm. Pecutan kembara mengambil masa 3.8 saat. Pek bateri varian Performance adalah sama dengan varian Premium tapi jarak kembaranya adalah lebih pendek, pada 520km. Variasi Premium dan Performance kedua-duanya menyokong pengecasan 150kW DC dan 7kW AC.