Mengetahui waktu berbuka puasa dan bersahur yang tepat mengikut kawasan menjadi antara kemestian sepanjang bulan Ramadan. Ini untuk elakkan berbuka puasa terlebih awal dari waktu yang sepatutnya hingga boleh terbatal puasanya atau terlambat bersahur nanti.
Nasib baik, ada teknologi yang boleh membantu memudah serta dijadikan rujukan menerusi pemasangan aplikasi dan laman web berunsurkan islamik.
Cara paling mudah dan cepat untuk semak waktu berbuka puasa dan sahur adalah dengan menggunakan widget. Anda hanya perlu memuat turun aplikasi pilihan dan meletakkan widget pada skrin Home.
Saya akan senaraikan aplikasi tempatan yang boleh dimuat turun untuk memudahkan anda menyemak waktu berbuka dan bersahur sepanjang Ramadan. Ada juga laman web yang boleh dijadikan rujukan bagi anda yang tidak mahu memuat turun aplikasi.
Tonton video di bawah ini untuk mengetahui senarainya atau anda boleh membacanya di bahagian bawah.
1. TheNoor
Merupakan aplikasi yang dibangunkan pada 2021 oleh selebriti dan usahawan terkenal tanah air, Neelofa. Fungsi Solat dalam aplikasi ini membolehkan anda untuk membuat tetapan untuk mendapatkan notifikasi waktu solat. Anda boleh memilih untuk menggunakan audio azan atau bunyi penggera.
Untuk memudahkan anda menyemak waktu berbuka dan bersahur, anda juga boleh menggunakan widget untuk aplikasi ini pada peranti anda. Pada paparan widget, ia akan mengesan lokasi dengan tepat secara automatik dan memaparkan waktu solat mengikut lokasi. Terdapat tujuh tema dan enam saiz widget yang boleh dijadikan pilihan.
Anda boleh memuat turun aplikasi TheNoor menerusi Apple Apps Store, Google Play Store atau Huawei AppGallery.
2. Mukmin Pro
Mukmin Pro adalah aplikasi berkonsepkan gaya hidup muslim yang dibangunkan oleh Fazura, seorang pelakon popular dan juga usahawan pada tahun 2022. Sama seperti aplikasi TheNoor, aplikasi Mukmin Pro juga membenarkan anda membuat tetapan untuk mendapatkan notifikasi waktu solat bersama pilihan audio azan atau tidak.
Widget juga disediakan untuk aplikasi ini yang memaparkan waktu solat dan juga lokasi yang dikesan secara automatik. Cuma paparan widgetnya tiada pilihan tema dan didatangkan dalam dua pilihan saiz widget sahaja.
Anda boleh memuat turun aplikasi Mukmin Pro menerusi Apple Apps Store, Google Play Store atau Huawei AppGallery.
3. QalbyApp
Satu lagi aplikasi yang dihasilkan bersama selebriti terkenal dan aktivis muslimah, Shazrina Azman yang dahulunya popular dengan gelaran Mizz Nina. Menerusi aplikasi QalbyApp, anda juga boleh membuat tetapan notifikasi waktu solat bersama pilihan audio azan, siap ada pilihan azan mengikut negara, ada Faizal Tahir lagi. Pastinya memudahkan anda untuk menentukan sama ada sudah masuk waktu berbuka atau belum.
Anda juga boleh menggunakan widget untuk aplikasi ini pada peranti anda. Ia mengesan lokasi secara automatik dan memaparkan waktu solat mengikut lokasi. Untuk paparannya, tiada pilihan tema, cuma terdapat 4 pilihan saiz widget.
Anda boleh memuat turun aplikasi QalbyApp menerusi Apple Apps Store atau Google Play Store.
4. Waktu Solat Malaysia
Merupakan sebuah lagi aplikasi buatan Malaysia yang boleh anda gunakan untuk menyemak waktu berbuka dan bersahur. Ada juga tetapan pemberitahuan waktu solat dengan azan yang boleh anda jadikan pilihan.
Aplikasi ini juga menawarkan widget yang boleh digunakan pada peranti anda. Ia dapat mengesan lokasi secara automatik, tetapi untuk pilihan tema widget, boleh dikatakan agak ringkas dan hanya dalam satu pilihan saiz.
Anda boleh memuat turun aplikasi Waktu Solat Malaysia menerusi Apple Apps Store atau Google Play Store.
5. e-Solat
Bagi mereka yang tidak mahu memuat turun sebarang aplikasi dalam peranti, anda mempunyai pilihan untuk membuat semakan waktu berbuka dan bersahur secara atas talian menerusi portal rasmi e-Solat. Portal ini dibangunkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memudahkan semakan waktu solat mengikut zon masing-masing.
Anda boleh mengakses portal ini melalui laman web E-Solat. Jangan lupa untuk menambah pautannya pada Home Screen supaya anda dapat mengaksesnya dengan mudah dan cepat apabila diperlukan. Cuma setiap kali membuka laman web, ia akan secara automatik memaparkan waktu solat di Putrajaya dan anda perlu memilih lokasi secara manual untuk mengetahui waktu solat di tempat anda.
Setiap aplikasi dan juga laman web yang dikongsikan di atas mempunyai kelebihan tersendiri. Paling penting, kesemuanya boleh membantu anda menyemak waktu berbuka dan bersahur dengan tepat sepanjang bulan Ramadan. Semoga senarai yang dikongsikan ini dapat dijadikan pilihan yang membantu anda menjalani ibadah puasa dengan lebih sempurna. Selamat berpuasa!