Nama Garmin memang popular sebagai jam kecergasan. Kini mereka mahu terus menguasai pasaran jam kecergasan dengan melancarkan sebuah jam yang lebih mampu milik, Forerunner 165 dan Forerunner 165 Music.
Jam ini menampilkan skrin AMOLED yang sangat cerah seperti yang terdapat pada siri Forerunner 265 dan Forerunner 965. Malah, ada pilihan untuk memainkan muzik tanpa sambungan ke telefon pintar, menjadikan pengguna lebih bebas untuk beraktiviti.
Harga siri Forerunner 165
Buat masa ini, siri Forerunner masih belum dijual di Malaysia. Di Amerika Syarikat, ia dijual pada harga:
- Forerunner 165 – USD249.99 (~RM1,197)
- Forerunner 165 Music – USD299.99 (~RM1,437)
Untuk perbandingan, jam Forerunner 55 sekarang dijual di Malaysia pada harga RM1,050 (USD199 di AS), manakala Forerunner 265 berharga RM2,220 (USD449 di AS). Dijangkakan, harga Forerunner 165 sekitar RM1,300 apabila dilancar di Malaysia nanti.
Spesifikasi siri Forerunner 165
Sebagai jam kecergasan yang terkenal untuk pelari jalanan atau denai, Forerunner 165 dilengkapi penjejak lokasi GPS berbilang satelit. Ini membolehkan ia menyediakan maklumat yang tepat untuk pengguna seperti jarak, langkah dan kelajuan larian.
Perkara paling menarik yang ditekankan oleh Garmin sudah pasti pada skrin AMOLED. Forerunner 165 dilengkapi skrin AMOLED 1.2-inci dan dilapisi kaca yang diperteguh. Skrin ini mempunyai fungsi sentuhan tetapi ia masih boleh dikawal menerusi lima butang fizikal di tepi. Bingkai jam diperbuat daripada polimer fiber dan ia menyokong tali jam standard berukuran 20mm.
Forerunner 165 memiliki hayat bateri yang panjang, sehingga 11 hari untuk penggunaan biasa dan sehingga 19 jam untuk menjejak GPS secara berterusan. Untuk mengecas, ia menggunakan sambungan khas pengecas Garmin yang telah digunakan sejak sekian lama, masih tiada sokongan pengecas wayarles.
Pengguna Forerunner 165 boleh menikmati pelbagai fungsi dan kehebatan yang disediakan Garmin pada jam keluarannya, seperti pelan latihan larian adaptif, pengiraan kuasa dan dinamik di jam, kesan latihan terhadap kecergasan, bateri badan, laporan bangun pagi, pemantauan waktu tidur dan markah tidur, pengesan terlelap dan banyak lagi.
Untuk model Music, ia boleh menyimpan lagu daripada platform penstriman terkemuka seperti Spotify, Deezer dan Amazon Music. Model ini juga menyokong pengumuman suara untuk memberitahu pengguna sewaktu aktiviti kecergasan.
Selain itu, Forerunner 165 turut menyokong mod pembayaran Garmin Pay di jam. Tetapi Garmin Pay masih tidak terdapat di Malaysia.
Untuk mendapat maklumat kecergasan dengan menyeluruh, pengguna boleh memuat turun aplikasi Garmin Connect. Pelbagai muka jam dan fungsi juga boleh ditambah ke Forerunner 165 menerusi Connect IQ Store.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang jam kecergasan baru ini, layari laman produk Garmin Forerunner 165.